Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peraduan bercerita dorong murid lebih yakin tutur dalam bahasa Melayu

Pusat Bahasa Nusa gotong-royong semarak Bulan Bahasa demi perkasa pelajar dalami warisan bahasa, budaya
Aug 25, 2025 | 5:30 AM
Sheikh Saifuddin Suhaimi, Saya Boleh Bercerita 2025, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah
Murid Darjah 4 dari Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah, Sheikh Saifuddin Suhaimi, yang melakonkan adegan daripada ‘Sang Nila Utama’, meraih tempat pertama bagi Kategori B dalam peraduan, ‘Saya Boleh Bercerita 2025’, anjuran Pusat Bahasa Nusa. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Sorakan dan tepukan gemuruh bergema di Pusat Tampines Edufront apabila finalis peraduan, ‘Saya Boleh Bercerita’ tampil penuh keyakinan di pentas dengan persembahan bercerita dalam bahasa Melayu.

Antara yang mencuri perhatian ialah juara Kategori B, Sheikh Saifuddin Suhaimi, 10 tahun, yang melakonkan adegan daripada ‘Sang Nila Utama’.

“Pada mulanya, saya rasa gementar tetapi saya perlahan-lahan rasa lebih yakin untuk lakukan persembahan saya di depan orang ramai.

“Saya tidak begitu fasih berbahasa Melayu, jadi saya gembira dapat tempat pertama,” kata murid Darjah 4, Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah itu.

Peraduan, ‘Saya Boleh Bercerita’, dianjurkan Pusat Bahasa Nusa, anak syarikat Edufront Learning Centre, dengan matlamat menggalakkan murid agar lebih selesa dan yakin menggunakan bahasa Melayu, sama ada secara bertutur atau bertulis.

Bagi peraduan itu, para peserta dikehendaki mempersembahkan satu babak daripada sastera Melayu klasik pilihan mereka.

Majlis penyampaian peraduan, ‘Saya Boleh Bercerita’, diadakan seiring dengan peraduan, ‘Saya Boleh Mengarang’, pada 18 Ogos di Pusat Tampines Edufront.

Kedua-dua peraduan merupakan kegiatan di bawah Bulan Bahasa 2025 bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid sekolah.

Hadirin majlis itu yang terdiri daripada ibu bapa dan guru turut memberi sokongan padu, menyaksikan bagaimana finalis cilik menyampaikan cerita dengan penuh gaya dan keyakinan.

Bagi johan Kategori C peraduan, ‘Saya Boleh Bercerita’, Shaquille Mateen Lee Ruzaini, 11 tahun, pengalaman menyertai peraduan itu tidak asing lagi buatnya kerana dia telah menjuarai Kategori B pada peraduan edisi 2024.

Shaquille, yang melakonkan adegan daripada ‘Batu Belah Batu Bertangkup’, berkata:

“Persembahan saya tahun ini (2025) terasa lebih semula jadi. Pengalaman saya tahun lalu telah membantu saya untuk jadi lebih yakin pada tahun ini (2025).

“Saya ingin menggalakkan lebih ramai orang untuk menyertai peraduan ini agar kita boleh bersama-sama menggunakan bahasa Melayu dengan lebih baik lagi,” ujarnya.

Menurut Pusat Bahasa Nusa, seramai 279 murid dari 38 sekolah rendah menyertai kedua-dua peraduan itu, yang dibahagikan kepada tiga kategori – Kategori A untuk murid Darjah 1 dan 2; Kategori B untuk murid Darjah 3 dan 4; serta Kategori C untuk murid Darjah 5 dan 6.

Pengasas dan Pengarah Program Pusat Bahasa Nusa, Cik Hayati Abdullah, menekankan keupayaan menguasai bahasa Melayu dalam dunia yang kini lebih lazim memanfaatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

“Memang dengan adanya AI, murid boleh dapatkan bahan pembelajaran dan kajian dengan senang, tetapi hakikatnya, mereka perlu menyampaikannya sendiri dalam keadaan yang mereka rasa selesa dan itu adalah satu proses pembelajaran yang lebih tulen,” jelasnya.

Cik Hayati mengakui berbesar hati kerana kedua-dua peraduan itu adalah sebahagian daripada usaha sempena Bulan Bahasa 2025 untuk mempromosikan bahasa dan budaya Melayu.

Menurutnya, walaupun Pusat Bahasa Nusa merupakan syarikat swasta, syarikat pendidikan itu mahu memainkan peranan dalam mendukung matlamat Bulan Bahasa 2025 juga.

Bulan Bahasa 2025, bertema Cita, Citra, Cinta, dianjurkan Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan akan berlangsung dari 16 Ogos hingga 12 Oktober.

“Saya sangat berbangga apabila saya lihat ibu bapa dan guru bersatu untuk membantu mencipta satu kenangan dalam perjalanan pendidikan murid.

“Ternyata jelas (wujud) kerjasama semua pihak untuk membantu murid menguasai dan mencintai Bahasa Ibunda,” akui Cik Hayati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg