Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, malah turut membentuk cara kita mentafsir dunia, menyampaikan hujah dan memahami pelbagai pandangan.
Justeru, golongan muda perlu diberi ruang untuk meneroka, berkarya dan meluahkan diri dalam bahasa Ibunda mereka agar dapat menanamkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap bahasa tersebut.
Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Dr Syed Harun, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, berkata demikian dalam ucapannya di Pesta Cilik 2025 yang berlangsung di Wisma Geylang Serai (WGS) pada 10 September.
Acara itu, yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan cabang penjagaan pelajarnya, 7Oaks, bertujuan memupuk penghargaan lebih mendalam terhadap bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak berusia tujuh hingga 14 tahun.
Ia juga bertujuan menyemarakkan minat dan penghargaan terhadap bahasa serta budaya Melayu menerusi pelbagai kegiatan, permainan dan persembahan sketsa khas oleh murid-murid 7Oaks.
Sepanjang 2025, guru penjagaan pelajar telah bekerjasama dengan murid-murid untuk menghasilkan idea bagi setiap reruai.
Secara keseluruhan, terdapat empat reruai yang menawarkan kegiatan berkaitan kraf tangan, permainan tradisional, permainan minda dan permainan kad.
“Tema Bulan Bahasa 2025 iaitu ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.’ amat bertepatan dengan pesta ini,” kata Dr Syed Harun.
“Ia menyerlahkan aspirasi kita untuk terus memartabatkan bahasa Melayu, menghargai keindahannya dan menyemai cinta terhadapnya dalam kehidupan seharian. Ia mencerminkan pemikiran, budaya dan jati diri.
“Bahasa membentuk cara kita mentafsir dunia, menyampaikan hujah dan memahami pandangan yang berbeza.
“Dalam era digital ini, bahasa Melayu mampu menjadi wahana pemikiran kreatif dan ejen perubahan yang dinamik,” tambahnya.
Sempena sambutan Bulan Bahasa, 7Oaks telah melantik dua pelajar sebagai Duta dan Rakan Bahasa bagi menggalakkan mereka yang bersemangat terhadap bahasa dan budaya Melayu agar menyemarakkan lagi rasa cinta terhadap bahasa tersebut dalam kalangan rakan-rakan dan ahli keluarga mereka.
Apabila ditemu bual Berita Harian (BH), Duta Bahasa, Quratul Ain Muhammad Azlan, sembilan tahun, berkata:
“Saya sayang bahasa Melayu kerana ia adalah sebahagian daripada diri saya.
“Saya membesar dengan bertutur dalam bahasa Melayu di rumah dan mendengar cerita, lagu serta tradisi Melayu.
“Ia membuat saya rasa bangga dan dekat dengan asal-usul saya,”
Sepanjang tempoh setahun pelantikan itu, Duta dan Rakan Bahasa diberi peluang menghadiri pelbagai program dan kegiatan yang dapat mengasah kemahiran serta keupayaan mereka.
Presiden PPIS, Profesor Madya Dr Razwana Begum Abdul Rahim, berkata:
“Melalui acara ini, kami ingin memupuk keyakinan dan keberanian dalam kalangan peserta cilik kami, agar mereka berani tampil, meluahkan diri dan meneroka potensi mereka.
“Ia juga merupakan wadah untuk meraikan dan menonjolkan bakat mereka dalam suasana yang kaya dengan nilai budaya.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg