Hiburan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Rapper’ Fariz Jabba sah bergelar suami

Sep 8, 2025 | 5:57 PM
Fariz Jabba, Sofea Khan
‘Rapper’ tempatan, Fariz Jabba telah bernikah dengan Sofea Khan pada 6 September lalu dalam satu majlis yang diadakan di Warren Golf and Country Club. - Foto COLOSSAL WEDDINGS

Penyanyi ‘rap’ tempatan, Fariz Jabba, telah mendirikan rumah tangga pada hujung minggu lalu.

Pada 6 September, Fariz berusia 28 tahun, yang juga terkenal dengan bakat dan kemahiran menulis lirik lagu, telah berkahwin dengan kekasih hatinya, Sofea Khan, 26 tahun.

Majlis perkahwinan pasangan itu telah berlangsung di Mutiara di Barat By Anggun yang terletak di Warren Golf and Country Club di 81 Choa Chu Kang Walk.

View post on Instagram
 

Bercakap dengan Berita Harian (BH), adik bongsu dalam empat beradik itu menceritakan bahawa beliau telah berkenalan dengan Sofea di media sosial pada 2022.

“Cara kami berkenal sangat gaya Generasi Z (Gen Z). Dari TikTok, ke Instagram dan kami berbual berturut-turut selama tujuh hari dan 11 jam setiap hari,” singkapnya.

Fariz atau yang nama sebenarnya Muhammad Fariz Abdul Rashid kemudian menggambarkan hubungannya dengan Sofea sangat serasi, yang membolehkan hubungan mereka terjalin rapat, cepat dan secara semula jadi.

Apa yang lebih indah, Fariz akur bahawa Sofea merupakan individu penting yang membantunya kembali ke pangkal jalan.

“Dia telah banyak membantu membawa saya kembali kepada agama dan keindahannya,” kata Fariz.

Beliau berkongsi bahawa Sofea, yang baru sahaja menamatkan pengajian Sarjana dalam Hal Ehwal Antarabangsa di Sekolah Dasar Lee Kuan Yew di Universiti Nasional Singapura (NUS), merupakan individu yang sangat bijak dan sabar menjawab pelbagai persoalan tentang agama.

“Saya telah berdoa untuk individu seperti dirinya,” kata Fariz, sambil menambah bahawa Sofea juga telah membantunya menjadi lelaki yang lebih baik, dengan matlamat hidup yang lebih daripada sekadar kerjaya.

Fariz telah berkongsi foto dan video majlisnya di media sosial, kelihatan segak menggayakan tiga busana yang berbeza bersama isterinya. 

Beliau tampil dalam persalinan Melayu, Pakistani, dan Barat, mencerminkan kepelbagaian budaya dalam sambutan majlis sandingannya itu. 

Fariz Jabba (kiri) telah mengenali Sofea Khan menerusi media sosial pada 2022.
Fariz Jabba (kiri) telah mengenali Sofea Khan menerusi media sosial pada 2022. - Foto COLOSSAL WEDDINGS

Dalam salah satu video di Instagram oleh Colossal Weddings, Fariz menceritakan bahawa beliau telah tidur sekitar 3.30 pagi dan sedar pada waktu subuh, 5.45 pagi – hanya dapat lelapkan mata sekitar dua jam sebelum hari istimewanya. 

Fariz turut ditemani oleh pengapit-pengapitnya yang terdiri daripada dua rakan seperjuangan dalam dunia ‘rap’, iaitu Yung Raja dan Omar Kenobi. 

Tidak ketinggalan juga, abangnya sendiri, pelawak tempatan Muhammed Fadzri Abdul Rashid atau lebih dikenali sebagai Fakkah Fuzz, turut berada di sisinya.

Salah seorang kakaknya, pelakon dan pencipta kandungan, Nur Farah Khaizuran Abdul Rashid yang juga dikenali sebagai Farah Lola, turut menjadi salah seorang daripada pengapit pengantin perempuan.

Fariz mula meraih populariti setelah menyertai siri ‘rap’ popular dari Malaysia, 16 Baris yang dihoskan oleh Joe Flizzow dan disiarkan di YouTube pada 2018.

Sejak itu, Fariz membina kerjaya dalam industri muzik tempatan dan serantau.

Beliau pernah membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2019 dan bagi rancangan kerjasama Singapura dan Malaysia, Muzika Ekstravaganza 2023.

Antara lagu popularnya termasuk Apa Sia, Masa dan Kalah yang dinyanyikan bersama Omar Kenobi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg