Topik diikuti
Pergi ke BHkuAnak Tiara Jacquelina rahsiakan hasrat sertai muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’
Anak Tiara Jacquelina rahsiakan hasrat sertai muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’
Tiara tepis dakwaan bahawa Hani Karmila dipilih semata-mata hubungan anak-beranak
Anak Tiara Jacquelina rahsiakan hasrat sertai muzikal ‘Puteri Gunung Ledang’
Selepas hampir dua dekad sejak pementasan ikonik, Puteri Gunung Ledang, mencipta fenomena dalam dunia teater muzikal Nusantara, penerbit, pengarah dan pelakon tersohor, Puan Sri Tiara Jacquelina, mengakui dirinya sendiri tidak menyangka sambutan luar biasa yang diterima bagi sesi uji bakat pementasan terbaharu karya berkenaan.
Muzikal tersebut diadaptasi daripada filem Puteri Gunung Ledang terbitan 2004, yang menyaksikan Tiara, 58 tahun, membawakan watak Gusti Putri Raden Adjeng Retno Dumilah, puteri dari kerajaan Majapahit yang lebih dikenali sebagai Puteri Gunung Ledang.
Lebih mengejutkan lagi, anak perempuan Tiara, Hani Karmila Hani Mohsin, atau lebih dikenali sebagai, Mila Mohsin, 29 tahun, turut menghadiri sesi uji bakat secara langsung yang diadakan pada 2 dan 3 Mei, di pejabat akademi seni Enfiniti, sekitar Kota Damansara, Malaysia.
Sebelum ini, sesi uji bakat secara dalam talian dibuka antara 19 dengan 27 April.
Susulan sambutan luar biasa yang diterima, sesi uji bakat secara semuka kemudian turut dilanjutkan hingga 5 Mei.
Menurut Tiara, hasrat Mila untuk menyertai muzikal tersebut serta penyertaannya dalam sesi uji bakat dirahsiakan daripadanya.
“Apabila Mila hadir untuk sesi uji bakat muzikal ini, beliau langsung tidak memberitahu saya terlebih dahulu.
“Beliau hanya muncul begitu sahaja.
“Saya hanya mendapat tahu kemudian bahawa beliau sebenarnya sudah menjalani latihan vokal selama beberapa bulan untuk mempersiapkan diri bagi watak ini,” katanya.
“Kalau Mila mencuba watak ini pada 2020, saya rasa beliau mungkin masih belum cukup matang untuk menjiwainya.
“Tetapi sekarang beliau jauh lebih matang sebagai pelakon, selain sudah mempunyai pengalaman di pentas teater dan televisyen.
“Sejak kecil lagi, beliau membesar dalam dunia Puteri Gunung Ledang.
“Dahulu, saya sendiri berlatih selama 16 jam sehari demi menjayakan watak itu.
“Dia membesar dengan melihat sendiri segala usaha dan kerja keras yang saya curahkan untuk watak tersebut, dan hari ini saya dapat melihat semangat yang sama dalam dirinya,” kata Tiara kepada Berita Harian (BH), yang menepis dakwaan ramai Mila dipilih semata-mata hubungan anak-beranak.
Wawancara bersama BH menerusi Zoom itu berlangsung pada 18 Mei lalu.
Ketika itu, Tiara sibuk menguruskan bengkel tarian, lakonan dan nyanyian secara intensif, bagi muzikal Puteri Gunung Ledang yang berlangsung antara 18 dengan 21 Mei.
Pada masa sama, walaupun pihak penerbitan mengharapkan sambutan yang baik, beliau tidak menjangkakan respons yang begitu menggalakkan daripada masyarakat yang masih menyimpan cinta mendalam terhadap karya tersebut.
“Apa yang paling menyentuh hati bukan sekadar jumlah peserta, tetapi cinta yang masih kuat terhadap karya Puteri Gunung Ledang selepas hampir 20 tahun.
“Kami menerima hampir 250 penyertaan menerusi media sosial dan sesi uji bakat fizikal.
“Ramai hadir dengan penuh keikhlasan, semangat dan rasa hormat terhadap karya ini,” ujarnya lagi.
Tambah Tiara, beliau tersentuh apabila mendapat tahu ada antara peserta yang hadir pernah terlibat dalam pementasan terdahulu, termasuk pada 2006, 2007 dan 2009.
Selain itu, terdapat juga generasi baharu yang membesar dengan karya ini sejak kecil, dan kini berpeluang menguji bakat dalam naskhah ikonik tersebut.
“Ketika itu saya sedar, karya Puteri Gunung Ledang bukan lagi hanya milik penciptanya, sebaliknya sudah sekian lama hidup dalam hati masyarakat.
“Ia sudah hidup dalam hati penonton sejak sekian lama,” katanya, yang menguruskan penerbitan, Enfiniti Creative Universe.
Di bawah payung Enfiniti Creative Universe kepunyaan Tiara, ada lima unit perniagaan yang memberi perhatian kepada cabang yang berbeza.
Antaranya merangkumi Enfiniti Productions, yang mengendalikan pementasan teater serta penerbitan televisyen dan filem, di samping Enfiniti Academy, yang menawarkan kelas serta latihan seni persembahan.
Mengulas cabaran memilih pelakon bagi watak ikonik lain seperti Hang Tuah, Sultan Melaka dan Bayan, Tiara berkata watak tersebut memerlukan lebih daripada sekadar bakat lakonan biasa.
Pengumuman barisan pelakon yang dilakukan secara berperingkat di media sosial baru-baru ini dimulakan dengan kejutan, apabila penyanyi, Mimifly, 39 tahun, dan pelakon berpengalaman, Nadia Aqilah, 40 tahun, diumumkan bakal bergilir-gilir membawakan watak Bayan.
Bayan adalah sahabat dan pendamping setia kepada watak utama, Gusti Putri, yang akan dilakonkan penyanyi dan pencipta lagu, Aisha Retno, 25 tahun, selain Mila.
Sementara itu, pelakon Malaysia, Luqman Hafidz, 35 tahun, akan memegang watak Sultan Melaka, di samping Yusof Hashim, 32 tahun, yang diberi kepercayaan membawakan watak Gusti Adipati, iaitu abang kepada Gusti Putri.
Tiara turut menyifatkan watak Gusti Putri sebagai antara watak wanita paling sukar untuk dipilih dalam pementasan muzikal ini, kerana menuntut keseimbangan antara kekuatan vokal, daya tahan fizikal, penguasaan gerak tubuh serta penghayatan budaya yang mendalam.
“Gusti Putri menuntut satu sisi ketenangan, aura misteri serta kawalan emosi yang sangat tinggi, berpaksikan budaya istana Jawa.
“Awal 2000-an, saya sendiri melalui proses melatih diri di Solo, Indonesia, bagi memahami dunia itu.
“Maka itu, saya benar-benar mengerti betapa mencabarnya untuk menyelami jiwa watak tersebut,” jelasnya lagi.
Bagaimanapun, Tiara selaku pengarah dan penerbit muzikal ini, menegaskan beliau tidak pernah mahu pelakon baharu meniru pembawaannya terdahulu sebagai Gusti Putri.
“Saya tidak mahu sesiapa meniru interpretasi saya.
“Itu tidak adil buat pelakon baharu dan akan membataskan kreativiti penerbitan.
“Apa yang saya cari ialah pelakon yang mampu menghormati roh emosi Gustri Putri sambil membawa sisi kemanusiaan dan tafsiran mereka sendiri,” ujar Tiara.
Mengulas lanjut mengenai versi baharu muzikal ini, Tiara berkata ia tidak akan sekadar mengikut acuan karya terdahulu secara bulat-bulat, sebaliknya tampil lebih sinematik, menyeluruh dan dekat dengan emosi penonton dalam era moden.
Baginya, teknologi, bahasa pementasan dan jangkaan penonton sudah banyak berubah sejak awal 2000-an, tetapi jiwa utama karya itu tetap akan dikekalkan.
“Kami tidak mahu sekadar menghasilkan semula versi lama tanpa sebarang perubahan.
“Cabaran sebenar adalah untuk mencari keseimbangan antara memberi nafas baharu kepada karya ini dengan mengekalkan penghormatan terhadap legasinya,” kata Tiara.
Muzikal Puteri Gunung Ledang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini, di Pusat Seni Persembahan Jeffrey Cheah (JCPAC), Sunway Square, Malaysia.
Bagaimanapun, tempat serta jadual rasmi pementasan tersebut masih belum diumumkan.
