‘Raja Belum Mati’: Merungkai Daulat dan Darjat Perkataan ‘Raja’ dalam Budaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Raja Belum Mati’: Merungkai Daulat dan Darjat Perkataan ‘Raja’ dalam Budaya

Penjelasan asal-usul, bahasa istana serta kosa kata berkaitan
Jan 18, 2026 | 5:30 AM

‘Raja Belum Mati’: Merungkai Daulat dan Darjat Perkataan ‘Raja’ dalam Budaya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
raja, bahasa Melayu, makna, etimologi, budaya
Singgahsana, kerusi tempat raja bersemayam, di Balairung Seri Istana Negara, Kuala Lumpur, Malaysia. - Foto BERNAMA

Arwah datuk saya mempunyai sebuah ‘singgahsana’ istimewa yang hanya boleh di duduk oleh beliau, baik di meja makan mahupun kerusi Pak Awang di ruang tamu.

Kalau di meja makan, tempat beliau di kepala meja sementara di ruang tamu pula, kerusi Pak Awangnya terletak betul-betul di depan televisyen.

Jika sesiapa duduk di kerusinya itu, pasti akan disuruh bangun dari situ.

“Bangun, raja belum mati tau,” dialog yang sentiasa terngiang-ngiang.

Sebagai anak kecil, dalam kotak fikiran saya, ‘raja’ hanya terbatas kepada sosok seseorang berkuasa besar yang tinggal di istana gah, bersemayam di atas singgahsana dengan memakai mahkota berkilauan di kepala seperti kisah dongeng yang pernah dibaca.

Namun, makna raja itu sebenarnya jauh lebih luas, mendalam dan sarat pelbagai pengertian.

Maksud raja

Secara etimologi, ‘raja’ berasal daripada perkataan Sanskrit, rajan.

Menurut Kamus Dewan, takrifan ‘raja’ antaranya:

– orang yang mengetuai dan memerintah sesebuah negara atau bangsa secara turun-temurun;

– orang atau badan yang berkuasa dalam sesuatu lingkungan.

Secara umumnya, raja dirumuskan sebagai ketua yang memimpin dan mempunyai kuasa serta pengaruh besar dalam masyarakat atau lingkungan.

Berdasarkan takrifan ini, tidaklah salah arwah datuk menggelar dirinya ‘raja’, kerana beliau adalah ketua keluarga yang berpengaruh dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga.

Kata Ganti Diri

Dalam bahasa Melayu, penggunaan kata ganti diri berbeza apabila rakyat biasa berinteraksi dengan golongan istana.

Rakyat biasa akan membahasakan diri sebagai ‘patik’ ketika bercakap dengan raja, manakala raja pula membahasakan diri sebagai ‘beta’ apabila berbicara dengan rakyat biasa.

Begitu juga dengan istilah pemberian.

Jika orang biasa memberi kepada orang biasa yang lain, ia disebut hadiah.

Namun, jika orang biasa memberi kepada raja, ia dipanggil ‘persembahan’.

Manakala sebaliknya, apabila raja memberi kepada orang biasa, pemberian itu dinamakan ‘kurnia’, iaitu hadiah atau anugerah, mengikut konteks budaya istana Melayu.

Rangkaian kata

Beberapa rangkaian kata dalam bahasa Melayu terbentuk daripada perkataan ‘raja’.

Misalnya, dalam konteks ketenteraan lama, istilah ‘raja laut’ merujuk kepada gelaran laksmana, pangkat tertinggi dalam angkatan laut.

Dalam dunia haiwan, singa digelar ‘raja rimba’ sebagai simbol kekuatan dan keberanian haiwan liar.

Pasangan pengantin pula diberikan gelaran ‘raja sehari’ dalam budaya perkahwinan Melayu kerana penampilan mereka yang segak dan anggun bak raja dan permaisuri, sambil duduk di pelamin yang diibaratkan takhta.

Selain itu, dari aspek flora dan fauna, perkataan ‘raja’ turut dirangkaikan untuk membentuk kata nama khas seperti burung raja udang dan ulam raja.

Burung raja udang atau kingfisher ialah burung kecil berwarna biru dan jingga yang bergerak di atas air untuk memburu ikan, manakala ulam raja ialah sejenis herba yang daunnya dimakan mentah sebagai ulam, hidangan tradisi Melayu.

Burung raja udang atau dalam bahasa Inggeris, ‘kingfisher’, ialah burung bersaiz kecil berwarna biru dan jingga yang bergerak di atas permukaan air untuk memburu ikan.
Burung raja udang atau dalam bahasa Inggeris, ‘kingfisher’, ialah burung bersaiz kecil berwarna biru dan jingga yang bergerak di atas permukaan air untuk memburu ikan. - Foto PIXABAY

Dari segi perubatan, kata ‘raja’ terdapat dalam nama sejenis penyakit – ‘raja singa’.

Penyakit ini, atau lebih dikenal sebagai sifilis, merupakan penyakit kelamin kronik yang berjangkit.

Kata terbitan

Perkataan ‘raja’ menghasilkan kata terbitan seperti ‘kerajaan’ apabila diimbuhkan, merujuk kepada negara yang rajanya ialah ketua pemerintah, contohnya Malaysia dan Arab Saudi.

‘Maharaja’ pula, terbentuk daripada imbuhan ‘maha-’ (bererti besar), membawa maksud gelaran raja-raja besar yang berkedudukan lebih tinggi daripada raja biasa.

Daripada ‘maharaja’, terbit pula ‘maharajalela’ iaitu gelaran ketua menteri yang tugasnya memenggal kepala orang yang bersalah terhadap raja.

Kesimpulan

Kepelbagaian istilah dan penggunaan ini membuktikan bahawa perkataan ‘raja’ bukan sahaja merujuk kepada gelaran pemerintah yang berkuasa, malah turut mencerminkan aspek budaya, alam semula jadi, dan perubatan dalam masyarakat Melayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg