Dari gelanggang pertandingan ke pentas teater, dua anak muda, Cik Diandra Alika Pramesti dan Encik Amirul Shafiq Faizul, membuktikan bahawa keberanian mencuba sesuatu yang baharu mampu membuahkan hasil luar biasa.
Cik Diandra, 22 tahun, lulusan Institut Pengurusan Singapura (SIM), merupakan peserta kali pertama Rentak Budaya 2025 – satu acara pementasan bertema yang berlangsung dua kali setahun.
Berbekalkan pengalaman sekitar lebih setahun dalam seni silat tanding, beliau tampil dalam watak sebagai “Ular”, seorang antagonis yang hanya menggunakan gerak tubuh tanpa sebarang dialog tetapi hanya melalui ekspresi wajah dan fizikal.
Untuk mendalami watak, beliau mendengar muzik ‘underground‘ dan dramatik, serta menghayati peranan itu dalam kehidupan seharian.
Dalam pementasan berjudul Telatah Nenek Moyang pada 6 Julai itu, beliau berganding bersama seorang lagi pelakon, Encik Amirul melalui babak pertarungan yang memerlukan beberapa kali latihan sebelum mencapai kesempurnaan.
Encik Amirul, 23 tahun, pelajar dari Institut Teknologi Singapura (SIT), pula membawakan watak “Atok” dalam pementasan itu.
Ini juga merupakan kali pertama Encik Amirul menceburi lakonan pentas, dan seperti Cik Diandra, beliau tidak menggunakan dialog, hanya gerak tubuh untuk menyampaikan kisah itu.
Kedua-duanya menghadapi cabaran besar menghasilkan watak yang kompleks dan belajar menzahirkan emosi melalui pergerakan sahaja.
Encik Amirul, yang biasa dengan silat bersifat pertandingan, mengakui perlu keluar dari zon selesa untuk menjayakan lakonan fizikal ini.
Beliau mendapatkan ilham daripada menonton aksi gusti profesional, pementasan muzikal seperti Hamilton, serta video YouTube bagi memahami cara menyampaikan emosi di pentas.
Salah satu cabaran terbesar baginya ialah untuk menangis di atas pentas.
“Saya bayangkan satu kisah peribadi yang menyentuh hati dan air mata mengalir sendiri,” katanya.
Namun, dengan sokongan jurulatih silat Encik Muhammad Hafiyyan Taufik, 24 tahun dari pertubuhan persilatan Aliran Bebas, kedua-dua pesilat dapat menjayakan lakonan mereka.
Cik Diandra dan Encik Amirul mengakui, penyertaan dalam Rentak Budaya mengubah perspektif mereka terhadap pantang larang.
Pada mulanya dianggap sebagai kepercayaan lapuk, mereka kini memahami nilai praktikal dan moral di sebalik setiap larangan.
Rentak Budaya 2025 mengetengahkan pantang larang dan peribahasa Melayu – khazanah budaya yang semakin dilupakan – dalam bentuk pementasan moden yang menggabungkan unsur jenaka, perjalanan masa dan kisah mistik kampung.
“Ia bertujuan untuk menarik perhatian generasi muda agar lebih menghargai nilai-nilai warisan” kongsi Cik Sarah Safina Anwar, 21 tahun, pelajar Universiti Teknologi Nanyang (NTU) yang menyertai acara tersebut sebagai ahli jawatankuasa penganjur buat kali pertama.
Kumpulan produksi memanfaatkan pelbagai bentuk seni tradisional termasuk tarian Melayu, silat, dikir barat, drama dan puisi untuk menyampaikan mesej budaya dengan cara yang menarik dan relevan.
Rentak Budaya 2025 menyaksikan penyertaan pelajar dari pelbagai institusi seperti NTU, SIT, SIM, Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Politeknik Temasek (TP), dan lain-lain institusi pengajian.
Acara tersebut turut dihadiri oleh Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, dan mendapat sambutan hangat daripada para pengunjung, yang rata-ratanya memuji jalan cerita yang menyentuh hati serta mesej pengajaran yang disampaikan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg