Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Semai akhlak, disiplin belia dari masjid ke gelanggang silat

Lebih daripada kegiatan fizikal, kelas ‘Silat Solat’ Masjid Alkaff Kampung Melayu bina jati diri dan dekatkan anak muda kepada agama
Jul 18, 2025 | 5:30 AM
Sesi latihan kelas ‘Silat Solat’ Masjid Alkaff Kampung Melayu diadakan setiap Sabtu dari 7.45 malam hingga 9.45 malam di aras tiga.
Sesi latihan kelas ‘Silat Solat’ Masjid Alkaff Kampung Melayu diadakan setiap Sabtu dari 7.45 malam hingga 9.45 malam di aras tiga. - Foto-Foto MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU

Di Masjid Alkaff Kampung Melayu, kelas silat bukan sekadar satu kegiatan fizikal. Lebih daripada itu, ia adalah wadah membina jati diri dan mendekatkan anak muda kepada agama. Inisiatif ‘Silat Solat’ ini diselaraskan oleh Pegawai Pembangunan Belia (YDO), Ustaz Ammar Mohammad Bahrul-Ulum, yang melihat potensi silat sebagai jambatan yang menghubungkan riadah dan ibadah.

“Matlamat utama kami melalui kegiatan ini ialah menarik jemaah, khususnya belia, ke masjid. Dalam latihan kami, apabila azan isyak berkumandang, kami berhenti untuk solat berjemaah sebelum menyambung sesi latihan. Inilah semangat Silat Solat,” jelas Ustaz Ammar.

Perguruan Silat Si Rumpun Padi yang bernaung di bawah Masjid Alkaff Kampung Melayu tidak terbuka kepada remaja lelaki sahaja, malah pelbagai peringkat umur dan jantina. Sesi latihan diadakan setiap Sabtu dari 7.45 malam hingga 9.45 malam di aras tiga masjid tersebut.

Sejak dimulakan pada 2015, sambutannya sangat memberangsangkan. Kini, terdapat empat gelanggang aktif di beberapa masjid lain, termasuk Masjid Darul Ghufran, Masjid Ar-Raudhah dan Masjid An-Nur. Malah, Perguruan Silat Si Rumpun Padi bakal membuka dua lagi gelanggang di Masjid Al-Istighfar dan Masjid Al-Mawaddah.

Bagi pelajar Mohamed Amsyar Rasul, 15 tahun, kelas Silat Solat telah membentuk peribadi dan kekuatan dalamannya.

“Saya aktif di Masjid Alkaff Kampung Melayu sejak darjah lima sebagai seorang sukarelawan. Sekarang saya dalam Alkaff Youth (kumpulan belia di Masjid Alkaff Kampung Melayu) dan menyertai Silat Solat sejak di menengah dua atas ajakan seorang kawan.

“Silat Solat berbeza kerana ia menekankan adab, disiplin dan hubungan dengan Allah swt. Kami tidak perlu membayar yuran, malah kami belajar juga tentang solat dan nilai-nilai Islam.

Walaupun sibuk dengan kerja sekolah dan komitmen lain, Amsyar tidak menjadikan itu halangan.

“Cabaran paling besar ialah menguruskan masa, tetapi saya belajar menyusun keutamaan dengan sokongan keluarga dan rakan-rakan,” ujar Amsyar, yang mewakili Masjid Alkaff Kampung Melayu dalam pertandingan silat.

Menjelang penyertaannya dalam Pesta Sukan, Amsyar mengakui berasa gugup. Beliau berkata: “Ini kali pertama saya bertanding, jadi memang takut. Tapi saya juga gembira sebab dapat mewakili Masjid Alkaff Kampung Melayu. Saya mahu raih pengalaman, bukan untuk menang semata-mata.”

Amsyar menambah bahawa masjid itu adalah tempat membina ketenangan dan kekuatan sambil menyumbang kepada masyarakat.

“Masjid bukan untuk orang dewasa sahaja. Anak muda juga mempunyai ruang untuk belajar, berkawan dan menyumbang. Saya harap lebih ramai lagi remaja akan aktif di Masjid Alkaff Kampung Melayu, dan bersama-sama membangunkannya sebagai sebuah masjid yang lebih mesra belia,” kata Amsyar bersungguh-sungguh.

Ustaz Ammar berkongsi harapannya terhadap generasi muda.

“Saya ingin melihat anak muda kita membesar sebagai individu seimbang, kuat dari segi fizikal, mantap dari segi mental, dan teguh dari segi kerohanian. Silat bukan sekadar seni mempertahankan diri, tetapi juga satu bentuk latihan disiplin diri yang menyeluruh. Ia menjadi wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt melalui adab, tatasusila dan semangat kebersamaan, di samping membentuk jiwa yang peka terhadap tanggungjawab sosial dan menghulurkan sumbangan kepada masyarakat,” tambah Ustaz Ammar.

CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:

Pemindahan bank OCBC: 581-608668-001

– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’ dan e-mel tangkap layar, atau screenshot, transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg.

Hantarkan cek kepada: LPM ALKAFF KG MELAYU

– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek dan kirimkannya kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221.

Paynow UEN: S94MQ0017D

– Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’.

Datang ke pejabat masjid

– Datang langsung ke pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, antara 9 pagi hingga 5:30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi hingga 5 petang.

Sila hubungi Masjid Alkaff Kampung Melayu di talian 6242-7244 untuk keterangan lanjut.

Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok, Facebook dan Instagram: @MasjidAlkaffKampungMelayu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg