Tanggapan bahawa seni dikir barat hanya ‘membuang masa’ anak muda hari ini adalah tidak benar kerana banyak manfaat dan kemahiran hidup boleh diraih daripada penglibatan mereka dalam seni itu.
Budaya Melayu yang dilestarikan masyarakat kini telah memberikan pengaruh baik yang telah mencorak keperibadian beberapa anggota veteran dikir barat.
Itulah antara perbincangan yang diutarakan dalam sesi perbincangan bertajuk, Huh? Dak-Dak Dikir Kental, yang diadakan pada 28 Jun sempena Festival Dikir Singapura.
Festival itu diadakan buat julung-julung kali oleh Serumpun DK SG dengan kerjasama Wisma Geylang Serai (WGS).
Berita Harian (BH) dan jenama golongan muda BH, OMGxBH, merupakan rakan media rasmi bagi acara itu.
Acara itu menampilkan bengkel kebudayaan, persembahan dikir serta reruai yang turut disertai OMGxBH.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Faishal Ibrahim, turut hadir selaku tetamu terhormat.
Dalam sesi perbincangan, penggiat seni tempatan, Rizal Ramli, 44 tahun, berkata anak-anak muda yang terlibat dalam dikir sering disalah anggap sebagai ‘kasar’ atau bising.
Namun, ini adalah sifat semula jadi apabila sekumpulan lelaki berkumpul bersama, tanpa mengira bangsa atau latar belakang, menjadikan ini suatu lumrah seharian.
“Malah, ia mencerminkan silaturahim yang erat antara penggiat dikir barat itu.
“Mereka lebih akrab disebabkan pergaulan dan persahabatan itu,’‘ katanya dalam sesi perbincangan yang dihoskan oleh Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, yang juga hos OMGxBH, Cik Kaiyishah Ayuni.
Anggota panel, Aidli Mosbit, 51 tahun, yang merupakan veteran teater dan kini Pensyarah Kanan di Politeknik Temasek, menceburi seni dikir barat sejak di bangku sekolah menengah pada 1988.
Beliau berkata dikir barat telah memberi pengaruh positif terhadap dirinya.
“Dikir barat telah memberi saya ruang untuk meraih pelbagai kemahiran termasuk kemahiran kepimpinan, pengurusan projek dan cara menjaga satu sama lain dalam kumpulan dikir wanita.
“Selain itu, kami dapat meningkatkan penguasaan bahasa melalui penglibatan seni dikir ini,’‘ jelas Aidli.
Beliau menekankan bahawa pendikir patut bangga dipanggil ‘kental’ kerana pengalaman yang mereka raih telah menjadikan diri mereka lebih kuat.
Antara yang mengupas tentang cabaran mempelajari dikir ialah Firdaus Faisal, 41 tahun, Pensyarah Dikir Barat di Maktab Seni LaSalle.
“Dikir barat tidak terhad kepada pelajar bangsa Melayu sahaja.
“Namun, cabaran bagi pelajar daripada bangsa lain berbeza.
“Mereka menghadapi kesukaran yang lebih besar untuk memahami bahasa dan menghayati unsur kemelayuan dalam seni ini,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata seni itu turut diminati pelajar bukan Melayu, termasuk pelajar dari Russia.
Dalam membincangkan cabaran, beliau menambah bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam seni itu tidak semestinya terhad kepada frasa atau kosa kata yang rumit atau berbunga-bunga.
Wujud tanggapan salah bahawa seni dikir susah disebabkan kemahiran sastera dan pengolahan bahasa yang kompleks, serta penggunaan perkataan yang sukar difahami.
“Lirik yang lebih mudah dapat difahami dan menghasilkan kesan yang mendalam,” ujar Firdaus.
Menyokong pandangan itu, I’zzul Amirullah, 28 tahun, berkata lirik yang mudah penting agar generasi muda dapat memahami dan menghargai maksudnya, berbanding penggunaan bahasa yang terlalu sukar.
I’zzul, yang terlibat dalam dikir barat sejak di politeknik hingga ke universiti, kini masih aktif membuat persembahan bersama kumpulan Kelana Purba sebagai anggota generasi keenam.
“Tak kenal maka tak cinta,” jelasnya, sambil menekankan kepentingan usaha mengenali dan menghayati keindahan seni serta semangat perpaduan yang terjalin dalam kalangan penggiatnya.
Mengimbas permulaan beliau dalam seni itu, I’zzul berkongsi beliau mula menyertai seni tersebut secara tidak disangka, apabila dijemput ke sesi dikir sewaktu sedang mengecas telefon bimbit di ruang latihan rakannya.
Selain sesi perbincangan itu, festival yang diadakan turut menampilkan persembahan daripada kumpulan muzik dan dikir termasuk KelanAkustika, kumpulan akustik oleh Kelana Purba; kumpulan dikir barat Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central, Arwinda; dan lain-lain.
Acara itu menyatukan semua penggiat dikir dengan persembahan penutup daripada kumpulan dikir Arwinda, yang membuka ruang kepada para hadirin untuk berdikir bersama di kawasan pentas, termasuk Dr Faishal.
Beriramakan lagu penutup dikir, Wau bulan, festival tersebut turut disokong oleh Mak Besar dan kumpulan dikir barat, Andika Kencana bagi menyokong inisiatif SG60 Bersama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg