Topik diikuti
Pergi ke BHkuSelami makna ‘laut’ dalam bahasa Melayu
Selami makna ‘laut’ dalam bahasa Melayu
Kedekatan masyarakat Melayu dengan laut ilham pelbagai istilah
Selami makna ‘laut’ dalam bahasa Melayu
Dalam alam Melayu, terutama masyarakat Melayu tradisional, laut saling berkait rapat dengan cara hidup, ekonomi dan budaya.
Hal ini disebabkan kedudukan Nusantara yang dikelilingi perairan, menjadikan laut bukan sahaja sumber air dan makanan, malah laluan perhubungan, perdagangan, serta punca rezeki bagi nelayan, pedagang, nakhoda, pelaut dan awak-awak kapal.
Sehingga ada satu ungkapan yang mengatakan bahawa ‘Melayu itu adalah mereka yang tidak akan berjalan kaki selagi perahu mereka boleh sampai. Tidak akan berumah di tanah kering selagi ada tanah berpaya’.
Ungkapan ini menunjukkan betapa sebatinya laut dengan jiwa dan kelangsungan hidup masyarakat Melayu tradisional.
Maka, mereka menjadi bangsa pelaut yang ulung, mahir menakluki perairan serta menjadikan pesisir sebagai nadi petempatan, perdagangan, dan jendela kepada dunia luar.
Beza laut, lautan dan samudera
Menurut Kamus Dewan, ‘laut’ ditakrifkan sebagai kumpulan air masin yang meliputi sebahagian besar permukaan bumi.
‘Lautan’ pula merujuk kepada entiti yang sama, namun dengan keluasan yang jauh lebih besar.
Di dunia ini, terdapat lima lautan, iaitu Lautan Pasifik, Atlantik, Artik, Hindi dan Selatan (Antartika), di samping lebih daripada 50 buah laut yang lain.
Selain ‘lautan’, terdapat juga perkataan ‘samudera’ yang turut membawa maksud yang sama.
Walaupun maknanya sama, penggunaan istilah ‘samudera’ jauh lebih lazim dalam bahasa Indonesia berbanding bahasa Melayu.
Contohnya, Lautan Pasifik sering dirujuk sebagai Samudera Pasifik oleh masyarakat di sana.
Sebaliknya, dalam bahasa Melayu, ‘samudera’ membawa nuansa klasik dan puitis, yang sering menghiasi karya sastera kita.
Pelaut, kelautan, melaut
Apabila kata dasar ‘laut’ menerima imbuhan, maknanya berkembang daripada sekadar kawasan air masin, kepada hal yang berkaitan dengan pelayaran dan pekerjaan di laut.
Antaranya ialah ‘pelaut’, yang merujuk kepada orang yang biasa belayar, manakala ‘kelautan’ membawa maksud hal atau perkara yang berkaitan dengan laut.
Contoh penggunaan perkataan ‘kelautan’ adalah seperti berikut:
Anak bangsa kita perlu menguasai bidang kelautan, termasuk ilmu perkapalan, pelayaran dan pengemudian, agar dapat menghargai kebijaksanaan nenek moyang yang pernah menguasai perairan.
Kata terbitan ‘melaut’ pula membawa makna belayar di laut, atau boleh dijadikan sebagai kiasan yang merujuk kepada sesuatu yang banyak atau ramai bilangannya, seolah-olah memenuhi ruang yang luas (seperti laut).
Misalnya ‘melaut’ digunakan dalam konteks ayat berikut: Ribuan mahasiswa di Indonesia melaut di jalanan, bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu ekonomi, sosial dan demokrasi negara pada 15 Jun.
Gaya bahasa
Sebilangan peribahasa Melayu yang berteraskan perkataan ‘laut’ membuktikan betapa dekatnya unsur ini dengan kehidupan masyarakat silam.
Ia merangkumi pelbagai keadaan, antaranya ‘mabuk laut’ iaitu keadaan pening dan muntah-muntah ketika dalam pelayaran.
Pepatah seperti ‘asam di darat, ikan di laut, bertemu dalam belanga juga’ yang membawa maksud lelaki dan perempuan, jika sudah berjodoh, akhirnya akan bersua juga.
Tidak lupa juga peribahasa, ‘sekepal menjadi gunung, setitik menjadi laut’, yang bermaksud membesar-besarkan perkara yang kecil.
Sementara itu, ‘kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga’ membawa maksud jika pengetahuan hanya sedikit sahaja, janganlah hendak melawan orang yang lebih banyak pengetahuannya.
Kita serahkan sahaja kepada mereka yang berilmu untuk datang membimbing kita, mencurahkan pengetahuan yang bermanfaat, sebagaimana ‘laut datang memunggah mutiara’.
Selain peribahasa, perkataan ‘laut’ juga hadir dalam ungkapan slanga masyarakat.
Misalnya, apabila seseorang bertanya, “Macam mana pelajaran anak awak?” lalu dijawab, “Hmmm… ke laut...,” ungkapan itu membawa maksud prestasi pelajaran si anak tidak begitu baik atau tidak menjadi.
Ini kerana ‘ke laut’ memberi gambaran bahawa seseorang itu pergi ke tengah laut terbuka, yang jauh dari daratan.
Maka, apabila sesuatu dikatakan ‘ke laut’, maksudnya perkara itu sudah tersasar atau terpesong jauh daripada yang diharapkan.
Dalam karya sastera dan seni pula, perkataan ‘lautan’ selalu digunakan sebagai metafora.
Lautan dilihat sebagai sesuatu yang dalam, luas dan sukar ditakluki.
Contoh frasa seperti ‘hanyut di lautan sepi’ menggambarkan kesunyian yang mendalam, manakala ungkapan ‘lautan api sanggupku redah’ melambangkan keberanian dan kesanggupan seseorang mengharungi dugaan demi sesuatu atau seseorang yang dicintai.
Kesimpulan
Kesimpulannya, laut bukan sekadar hamparan air masin yang luas, bahkan ia menjadi sumber kehidupan, keterhubungan, medan ekonomi dan cermin kebijaksanaan masyarakat Melayu dalam menghidupkan bahasa melalui kepelbagaian gaya.
