Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Cerpen

Seorang Lelaki Berkopiah

Aug 13, 2023 | 05:30 AM



OLEH MAAROF SALLEH

Kami akhirnya sampai ke ibu kota negeri Cik Siti Wan Kembang. Waktunya malam, jam 10 lewat 20 minit. Lega rasanya setelah lama terperuk dalam kereta sepanjang perjalanan lapan jam dari Johor Bahru.

Hembusan bayu Kota Bharu membantu menghilangkan rasa keletihan.

Aku satu-satunya perempuan dalam rombongan empat orang dalam kereta yang dipandu Profesor Idris. Kulihat lelaki bertiga itu sempat meregang tangan melembutkan otot-otot yang kejang. Sebagai perempuan, segan pula aku untuk berbuat yang sama.

Nampak gayanya, Kota Bahru masih segar walaupun jelas tidak sesibuk KL ataupun JB di selatan. Apa lagi berbanding Singapura, tempat asalku. Di waktu begitu, Kota Bharu masih belum mati.

Bunyi bising dan hingar-bingarnya sahaja yang berbeza.

Dari dalam kereta, kami masih dapat mendengar dendangan lagu-lagu rancak yang biasa didengar di kota-kota yang kusebut. Berselang dengannya, pada tempat-tempatnya, kedengaran juga alunan suara bacaan ayat-ayat suci. Pastinya datang atau berkumandang dari corong masjid-masjid sekitaran.

Profesor Idris mengemudi Hyundai Sonata hitamnya perlahan-lahan masuk ke pekarangan hotel mencari ruang untuk parkir. Nampak ada ruang-ruang kosong di hujung kanan bangunan hotel. Dia memparkir keretanya dengan cermat di sebuah ruang kosong.

Dari bahagian itu, kami dapat melihat dengan jelas Masjid Muhammadi tidak jauh di hadapan.

Sejurus selepas turun dari kereta, entah dari mana, tiba-tiba sahaja muncul seorang lelaki bergamis dan berkopiah. Terkejut kami dibuatnya. Dia menghampiri Profesor Idris, orang pertama membuka daun pintu kereta.

Kurasa, aku yang paling terkejut. Mungkin selain sebagai seorang perempuan, aku juga kurang berwaspada tidak seperti rakan-rakan yang lain.

Mujur kegugupan itu sebentar sahaja.

Kami lega kerana mendapati lelaki berkopiah itu tidak sedikit pun mengancam.

Aku sendiri melihatnya sedikit lucu. Wajahnya jelas gambaran orang yang mahukan simpati. Dia tersengeh-sengeh. Jari tangannya mengisyaratkan tanda satu.

“Ambo sakit,” katanya perlahan dengan loghat Kelantan pekat.

Kami berpandangan.

“Tapi ambo bukan gila,” tambahnya cuba meyakinkan kami.

“Minta serial,” tambahnya selamba, masih terus tersengeh.

Sebagai perempuan, rasa kasihanku lebih cepat terbangkit. Mahu saja rasanya aku segera mengeluarkan wang. Memberinya sedekah.

Begitupun, bersamaku ada Profesor Idris, Haji Deraman dan Haji Usman. Mereka orang terhormat, lebih tua dariku. Rasanya tidak wajar aku bertindak mendahului mereka.

“Mana kad kamu,” tanya Profesor Idris lembut, tepat memandang lelaki berkopiah itu.

Aku faham maksud Profesor Idris bertanyakan kad lelaki berkopiah itu. Mantan maha guru jabatan psikologi itu memang cukup berpengalaman menangani kes begitu. Dia tahu sesiapa yang mendakwa dirinya sakit, seperti lelaki berkopiah itu, mesti ada kad pengenalan khas yang dikeluarkan pihak berwewenang.

Benar. Lelaki berkopiah itu spontan menyeluk saku gamisnya. Dikeluarkannya sekeping kad.

Sepantas itu juga dia berkata, “Kalo macam ni, kena tambah serial lagilah,” ujarnya lebih selamba.

Haji Deraman tidak jadi mahu melihat dan mengesahkan kad itu apabila Profesor Idris segera mengisyaratkannya tidak perlu. Dengan hanya menjeling sepintas lalu, Profesor yang berpengalaman itu tahu memang itu kad yang benar.

“Apa sebab kamu sakit?” tanya Profesor Idris lagi, masih lembut dan bersahaja.

Nampaknya dia sedang menggunakan pengalaman pekerjaan dan kepakarannya cuba menjalin hubungan baik dengan lelaki berkopiah itu. Mahu cuba diketahuinya latar belakang pesakit baru tidak rasminya itu.

Lelaki berkopiah itu masih selamba tersengeh-sengeh.

Kami bertiga tersenyum melihat reaksi selambanya. Kami sengaja membiarkan Profesor Idris meneruskan komunikasinya.

Dan lelaki berkopiah itu mula menjawab pertanyaan Profesor Idris.

Perlahan-lahan dia mengongsi ceritanya.

Katanya, dia jatuh sakit sebab kecewa isterinya telah lari meninggalkannya. Jelasnya, isterinya sudah putus, tidak lagi mahu tinggal bersamanya. Sebagai suami, dia tidak dapat menerima tindakan isterinya itu.

“Sejak isteri lari, ambo sukar melupakannya. Ambo tambah runsing. Akhirnya ambo jatuh sakit.”

Wajahnya berubah. Jelas dia sungguh sedih bercerita punca dirinya jatuh sakit.

“Kepala ambo sakit. Seluruh badan ambo sakit,” jelasnya berterus-terang tanpa ditanya.

Dia berhenti sebentar menahan pilu hatinya. Kemudian menyambung lagi ceritanya.

Katanya, “Walau bagaimana sakit pun, ambo tetap datang ke masjid ini dan solat.”

Dia tunduk – cuba melarikan wajahnya dari pandangan kami.

Sungguh lelaki berkopiah itu sedih mengkhabarkan perihal nasib malangnya.

Keramahan Profesor Idris mendekatinya, aku yakin, pastinya telah membuat lelaki berkopiah itu berasa selamat meluahkan perasaan sedih dan kecewanya.

Perasaan kami sendiri tersentuh mendengar perkongsian nasibnya. Kami, lebih-lebih diriku, sungguh berasa simpati akan nasibnya.

Kami menghargai keikhlasannya berterus-terang menceritakan penderitaannya kepada kami – orang-orang yang belum dia kenal, bahkan belum pernah ditemui sebelum ini.

Aku paling terkedu. Sekali lagi mungkin kerana aku seorang perempuan – lebih sukar mengawal emosi berhadapan suasana demikian.

Pertemuan itu sangat menggugah emosi keperempuananku. Aku terharu mendengarnya terutama perihal bagaimana rumahtangga lelaki berkopiah itu telah menjadi punca dia menderita kehidupannya sekarang.

Aku tabik dengan kekentalan sikapnya. Kuhormati itu kerana di sebalik sakitnya, dia masih tetap datang ke masjid untuk sama berjemaah.

Hatiku berbisik: diriku sendiri yang sihat, mungkin tidak mampu terbuat begitu. Rasa kesal bercampur malu cepat datang menyentak fikiranku. Mengusik ketenangan diriku.

“Sudahlah, buang yang lama, ambil yang baru.”

Lamunan singkatku dikejutkan oleh kata-kata Profesor Idris yang ditujukan langsung kepada lelaki berkopiah di hadapan kami. Kepada lelaki berkopiah itu, kata-kata tersebut datang sebagai sebuah nasihat langsung untuk dirinya. Mungkin.

Kuperhatikan Haji Deraman dan Haji Usman tersenyum simpul mendengarkan nasihat profesor yang mereka hormati itu. Aku percaya, hati mereka pasti bersetuju dengan nasihat tersebut.

Lelaki berkopiah yang mengadu sakit dan dianggap gila itu masih dengan reaksi bersahajanya. Wajahnya kini ketara menunjukkan dia menerima baik nasihat Profesor Idris.

Hatiku pula bertanya: apakah mungkin lelaki berkopiah itu boleh dan dapat menerima nasihat begitu?

Apakah dia tahu pelbagai implikasi yang mungkin berlaku akibat daripadanya?

Aku bahkan bertanyakan diriku sendiri: Bolehkah lelaki itu akhirnya nanti melupakan isteri yang telah meninggalkannya? Apakah sakitnya, gilanya, benar-benar dapat sembuh jika dia berbuat seperti yang disarankan Profesor Idris?

Semakin banyak yang perlu kutanyakan sendirian. Apakah agaknya dosa yang telah dilakukan lelaki itu sampai isterinya lari daripadanya? Bukankah dia seorang yang memelihara agamanya? Dia rajin ke masjid. Bahkan, seperti katanya, dalam keadaan dirinya amat menderita sakit, dia tetap datang ke masjid dan bersolat.

Sekali lagi aku tersentak dari lamunan singkatku. Kali ini bukan dari Profesor Idris, tetapi dari lelaki berkopiah itu, yang bersuara dengan jelas: “biso abe nih; walau kopiah tak ada atas kepala, pun baik.”

Kami semua tersenyum mendengar kata-kata itu. Kami kagum dengan kehebatan cara Profesor Idris mengendalikan kesnya sampai mendapat penghormatan dari orang yang mengaku dirinya sakit dan gila.

Bagiku, ada beberapa pengertian yang dapat kubaca dari ungkapan lelaki berkopiah itu. Mengapa dia bercakap mengenai kopiah di kepala? Apakah ada peristiwa atau pengalaman penting mengenai kopiah?

Aku bertanya diriku. Tiada jawapannya.

Hatiku cuba merumuskannya sendiri. Fikirku, “Mungkin selama ini dia hanya berurusan dengan orang-orang di masjid yang sering memakai kopiah. Dan orang-orang berkopiah sering dianggap orang-orang baik dan rapat dengan agama.”

Kata hatiku lagi:

“Apakah mungkin disebalik kopiah masing-masing, mereka masih melayannya sebagai orang sakit dan gila. Kemudian, datang orang seperti Profesor Idris. Walaupun tidak berkopiah, dia melayannya penuh mesra. Malah dapat memberinya nasihat.”

Apakah rumusanku itu benar? Aku bertanya dalam hati. Dan pastinya aku sendiri tidak mempunyai jawapannya.

Sedang malam semakin tua. Kami memang sudah cukup letih. Kami harus segera berehat.

Sebelum bergerak, kami bersedekah seadanya kepada lelaki berkopiah itu. Jelas dia gembira. Dia meninggalkan kami dengan gelagat seperti di permulaan kami menemuinya tadi. Selamba dan tersengeh.

Langkahnya perlahan. Dia menuju kembali ke arah masjid.

Kami kembali untuk berehat di hotel. Esok ada acara lain yang perlu dihadiri.

Sendirian di kamar, aku sukar melelapkan mata.

Fikiranku terus menerawang mencari pengertian dari kisah pertemuan dengan lelaki berkopiah tadi. Lebih banyak soalan berligar di benakku.

Kukenang semula peristiwa tadi. Kuingat kata-kata lelaki itu.

Apakah begitu kuat cintanya terhadap isterinya sampai dia tersiksa apabila mereka berpisah? Dosa apakah yang dia lakukan sampai-sampai isterinya minggat? Di mana pula datang kekuatannya untuk terus ke masjid walaupun dalam keadaan dirinya dikira sakit dan gila?

Apakah dia ke masjid untuk dirinya mendapat ketenangan? Atau, mungkin itu hanya satu pelarian daripada masalahnya?

Aku semakin sesak mencari jawapan kepada soalan-soalan yang aku tak punya jawapannya.

Mungkin Profesor Idris sudah lena dibuai mimpi selepas menunaikan satu tugasnya. Haji Deraman dan Haji Usman juga mungkin sepertinya.

Aku masih memikirkan nasib seterusnya bagi lelaki berkopiah tadi.

Dia seorang lelaki yang sungguh mencintai isterinya. Seorang suami yang rajin ke masjid. Seorang hamba Allah yang dituduh gila tetapi tahu menghargai khidmat seorang profesor yang melayaninya dengan baik.

Tetapi, dia sungguh berdukacita apabila isterinya memutuskan untuk meninggalkannya sendirian. Dia menjadi begitu sedih dan kecewa. Akhirnya, dia jatuh sakit. Kemudian, orang mendakwanya gila.

Sungguh satu tragedi!

Kenangan bertemu seorang lelaki berkopiah ini pasti kubawa ke Selatan setelah selesai semua urusan di sini.

Kini, aku berusaha keras untuk lena.

Di luar, kedengarannya Kota Bharu masih bernyawa.

BIODATA PENULIS


Maarof Salleh pernah menjadi zamil kanan kajian di Institut Pengajian Asia Tenggara.

Beliau pernah mengajar subjek Bahasa Melayu, Sastera, Ekonomi dan Sejarah pada pelbagai peringkat, dan mengetuai Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama sedekad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >