Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Siri Naira Comel’ kembalikan nostalgia cipta mainan guna kotak kasut, penyapu

Oct 27, 2025 | 5:30 AM
Siri Naira Comel, Rhaimie Wahap
Penulis, ‘Siri Naira Comel’, Rhaimie Wahap (duduk, kanan), bersama pelukis siri tersebut, Chayanid Siripaiboolpong (duduk, kiri). Mereka bergambar bersama anggota keluarga Rhaimie di majlis pelancaran siri buku tersebut di Muzium Kanak-Kanak Singapura. - Foto ihsan RHAIMIE WAHAP

Bagi penulis, Rhaimie Wahap, permainan bukan sekadar hiburan.

Ia wadah penting dalam membentuk kreativiti dan menjalin hubungan kekeluargaan.

Siri buku sulungnya untuk kanak-kanak, Siri Naira Comel, yang mempunyai dua buku – Naira dan Senduk Ibu dan Naira dan Pengikat Rambut Kakak – lahir daripada kenangan zaman kecil yang sarat dengan imaginasi dan keriangan.

Apa yang menarik, semua keseronokan itu bermula daripada barangan biasa yang terdapat di rumah.

Rhaimie, 58 tahun, penyunting pameran di sebuah syarikat penerbitan, sudah lama akrab dengan dunia penulisan.

Selepas lebih 15 tahun menulis, beliau kini mencuba genre baru yang dekat di hatinya, iaitu buku bergambar untuk kanak-kanak.

Lebih bermakna bagi Rhaimie, setiap karya tulisannya turut menyingkap kenangan indah dari zaman kanak-kanak.

Rhaimie membesar dalam keluarga yang ramai, dan seperti kebanyakan kanak-kanak pada zaman dahulu, beliau serta adik-beradiknya sering menjadikan benda di rumah sebagai alat permainan.

Mereka menggunakan kotak kasut untuk membuat kereta mainan, penyapu dijadikan kuda kepang, serta peralatan seperti gunting, pita pelekat dan gam pula merupakan bahan membentuk pelbagai ciptaan.

Semuanya hasil tangan dan imaginasi sendiri, tanpa memerlukan gadget atau permainan mahal.

“Kami buat kereta daripada kotak kasut dan kuda kepang daripada penyapu.

“Semakin membesar, ciptaan kami pun jadi lebih canggih,” kata Rhaimie.

Pengalaman itulah yang menjadi teras kisah Siri Naira Comel.

Siri tersebut mengisahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun bernama Naira yang kreatif menggunakan barang-barang dapur dan peralatan rumah untuk mencipta dunia permainannya sendiri.

Turut ditampilkan ialah anggota keluarganya seperti ibu bapa dan kakaknya, yang sama-sama terlibat dalam dunia permainan itu.

Terdapat beberapa watak unik dalam siri tersebut, seperti kumpulan pancaragam, bintang pop yang menyanyi, penari disko, malah duyung pun ada.

Watak itu dirasakan dapat merangsang minat dan imaginasi kanak-kanak.

Bagi Rhaimie, siri tersebut bukan sekadar satu kisah cereka, malah satu bentuk teguran lembut kepada ibu bapa masa kini.

Beliau melihat satu gejala membimbangkan dalam kalangan kanak-kanak masa kini – pendedahan kepada peranti digital yang terlalu awal dan terlalu kerap.

Hal ini, katanya, boleh menjejas perkembangan minda dan mengehadkan daya imaginasi kanak-kanak.

“Menerusi kisah Naira ini, saya mahu galakkan ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak.

“Bermain bersama, berimaginasi, itu semua boleh dilakukan dengan barang yang ada di rumah,” katanya.

Proses penghasilan buku itu memakan masa hampir setahun.

Setelah merangka jalan cerita, beliau turut melakar sendiri gambaran kasar setiap babak dan watak, sebelum menyerahkannya kepada seorang pengilustrasi muda dari Thailand, Chayanid Siripaiboolpong, 20-an tahun.

“Pengilustrasi ini sangat berbakat. Melalui lakaran yang saya berikan, beliau mampu menzahirkan apa yang saya bayangkan dengan begitu tepat. Hasil lukisannya amat menarik,” ujar Rhaimie.

Cabaran utama dalam menyiapkan buku itu hanyalah masa.

Sebagai seseorang yang bekerja sepenuh masa, beliau perlu bijak membahagikan masa antara kerja, keluarga dengan penulisan.

“Saya mesti peka dengan tarikh akhir. Itu saja cabaran paling besar,” katanya.

Kepada penulis muda yang ingin meneroka genre buku kanak-kanak, Rhaimie menasihatkan agar mereka sentiasa membaca, rajin menulis dan peka terhadap persekitaran.

Menurut Rhaimie, idea boleh datang dari mana-mana sahaja, jika kita rajin memerhati.

Siri Naira Comel, termasuk Naira dan Senduk Ibu, kini boleh didapati dalam talian menerusi laman rasmi penerbit, Ungu Pen di https://bh.sg/naira

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg