Pengalaman menerokai dan melayari selok-belok kehidupan di negeri orang tentunya mampu mematangkan serta meluaskan pandangan seseorang terhadap dunia.

Begitulah yang dirasakan pelakon pentas, Rusydina Afiqah Razali, 32 tahun, sepulangnya dari bumi kiwi New Zealand sejak pertengahan 2024.

Bersama seorang lagi temannya, Rusydina mengumpulkan tekad untuk meneroka peluang baharu di negara itu melalui visa percutian bekerja pada 2022.

Dalam tempoh setahun lebih, beliau telah melakukan pelbagai jenis pekerjaan termasuk selaku kakitangan di kilang epal, juruwang kedai runcit sekali gus berjinak-jinak dalam bidang pertanian serta makanan dan minuman (F&B).

Apabila dihubungi Berita Harian (BH) melalui Zoom baru-baru ini, Rusydina berkongsi pengalaman dan gagasan yang diraih, yang telah memberi pandangan segar serta semangat baharu dalam menjalani kehidupan di Singapura.

“Sebenarnya, ia adalah perkara yang tidak dirancang. Dulu, saya pun tidak tahu visa percutian bekerja ini wujud!

“Namun, saya menemui satu perkara baru tentang diri saya iaitu – saya boleh lakukan apa saja!

“Sebelum ini, saya juga aktif mengajar sambil berlakon dalam pementasan teater.

“Kini, saya ambil keputusan untuk perlahankan kegiatan mengajar dan tumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang lakonan pentas demi teroka lebih dalam kemampuan diri,” kata Rusydina.

Beliau juga baru sahaja selesai dengan pementasan, ‘Salina’, oleh kumpulan teater Melayu tempatan, Teater Kami, pada Mei lalu.

Menyentuh tentang projek terkininya, Rusydina bakal menjayakan pementasan keluarga (yang boleh dinikmati oleh kanak-kanak mahupun ibu bapa dan bertujuan memberi pendidikan) iaitu, Sara, Hana and Their Three Wishes.

Sempena Hari Keamanan Sedunia, naskhah pementasan yang bakal dibawakan oleh Kin Collective bersama Allegra Productions itu mengetengahkan tentang keadaan dunia yang dihimpit peperangan dan konflik sambil menegaskan nilai kedamaian dan kemanusiaan sejagat.

Diarahkan oleh Deborah Hoon dan Mitchell Fang, naskhah itu akan dipentaskan dalam tiga set persembahan pada 21 September, di Black Box, Pusat Seni Stamford.

Lebih menarik lagi, pementasan itu merupakan adaptasi buku kanak-kanak terbitan Kin Collective dengan judul yang sama, dan diinspirasikan daripada kisah benar kanak-kanak yang terkesan akibat konflik di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Rusydina yang memainkan watak sebagai kanak-kanak berusia 10 tahun, Sara, mengakur ia berat dari segi lakonan kerana perlu menggambarkan kedalaman emosi yang rumit – antara perasaan takut dengan gembira dalam keadaan kehidupan yang penuh kekacauan dan kekerasan.

“Apabila saya melihat keadaan yang berlaku di dunia melalui media sosial, ia amat menyedihkan.

“Lebih berat lagi ketika saya harus membawakan watak seorang anak kecil yang hidup dalam keadaan seperti itu, namun tidak putus-putus menanyakan bila keamanan akan hadir kembali.

“Saya perlu betul-betul meresapkan diri ke dalam dunia mereka, tetapi sukar dibayangkan betapa kacaunya keadaan kehidupan yang tidak sunyi daripada bunyi semboyan dan dentuman silih berganti,” kata Rusydina, siswazah Sarjana Muda Seni Teater di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).

Lebih daripada itu, inti pati penting yang ingin Rusydina tekankan dalam kisah itu adalah sinar harapan yang dipaparkan melalui persahabatan Sara dan Hana (lakonan Xuan Ong), bagi memupuk sifat kemanusiaan dan ihsan dalam kalangan anak kecil.

“Dalam kisah ini, saya perlu mencari keseimbangan emosi yang dipaparkan.

“Di tengah-tengah ketakutan dan ketidakpastian apa yang akan berlaku di kemudian hari, ada secebis kegembiraan dan harapan yang diraih melalui persahabatan antara Sara dengan Hana,” tambahnya.

Selain menghiburkan, Rusydina berharap pementasan itu mampu menjadi titik permulaan bagi perbincangan yang bermakna dan sihat antara ibu bapa dengan anak, khususnya bagi meningkatkan kesedaran tentang konflik yang berlaku di dunia.

Melalui pengalaman ini, nilai empati, harapan dan rasa ihsan diharap dapat disemai dalam diri kanak-kanak terhadap masyarakat sekeliling.

Di sebalik lakonan, pelakon drama, Aduh… Bibikku! (Siri Kedua) itu juga tidak kalah hebat dalam bidang memasak.

Bahkan, akhir-akhir ini, Rusydina aktif memuat naikkan video memasak di wadah sosial, Instagram, Masak Apa Sak, dengan pelbagai jenis hidangan yang diketengahkan – daripada masakan Melayu hinggalah Barat. 

Namun, apakah yang mencetuskan inspirasi untuk membuat kandungan memasak di media sosial?

Beliau berkata: “Kali pertama saya membuat kandungan memasak adalah ketika berada di New Zealand.

“Tuan rumah saya ingin mencuba masakan Melayu, kerana lazimnya, masakan kita kaya dengan rempah sehingga aromanya boleh dibau.

“Lebih-lebih lagi, dapur mereka sangat luas dan cantik di mana jarang kita lihat di Singapura, kan?

“Itulah yang membuat saya terdorong untuk membuat kandungan memasak. 

“Awalnya dulu dengan berlatarkan dapur-dapur indah di New Zealand.”

Sejauh ini, Masak Apa Sak memiliki sekitar 253 pengikut di Instagram, sehingga akhbar ini diterbitkan.

Beliau turut berharap agar kandungan memasaknya itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat di dalam mahupun di luar negara.

Sementara itu, bagi mereka yang berminat menonton pementasan, Sara, Hana and Their Three Wishes, tiket berharga antara $20 dengan $22 boleh diperolehi melalui laman web Ticket Tailor di pautan https://www.tickettailor.com/events/peace