Pejuang budaya dan aktivis Cik Yulianna Frederika pernah digelar pengacau apabila menimbulkan isu yang dianggap mencabar status quo.
Namun, celaan seperti itu tidak menghalangnya untuk terus terlibat aktif dalam perbualan demi perbualan dengan pelbagai lapisan masyarakat daripada belia hingga menteri, Anggota Parlimen (AP) dan pemimpin masyarakat tentang isu-isu sensitif seperti perkauman dan keadilan.
Pada usia 22 tahun, beliau menubuhkan Lepak Conversations – yang kini mempunyai 11 relawan – sedang dirinya juga mencari erti dan arah hidup seorang dewasa muda.
Pada 4 September, beliau dianugerahkan Tatler Asia Rising Champion (Pejuang Baru Tatler Asia), sebahagian daripada Anugerah Front & Female Singapore 2025 di Hotel The St. Regis Singapore.
Dipilih daripada senarai 22 calon, Cik Yulianna, kini berusia 27 tahun, menerima anugerah itu bagi usahanya “meluaskan suara minoriti dan membentuk semula wacana melalui gerakan yang diterajui belia, menurut laman Tatler Asia.
“Berbicara soal perkauman secara terbuka di Singapura bukan hal yang digemari kerana betapa berharganya keharmonian kaum kita dijulang. Jadi, saya amat bersyukur Tatler mengiktiraf usaha kami sebagai sesuatu yang bermakna dan memberi kesan. Lebih bererti lagi kerana ia suatu pengiktirafan dari luar masyarakat Melayu/Islam sendiri.
“Kepelbagaian kaum inilah yang menjadikan Singapura istimewa. Maka penting untuk kita benar-benar berniat mengekalkannya, lebih daripada sekadar meraikan Hari Keharmonian Kaum,” ujar Cik Yulianna.
Jalan yang membawanya ke pentas hari ini bukan hasil kebetulan semata, tetapi jalan yang telah ditempuhinya setiap hari tatkala ke sekolah menengahnya di Sekolah Tinggi Pemerintah Bukit Panjang di Choa Chu Kang dari rumahnya di Tampines selama empat tahun.
Hanya sekolah itulah ketika itu yang menawarkan Program Elektif Seni Singapura (AEP) dan Program Elektif dalam Bahasa Melayu bagi Sekolah Menengah (Emas).
Ketabahan dan daya perjuangannya yang dikenali teman-teman, telah membantunya bertahan di jalan itu, bagi mencapai apa yang dimahu.
Dek sifat pemalunya sewaktu sekolah, beliau akan menulis nota untuk rakan-rakannya yang bergelut dalam kesusahan sebagai tanda prihatin dan caranya untuk berhubung.
Beliau juga akan menemani mereka yang sering duduk bersendirian di dalam kelas atau di kantin semasa waktu rehat, malah kadangkala memilih untuk berada di dalam kelas bersama mereka, sementara yang lain keluar makan.
“Saya tidak pernah suka melihat orang tersisih. Itu sesuatu yang masih saya pegang sampai hari ini,” kongsi Cik Yulianna.
Selama lima tahun mengemudi Lepak Conversations, beliau menyedari bahawa perbezaan antara generasi dan ideologi (konservatif dan progresif) sering menjadi punca perpecahan.
Anak muda mahu mencipta perubahan progresif, namun berdepan tentangan daripada generasi terdahulu yang cenderung mempertahankan dan memelihara tradisi mereka.
“Jika kita terus menolak pandangan anak muda hanya kerana ia berbeza, kita berisiko kehilangan anak muda yang berminat dan tidak cakna tentang masyarakat Melayu/Islam,” tegas Cik Yulianna.
Empati, saling memahami dan rasa hormat – usaha yang menurut beliau perlu digerakkan melalui pertukaran pandangan antara generasi serta penerimaan terhadap kepelbagaian bagi meredakan perpecahan berhubung generasi dan ideologi.
“Saya ingin melihat masyarakat Melayu/Islam yang lebih terbuka kepada kepelbagaian pandangan, agar lebih ramai di antara kita dapat berbangga menjadi seorang Melayu/Islam, serta merasakan kita benar-benar sebahagian daripada masyarakat tersebut, tanpa mengira perbezaan,” ujar Cik Yulianna.
Penglibatannya dalam kerja advokasi tidak hanya terbatas kepada kemunculan di pentas, seperti ketika beliau menjadi ahli panel dalam Persidangan Perspektif Singapura 2025 anjuran badan pemikir Institut Pengajian Dasar (IPS) pada 20 Januari.
Namun, kepentingan sikap ‘turun padang’ turut terserlah melalui kempen anjuran Lepak Conversations pada 2024 untuk menyingkap isu kesihatan mental lelaki dalam masyarakat Melayu/Islam, sehingga menghasilkan laporan pertama mengenai kesihatan mental lelaki Melayu di Singapura.
Dengan kejayaan menerbitkan majalah kecil terbitan sendiri atau ‘zine’ pertama Lepak Conversations berjudul The Inquisitive Future of Malayness, sempena ulang tahun kelima gerakan tersebut – kini didaftarkan sebagai sebuah badan bukan mencari untung – fokus seterusnya adalah untuk membangunkan lebih ramai anak muda.
Ini agar mereka lebih celik terhadap isu-isu dalam masyarakat Melayu/Islam, sambil membina keyakinan meluahkan pandangan mereka dan mencari atau mencipta jalan supaya dapat menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Bagi generasi wanita pada masa hadapan, beliau berharap mereka tampil berani dalam mengejar apa sahaja yang mereka cita-citakan, meskipun ia menolak stereotaip jantina tradisional. Sama ada ia dalam bidang astronomi, pentas teater, mahupun pengurusan jenazah.
“Saya ghairah melihat perkara ini kian dinormalisasi,” ujarnya.
Pemenang lain termasuk: Cik Pamela Chng (Anugerah Impak Sosial); Cik Lindsay Davis (Anugerah Kesejahteraan); Cik Janine Teo (Anugerah Merentas Sempadan, disampaikan oleh Luxury Group di Marriott International); Cik Lynette Tan (Anugerah Inovasi); Cik Durreen Shahnaz (Anugerah Pengasas); dan Cik Helen Wong (Anugerah Pemimpin Perniagaan).
Anugerah Front & Female mengiktiraf individu yang telah memberi kesan dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini, dalam usaha memajukan wanita dan kanak-kanak perempuan di Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg