Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teater muzika Sekolah Menengah Yuhua lestarikan legenda Mahsuri

Persembahan dianggap cerminan cerah masa depan seni teater S’pura
Dec 8, 2025 | 5:30 AM
bahasa, budaya, Teater muzika Sekolah Menengah Yuhua, legenda Mahsuri 
Teater muzika yang dihasilkan guru dan pelajar Sekolah Menengah Yuhua mengungkap legenda 1960-an ‘Mahsuri’ menerusi perkahwinannya dengan Wan Derus. Persembahan mereka mengagumkan tokoh teater Melayu Singapura, Encik Nadiputra. - Foto JEFFERY CHAN

Teater muzika ‘Dusta Dek Dusta’ persembahan pelajar Sekolah Menengah Yuhua pada 12 November lalu amat menghibur dan mantap.

Sekalung bunga untuk semua yang menjayakan ‘Dusta Dek Dusta’ (DDD) sebuah teater muzika legenda Mahsuri yang amat menghibur dan mantap pelestariannya.

Tunjang kesempurnaan dan kecemerlangan DDD terpundak di bahu pengarahnya, Muhammad Shukri Shuhaimi, yang menggembleng ramai tenaga karyawan seni yang merangkumi Huzaimah Hamzah, Mohamed Azmil Alias, Noorlinda Abdullah, Azidah Kamis, Muhammad Ilyas Abdusamad, Amira Yasmine Shahar dan Dinie Dasuki Osman.

Amat sukar sekali persembahan teater yang begitu mencabar tuntutan kerja teaternya, lebih-lebih berbentuk muzikal.

Tidak hairan jika pendukung watak DDD melahirkan keunggulan persembahan yang bertenaga, bersemangat dan penuh disiplin daripada pelajar Sekolah Menengah Yuhua sendiri.

Syabas dan tahniah kepada pelajar Nur Aisyah Nur Muhamed, Rapunel Syakela Abheliya Ismail, Harith Hanuar, Md Aniq Iftikhar, Mohd Nor Iqbal Nordin, Sheerin Haridz, Ari Ihsaan Ahmad Firdaus, Rafka Tristan Maulana Zulkifli, Nurul Amelyana Zaini, Naila Zulaikha Md Nor, Batrisya Auni Ahmad Ruzail, Farisha Radhiah Md Faizal, Md Akmal Isnin, Zulfahmi Ramadhan Zulashikin, Nurbaqirah M Zahaid, Md Riyan Anaqi Nasri, Nur Aqilah Dayana Md Hizan, Muhammad Hakkim Osman, Muhammad Syahrizal Zahari dan Eva Ixora Md Khairul.

Guru mereka teladan keemasan kesepakatan keutuhan kerja DDD.

Teater ini mengungkap legenda 1960-an ‘Mahsuri’ menerusi perkahwinannya dengan Wan Derus yang diperkenalkan oleh kakanda sulungnya Tok Wan Yahya.

Kasih Tok Wan Yahya terhadap Mahsuri dan Derus menular sifat cemburu Mahorah (isteri Tok Wan Yahya).

Keadaan kian rumit dan meruncing apabila Tok Wan Yahya menukar nama kurnia perkahwinannya dengan Mahorah dari Balai Mahora ke Balai Mahsuri ketika meraikan kelahiran sepupunya Wan Hakim.

Cemburu Mahorah memuncak fitnah, penipuan, pengkhianatan yang akhirnya tumpas dek tangan yang menyemai benih durjana yang menerima padahnya.

Kesinambungan satu adegan ke satu adegan DDD menerusi penataan cahaya Emanorwaty kemas, mudah dan tepat.

Ia dijalin dengan penggunaan lagu latar yang tidak berlebihan serta bersesuaian dengan kehendak adegan, sama ada dinyanyikan, ditarikan atau digunakan sebagai kesan dalaman perasaan watak atau suara rakyat jelata yang sepadu menyepakati Mahsuri atau ‘membawangnya’.

Penggunaan peralatan pentas yang ringkas (kotak-kotak dan kerusi saja) mengimbangi kekuatan lakonan dan hala tuju arahan M Shukri Shuhaimi yang berpengalaman luas dalam seni teater.

Arahan beliau begitu prihatin.

Busana watak-watak dititik berat dan beri ragaman zaman dan tuntutan naskhah DDD. Syabas!

Aktivis teater dan bangsawan Hafiz Yusof melihat DDD sebagai pencerminan cerah masa depan seni teater Singapura.

Campur tangan ramai guru yang turun padang, berganding bahu dengan pelajar, jelas memberi tanda kebangkitan seni teater Melayu yang menular bak api dalam sekam.

Kenyataan Hafiz, ini saya anggap satu rangsangan untuk pelajar mengambil langkah bersungguh-sungguh mendalami ilmu teater yang memang tersedia ada di institusi atau akademi teater yang menawarkan diploma dan sebagainya dalam bidang seni.

Penglibatan Emanorwaty, juga seorang aktivis teater yang arif dalam bidang penataan dan desain pencahayaan seni teater, merupakan sumbangan penting daripada seorang profesional dalam menanamkan kefahaman kepada pelajar bahawa teater bukan hanya pada sudut lakonan sahaja, bahkan di sebalik tabir pementasan juga serumit menangani lakonan dan aspek lain berteater.

Saya kagum melihat satu persembahan pelajar sendiri (Sekolah Menegah Yuhua) yang bukan kepalang meladeni sebuah teater muzikal.

Sebab itu saya perlu sebutkan setiap satu nama mereka yang terlibat, termasuk guru kerana kesanggupan melestari sama titik bengik DDD yang luar biasa kesapatan jiwa seninya.

Saya yakin mereka mampu melestarikan karya legenda tempatan yang amat memanfaatkan pelajar khususnya dan masyarakat Singapura amnya.

‘Dusta Dek Desta’ boleh menjadi contoh dan modal baru untuk memperkasa lagi acara Bulan Bahasa Melayu 2026.

Buluh jelas telah dilentur Sekolah Menengah Yuhua, dan hasilnya amat memberangsangkan. Tahniah dan syabas!

Penulis merupakan penerima Pingat Kebudayaan Majlis Seni Kebangsaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg