Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teramat malang jika Gaza ‘kelam bagai malam dua puluh tujuh’

Pelbagai peribahasa boleh dikaitkan dalam konflik Israel-Palestin
Jun 22, 2025 | 5:30 AM
Memorial Srebrenica-Potocari, genosie, bosnia herzegovina
Memorial Srebrenica-Potocari dan tanah perkuburan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai, atau genosid, pada 1995 di Bosnia Herzegovina. - Foto ihsan RUKAIYAH AHMID

Konflik antara Israel dan Gaza, sebuah wilayah Palestin, ibarat kata peribahasa menempuh baik, ditempuh istimewa lagi; durian tidak apa-apa, timun juga yang binasa, yang bermaksud pertarungan tidak sebanding. 

Dengan kekuatan yang jauh lebih hebat, diperkasa senjata sangat kuat pembekal utamanya Amerika Syarikat dan Jerman, Israel bersikap besar hendak melanda, panjang hendak melindih, iaitu setelah berkuasa lalu hendak bermaharajalela, yang bermakna berbuat sesuka hati atau sewenang-wenang (melindih bermakna menindih). 

Bukan sekadar menyerang, Israel bahkan hendak rakyat Palestin diusir dari tanah tumpah darah mereka. Ini bak bunga dipetik, perdu ditendang, iaitu gemar akan hak orang, tetapi orang itu dibenci (perdu adalah kelompok pokok atau rumpun). Peribahasa ini juga bermaksud isteri dikasihi, mentua dibenci. 

Jika hasrat Israel itu tidak dihalang dan tercapai, maka berpanjanganlah lagi tindakannya menari di ladang orang, iaitu bersenang-senang memakai harta orang atau bersenang-senang di rumah orang.

Pendudukan serta pengepungan Israel di Jaluran Gaza dan sebuah lagi wilayah Palestin, Tebing Barat, sejak 1967, merupakan pendudukan haram di bawah undang-undang antarabangsa dan pendudukan tentera terpanjang dalam sejarah moden.

Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan kehadiran berterusan Israel di Palestin menyalahi undang-undang, sambil menyebut dasar Israel itu melanggar Konvensyen Geneva dan sama dengan tindakan mengilhak – iaitu pemerolehan secara paksa dan haram wilayah sebuah negara oleh negara lain.

Berbilang ketetapan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menekankan perkara ini, tetapi Israel tidak mempedulikan badan dunia itu.

Ia ibarat kikir pari belulang kering direndam tujuh hari tak basah, iaitu orang yang degil atau kedekut, yang merujuk kepada orang yang kuat atau berkuasa (kikir adalah besi untuk melicinkan kayu).

Rakyat Palestin semakin diperlakukan umpama kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi, yang bermaksud orang yang dianggap ringan kerana tidak berkuasa apa-apa.

Bukan sahaja mereka diserang tidak henti-henti, malah tidak dibenarkan ditolong kerana bantuan kemanusiaan disekat Israel daripada sampai kepada mereka.

Tindakan pemerintah Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu itu begitu buruk hinggakan mantan perdana menteri Israel, Encik Ehud Olmert, sendiri mengatakan negaranya sedang melakukan jenayah perang di Gaza. 

“Apa yang kita lakukan di Gaza sekarang adalah perang kemusnahan: pembunuhan orang awam sembarangan, tanpa had, dengan kejam dan secara jenayah... Ya, Israel sedang melakukan jenayah perang,” tulis Encik Ehud dalam sebuah rencana pendapat bagi akhbar dan laman web Israel Haaretz, lapor akhbar Britain, The Guardian

Jenayah perang Israel yang sedang ditimpakan ke atas rakyat Palestin di Gaza mengingatkan semula pembunuhan beramai-ramai orang Islam Bosnia di Srebrenica, sebuah bandar di timur Bosnia.

Timur Bosnia sekarang adalah Republika Srpska, atau Republik Serbia (lain daripada negara Serbia), iaitu salah satu daripada dua wilayah yang membentuk negara Bosnia dan Herzegovina (satu lagi ialah Persekutuan Bosnia dan Herzegovina). Majoriti penduduk Republika Srpska beragama Eastern Orthodoxy, yang juga dikenali sebagai Gereja Ortodoks, iaitu salah satu daripada tiga cabang utama agama Kristian.

Sebelum Perang Bosnia dari 1992 hingga 1995, majoriti penduduk Srebrenica adalah orang Bosnia, yang beragama Islam. Selama tiga tahun semasa perang itu, Srebrenica mula-mula diserang tentera Yugoslavia dan Serbia dan kemudian dikepung tentera Republika Srpska, untuk menyekat bekalan makan dan bantuan daripada sampai kepada orang Islam Bosnia.

Akhirnya, tentera Republika Srpska menawan Srebrenica dan membunuh beramai-ramai kira-kira 8,000 lelaki dan budak lelaki Islam Bosnia.

Ini berlaku walaupun Srebrenica sebenarnya adalah sebuah “kawasan selamat” di bawah perlindungan Pasukan Perlindungan PBB (UNPROFOR), khususnya di bawah perlindungan tentera Belanda.

Inilah yang dikatakan orang tua-tua, kelimpanan mata dek pengelan yang bermaksud dikecewakan oleh orang yang diharapkan atau dipercayai (kelimpanan ialah kejadian mata termasuk sesuatu, misalnya, debu atau pasir), sementara pengelan adalah galah untuk menjolok buah).

PBB mengiktiraf pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica itu sebagai satu genosid, iaitu penghapusan secara sengaja sesuatu bangsa atau kaum, dan mengaku ia turut memikul tanggungjawab bagi tragedi tersebut.

Gaza, yang ditadbir kumpulan Palestin Hamas, juga terus diserang Israel. Gaza juga terus dikepung Israel, malah sudah hampir 17 tahun, kononnya atas alasan mahu mencegah penyeludupan senjata ke wilayah itu.

Mesir pula menutup Lintasan Sempadan Rafah, iaitu satu-satunya titik lintasan antara Mesir dan Gaza, untuk mengenakan tekanan ekonomi ke atas Hamas. 

Akibat pengepungan itu ditanggung rakyat Palestin, yang berterusan mencarikan perut tak berisi, mencarikan kepala tak tertutup, iaitu mencari penghidupan, bagai telur di hujung tanduk, yang bermaksud dalam keadaan bahaya, serba sulit.

Pemimpin tinggi dan tentera Israel, termasuk Perdana Menteri Netanyahu, menggunakan serangan Hamas ke atas negara itu pada Oktober 2023, yang membunuh sekitar 1,200 orang, dengan kira-kira 250 orang dijadikan tebusan, sebagai alasan bagi serangan kejam dan berterusan mereka ke atas Gaza.

Hamas pula berkeras tidak mahu membebaskan tebusan yang ditawannya, sekali gus memanjangkan dan memburukkan keadaan itu.

Namun, menimbangkan tindakan Israel selama ini, sikap mereka ibarat kuman di seberang lautan tampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak, iaitu kesalahan orang lain tampak, kesalahan sendiri tidak disedari.

Presiden Tharman Shanmugaratnam pernah berkata semua orang boleh memahami trauma yang dirasai Israel berikutan serangan Hamas itu, dan memahami usaha tanpa henti Israel mencari keselamatan.

Tetapi, beliau juga berkata tiada siapa boleh mengabaikan trauma dan keputusasaan rakyat Palestin di Gaza yang hidup di bawah kepungan Israel sejak 2007 – dalam keadaan tidak berperikemanusiaan dengan air bersih terhad dan hak mereka dilenyapkan.

Orang juga tidak boleh mengabaikan pencerobohan haram peneroka bersenjata Israel di Tebing Barat, sekali gus meneruskan pengusiran rakyat Palestin dari rumah mereka, ujar Presiden Tharman.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau setuju dengan pendapat Encik Olmert bahawa Israel sedang melakukan jenayah perang di Gaza. 

Satu resolusi PBB pada May 2024 menetapkan 11 Julai sebagai Hari Refleksi dan Peringatan Antarabangsa Genosid Srebrenica, mengecam sembarang tindakan menafikan pembunuhan beramai-ramai itu dan perbuatan memuliakan penjenayah perang. 

Julai ini tahun kedua Hari Refleksi dan Peringatan itu diadakan. Diharapkan ia buka mata, bermaksud menyedarkan atau menginsafkan, atau melihat dan meluaskan pandangan, pemimpin sejagat, terutama dari negara-negara kuasa dunia, akan jenayah perang yang sedang berlaku di Gaza dan tempat-tempat lain.

Sungguh malang jika campur tangan negara-negara kuasa dunia dan PBB di Gaza menjadi pertolongan yang terlambat datang, bak kata pepatah kini gatal besok digaruk.

Teramat malang jika mereka membiarkan jenayah perang yang sedang berlaku di Gaza menjadi kelam bagai malam dua puluh tujuh, iaitu sesuatu hal atau perkara yang gelap sama sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg