Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

CERPEN

Unggul

Fesal Idris

Sep 03, 2017 | 12:00 AM



CUACA hari itu sungguh panas terik. Angin yang menderu sungguh deras sehingga terbang segala sampah sarap yang telah disapu dengan rapi.



Mak Limah dan Jenny terpaksa meminum air daripada botol plastik yang diedarkan secara percuma oleh sebuah syarikat minuman tempatan sempena menyambut hari ulang tahun kemerdekaan negara.



Setelah membasahi tekaknya yang kering kehausan, sambil mengipas-ngipas badannya dengan kertas kecil, baru mereka dapat duduk berehat sementara menunggu waktu untuk pulang.



"Aku pernah pergi ke Jerman dan menginap di rumah anak aku di sana tahun lepas," kata Mak Limah kepada rakan sejawatnya, Jenny.



"Anak engkau berumah tangga di Jerman?" tanya Jenny agak kehairanan.



"Maaf, aku tak beritahu engkau terlebih awal lagi. Sebenarnya, anak aku sudah bernikah dengan seorang berbangsa Jerman dan bermastautin di sana mengikut suaminya," sambung Mak Limah lagi.



"Habis tu?" tanya Jenny bersungguhsungguh hendak tahu cerita selanjutnya.



"Engkau tahu...?" Mak Limah terhenti sejenak sambil mengubah kedudukan sentil tembakaunya dari sebelah kiri ke sebelah kanan bibirnya.



"Manalah aku tahu...!" Jenny meninggikan suaranya dek ingin tahu lebih lanjut.



Suasana hening sunyi sepi sementara Jenny menantikan lantunan suara daripada bibir Mak Limah, yang mengunyah sentil tembakaunya, dengan teliti.



"Orang-orang di sana terlalu menjaga kebersihan peribadi dan sekitaran sehingga takde sampah sarap macam di negara kita ni," kata Mak Limah menyambung dengan yakin dan pasti.



"Cuba jelaskan dengan lebih teliti supaya aku boleh faham," Jenny menggesanya lagi.



"Persekitaran mereka sungguh bersih, tiada sampah sarap, jadi pihak berkuasa tidak perlu membelanjakan wang yang begitu banyak untuk menggajikan pekerja pembersihan macam kita orang ni untuk membersihkannya," sambung Mak Limah dengan panjang lebar.



"Jadi apa natijahnya?" tanya Jenny lagi.



"Jadi wang daripada bajet yang dapat dijimatkan itu boleh disalurkan kepada bajet untuk membantu orang-orang tua seperti kita ni untuk menampung perbelanjaan khidmat kesihatan, umpamanya," sambung Mak Limah dengan luas, seluas padang bola sepak.



"Hm... sungguh jauh pandanganmu," Jenny memuji pandangan rakan sejawatnya dengan ikhlas.



Mak Limah dan Jenny sama-sama bekerja sebagai pembersih sekitaran dengan kontraktor persekitaran pemerintah.



Mereka mengeluh kerana tidak lama lagi pekerjaan mereka akan diambil alih oleh syarikat kontraktor pembersihan yang lebih berkemampuan menggunakan alat-alat yang lebih canggih dan mahal yang dapat menggantikan tenaga manusia.



Mereka tidak mampu belajar mengendalikan alat serba moden dan canggih itu kerana usia mereka yang dah tua.



"Apa boleh buat...? Manusia semakin bijak dan pandai mereka cipta alat canggih dengan menggunakan ilmu sains dan teknologi," Mak Limah menyambung perbualan.



"Orang-orang tua macam kita inilah yang menjadi mangsa," Jenny mengeluh panjang.



"Mujur juga ada kontraktor pembersihan di pusat-pusat beli-belah yang akan mengambil kita bekerja dengan mereka, kalau tidak..." sambung Mak Limah dengan penuh yakin akan peluang pekerjaan yang ada.



"Kalau tidak... kita terpaksa petik buah anggurlah," Jenny mencelah sambil berseloroh.



"Ha? Petik buah anggur macam di negara Eropah?" tanya Mak Limah terpinga-pinga.



"Menganggurlah!" jawab Jenny dengan pantas.



"Tak nak, aku tidak mahu menganggur!" jawab Mak Limah dengan penuh komitmen.



"Kenapa?" tanya Jenny dengan cepat.



"Aku sudah biasa bekerja sejak daripada muda lagi, kalau tidak bekerja aku akan jatuh sakit," jawab Mak Limah dengan bersahaja.



"Ya, benar, menganggur akan mengundang berbagai penyakit, termasuk penyakit kronik," sambung Jenny dengan pasti.



Sebenarnya Mak Limah telah kematian suami semenjak umurnya muda lagi. Jadi, beliau sudah biasa bekerja sebagai pekerja pengeluaran di kilang-kilang elektronik untuk menampung hidup membesarkan tiga orang anaknya.



Kini mereka semua sudah bekerja dan berumah tangga. Ada yang berkelulusan universiti dan ada yang berkelulusan poly. Pendeknya semua sudah berdikari dengan keluarga masing-masing.



Mak Limah dan Jenny duduk di rumah sewa HDB yang, secara kebetulan, bersebelahan.



Mereka sama-sama membujang.



Merdeka.



Jenny pun sudah lama hidup sebatang kara tiada saudara mara. Mujur juga Jenny tiada suami dan tiada anak.



Memang sudah menjadi lumrah alam. Orang miskin tiada orang yang ambil peduli. Terpaksa berusaha dengan empat kerat tulang yang ada.



Mereka tidak pernah pergi ke pejabat kebajikan masyarakat untuk memohon bantuan. Selagi hayat masih ada selagi itulah mereka bersedia berusaha dan berdikari.



Sungguh cekal hati mereka, bersemangat waja, bertulang besi dan berurat dawai.



Walaupun sumbangan mereka tidak dinilai oleh masyarakat yang terlalu mementingkan kebendaan dan keduniaan, mereka tidak perlu itu semua, mereka tidak mengharapkan itu semua, yang penting mereka tidak mengharapkan anak-anak dan cucu-cucu untuk hidup dan terus hidup.



Mak Limah yakin dan percaya akan anjuran bertakwalah menurut kemampuan masing-masing. Islam tidak memberatkan manusia untuk melakukan sesuatu yang di luar kemampuan mereka.



Amal usaha yang sebesar zarah pun akan diperlibatgandakan ganjarannya.



Sekali lagi, itulah isi kandungan ceramah seorang ustaz yang didengarnya melalui radio tempatan.



Untuk menjaga kesihatan, mereka pergi ke poliklinik yang berdekatan tempat tinggal mereka. Selain mendapatkan rawatan kesihatan yang ditanggung oleh pemerintah, mereka bersenam setiap hujung minggu dengan dibantu oleh nutrisionis memilih pemakanan yang sesuai untuk mereka.



Untuk warga emas yang masih aktif seperti mereka setiap hujung minggu mereka diajak bersenam secara "yoga meditation".



Ini memperbaiki sistem pernafasan mereka supaya tidak mudah penat dan lelah apabila bekerja atau berjalan.



Ini juga menenangkan fikiran mereka supaya tidak terbawa-bawa dengan sikap negatif dan memencilkan diri.



"Jenny...? Engkau tau apa atau bila aku terasa bergembira sekali?" Mak Limah bertanya kepada Jenny.



"Manalah aku tau...Bagi aku bila aku menang hadiah pertama cabutan bertuah setiap hujung minggu," jawab Jenny sambil ketawa terbahak-bahak.



"Engkau nak tau?" tanya Mak Limah lagi.



"Cakaplah...buat aku geram aje,", jawab Jenny dengan geram kerana terlalu lama menunggu.



"Setiap kali anak-anak dan cucu-cucu aku datang mengunjungi aku," Mak Limah dengan rasa senang hati melihat mereka datang.



"Ya lah... untunglah orang macam engkau yang mempunyai keluarga, tak macam aku, sebatang kara," Jenny mengeluh panjang.



Untuk mengisi masa yang terluang, Jenny mengambil cuti setiap dua bulan sekali untuk pergi melancong ke negara-negara jiran yang berhampiran mengikuti rombongan syarikat melancong tempatan.



Walaupun usia mereka dah menjangkau 60-an tahun, oleh kerana terlalu rajin dan sihat, mereka berdua telah terpilih mengikuti kursus peningkatan diri seperti penyelia dan pembantu penyelia oleh majikan mereka.



Untuk memudahkan mereka, kursus itu lebih mengutamakan amali daripada teori.



Mereka diajar bagaimana bertutur dengan berkesan kepada orang di bawah penyeliaan mereka.



Selain itu, mereka juga diajar bagaimana hendak memotivasikan orang di bawah penyeliaan mereka.



Tambahan pula, mereka diajar bagaimana hendak mengendalikan alat pembersihan moden yang tidak terlalu canggih bagi mengurangkan dan meringankan beban pembersihan.



Memandangkan kekurangan pekerja yang berpotensi dan komited, majikan mereka menggunakan alat moden untuk membolehkan mereka meningkatkan produktiviti.



Pada satu hari, semasa Jenny pergi melancong ke luar negeri, Mak Limah, keseorangan, pun singgah ke rumah seorang anaknya untuk menjenguk cucu-cucunya yang dirinduinya.



Sambil memeluk dan mencium cucu-cucunya, beliau bertanyakan kenapa dah lama tak mengunjunginya.



"Kita banyak kerja rumahlah nek," jawab Aisyah, 10 tahun, dengan manja.



"Betullah nek, periksa dah nak dekat, terpaksa mengulangkaji pelajaran," sambung Adam, 12 tahun, lagi.



"Ai, takkanlah takleh relak kejap sambil rehatkan otak." jawab nenek Limah lagi.



"Mari kita turun padang sambil berbasikal, nenek boleh temankan kita sambil berjalan pantas," saran Aisyah kepada abangnya, Adam.



"Ayuhlah, lepas itu nenek belanja kita gi makan kat warung Pak Mat Tempeh," Adam berteriak keriangan.



"Ha, begitulah namanya cucu-cucu nenek," sambut nenek Limah.



Ibu kedua-duanya ialah anak ketiga Mak Limah. Seperti biasa, beliau dan suaminya sedang bekerja.



Setelah berpenat lelah beriadah, mereka pun terus pergi menuju ke warung yang dipersetujui awal tadi.



Sampai di sana mereka pun menjamu selera dengan makanan idaman mereka masing-masing.



"Ha, Mak Limah, apa khabar? Lama tak singgah?" sambut tuan empunya warung, Pak Mat Tempeh.



"Alhamdulillah, sihat semuanya, agak sibuk dengan tugas seharian,", jawab Mak Limah dengan bersahaja.



"Aiiii... masih bertugas lagi, bila nak bersara?" tanya Pak Mat lagi sambil kehairanan.



"Masih ada rezeki, masih diperlukan, kerja ajelah," jawab Mak Limah dengan ringkas.



"Asalkan badan sihat, teruskanlah. Yang penting kita merdeka, tidak perlu membebankan orang lain," sambung Pak Mat sambil memberi perangsang yang positif.



"Ya, itulah sikap yang paling positif," sambut Mak Limah tanda setuju dan akur dengan kata-kata Pak Mat itu.



Mak Limah memang memegang sikap pendirian yang mahu merdeka dan tidak mahu pemikirannya dijajah.



Beliau tidak mahu mengikut salah satu daripada anak-anaknya yang tiga orang itu. Beliau lebih suka hidup bersendiri dan merdeka.



Walaupun wang simpanannya cukup untuk persaraan, beliau tetap hendak bekerja dan memberi sumbangan kepada ekonomi.



Mak Limah juga yakin dan percaya akan ilmu, walaupun setakat mengajar orang yang di bawah penyeliaannya mengendalikan alat moden untuk membolehkan mereka mencari rezeki pun akan diberi ganjaran pahala yang berterusan, selagi ilmu itu diamalkan oleh insan di muka bumi ini hingga ke hari akhir.



Itulah yang beliau dengar di corong radio tempatan sewaktu seorang ustaz memberi ceramah.



Inilah kehebatan falsafah hidup Islam yang mengajar umatnya supaya menuntut ilmu dan mengajarkannnya.



Ini pun termasuk di dalam konsep ibadah yang luas pengertiannya, bukan setakat ritual peribadi saja.



Sentil tembakau Mak Limah yang menjadi lambang kemajuan insan yang tidak langsung berpelajaran atau setakat sekolah rendah untuk membangunkan hidup dan kehidupan masing-masing.



Pada suatu ketika ada seorang janda muda, yang baru ditinggalkan suami yang tidak bertanggungjawab, terpaksa memohon pekerjaan untuk meneruskan hidup, dan menanggung persekolahan anak tunggalnya di sekolah rendah yang berhampiran.



"Tolonglah Mak Cik, berilah saya sebarang pekerjaan asalkan yang halal," Puteri merayu kepada Mak Limah.



"Engkau ada sijil pelajaran?" tanya Mak Limah dengan perihatin.



"Takde Mak Cik, saya hanya sebatang kara di sini, saya tinggalkan ibu bapa saya di tanah seberang mengikut suami," sambung Puteri lagi sambil tersedu-sedan.



"Takpe, asalkan engkau bertakwa dan rajin berusaha, dengan izin Allah, engkau akan dapat mengatasi segala kesulitan peribadi," Mak Limah memberi kata-kata perangsang untuk menghidupkan semangat Puteri.



"Macam yang saya dengar di radio ceramah seorang ustaz aje," Puteri mengingatkan Mak Limah.



"Secara kebetulan aje, aku pun mendengar di radio yang sama,", jawab Mak Limah dengan spontan.



"Terima kasihlah, saya takde jalan lain...ya, saya ada satu lagi permohonan...," Puteri menyambung perbualan dengan meyakinkan dirinya.



"Apa dia? Cakaplah..." tanya Mak Limah dengan bersungguh-sungguh.



"Sementara saya bekerja, Mak Cik tolong jagakan anak lelaki saya ni, si Lanang," terang Puteri dengan penuh harapan sambil menunjuk kepada anaknya yang baru bersekolah darjah satu.



"Biasanya murid darjah satu bersekolah di bahagian petang, engkau bekerja disebelah pagi, biarlah aku yang menjengoknnya," jawab Mak Limah dengan memberi harapan dan ketenangan hati kepada Puteri.



Secara kebetulan, mereka tinggal di blok yang sama, cuma berlainan tingkat.



Sejak hari itu, Mak Limah terpaksa mengorbankan masa, tenaga dan fikiran untuk "tugasan" amal jariah mengasuh dan mendidik "cucu" angkatnya, Lanang, semata-mata kerana Allah.



Mujur juga beliau kini sudah dinaikkan pangkat sebagai seorang Penyelia, jadi ada masa untuk diluangkan.



Sekali sekala, di samping mengambil tahu tentang kerja rumah Lanang, beliau sempat juga mengajar Lanang membaca muqaddam.



Tugas itu tidak memberatkannya kerana Lanang sunggguh terang hatinya dan tekun mengulangkaji pelajaran sekolahnya.



"Terima kasih nek kerana mengambil berat tentang persekolahan dan pembelajaran saya," Lanang berkata kepada Mak Limah dengan manja.



"Takde apa, setakat menunjuk ajar apa yang nenek tahu, lagi pun nenek sudah menganggap engkau sebagai cucu nenek sendiri," Mak Limah menjelaskan duduk perkara.



Begitulah rutin seharian Mak Limah hingga beberapa tahun sehingga Lanang lulus peperiksaan tamat sekolah rendahnya.



"Engkau, Puteri tak teringin kah hendak bersuami lagi, kerana engkau masih muda?," tanya Mak Limah dengan nada yang menggesa.



"Tak inginlah Mak Cik, saya lebih suka hidup merdeka," jawab Puteri dengan yakin.



"Tak boleh... engkau masih muda..." Mak Limah mengggesa dengan bersungguh-sungguh.



"Nantilah... saya akan fikirkan, sekarang saya hanya tumpukan masa depan anak saya," jawab Puteri dengan tegas.



"Sungguh besar pengorbanan engkau," Mak Limah menjawab.



"Lebih besar lagi pengorbanan Mak Cik membantu saya mendapatkan pekerjaan sambil menjaga dan membimbing anak saya, Lanang," jawab Puteri menghargai sumbangan dan pengorbanan Mak Limah.



"Takde apa-apalah, lagi pun Mak Cik bukan pandai sangat, cuma berpengalaman aje," jawab Mak Limah dengan merendahkan diri.



"Hanya Allah saja yang akan membalas budi baik Mak Cik kerana mengorbankan ilmu yang diraih daripada pengalaman hidup Mak Cik," Puteri menjawab dengan penuh keredaan kepada Allah yang telah mentakdirkan mereka bertemu setelah beliau ditinggalkan suami.




BIODATA PENULIS



Fesal Idris, yang belajar di Raffles Institution dari 1963 hingga 1969, pernah bertugas sebagai penyelia dengan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kemudian pegawai teknikal syarikat pengangkutan awam, SMRT. Setelah bersara, beliau menghidupkan kembali minat membaca dan menulis.

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >