Pejuang budaya dan aktivis, Cik Yulianna Frederika, percaya ramai anak muda Melayu hari ini terus dihantui persoalan: “Cukup Melayukah aku? Adakah aku diterima sebagai seorang Melayu? Malah, Melayu lagikah aku?”
Persoalan identiti itulah yang menjadi nadi kepada majalah kecil terbitan sendiri atau ‘zine’ berjudul The Inquisitive Future of Malayness, yang dilancarkan buat kali pertama oleh Lepak Conversations sempena ulang tahun kelima gerakan itu pada 16 Ogos.
Cik Yulianna yang sudah menjadi pengasas Lepak Conversations sejak berusia 22 tahun, berkata majalah tersebut berhasrat mengajak masyarakat Melayu/Islam berhimpun untuk mencari akar identiti mereka.
Ia bagi membayangkan masa depan yang diinginkan, khususnya masa depan yang melampaui stigma sosial dan stereotaip yang membelenggu.
Berkongsi dengan Berita Harian (BH), Cik Yulianna, kini 27 tahun, menyingkap bahawa ilham untuk ‘zine’ pertama itu hadir daripada seorang individu bukan Melayu/Islam yang meminta sebuah ‘buku’ yang boleh dijadikan bahan rujukan bagi mereka yang ingin lebih memahami masyarakat berkenaan.
“Saya fikir itu sesuatu yang sangat berharga.
“Kita perlukan sesuatu yang boleh dipegang dan dijadikan semacam garis panduan untuk memahami masyarakat dan isu-isu yang melingkarinya,” ujar Cik Yulianna.
Majalah tersebut, jelas Cik Yulianna, lahir daripada pengaruh konsep ‘futures thinking’ atau pemikiran masa hadapan, yang meneroka peluang masa hadapan berasaskan pemahaman terhadap hakikat semasa dan trend masa depan.
Beliau berkongsi bahawa masyarakat Melayu/Islam sarat dengan para ‘dreamer’ – insan yang mempunyai cita-cita besar – namun masih ramai yang terbelenggu dek stereotaip, prasangka, bahkan keyakinan diri yang terbatas.
“Akibatnya, ada segelintir yang memilih untuk menyembunyikan kemelayuan mereka.
“Saya rasa sentimen umum menunjukkan betapa sukarnya menzahirkan kemelayuan anda sendiri, apatah lagi untuk berdiri bangga dengan identiti itu,” ujarnya.
Lantaran itu, pemikiran masa depan sebegini, ujar Cik Yulianna, menjadi alat berharga bagi membolehkan individu membayangkan masa depan yang diinginkan, sekali gus memberi mereka kuasa untuk mengejarnya, tanpa tunduk pada kehendak masyarakat.
‘Zine’ ini memuatkan tujuh esei dan tiga wawancara yang menyingkap bagaimana kisah kemelayuan dituntut dan diceritakan semula melalui pelbagai lensa – daripada cereka kepada dunia akademik, daripada legenda kepada catatan sejarah.
Ia turut menampilkan sumbangan daripada pelbagai pertubuhan dan individu merentas bidang berbeza seperti kesusasteraan, seni dan akademik.
Menariknya, penerbitan itu turut menyajikan karya penulis bukan Melayu.
Cik Yulianna menekankan, langkah itu penting bagi seorang bukan Melayu yang membacanya, lantas wujud peluang untuk memperoleh perspektif baru, bahkan melihat diri mereka sendiri di dalam naratif tersebut.
“Kita mahu orang bukan Melayu juga mampu mengaitkan diri dengan isu ini dan faham betapa pentingnya mereka turut serta dalam wacana ini.
“Ia penting dalam cara kita melihat isu-isu Melayu/Muslim atau persoalan tentang kemelayuan.
“Kita hidup sebagai sebuah masyarakat majmuk, bukan? Kita tidak wujud dalam ruang terasing.
“Kita wujud dalam lingkungan sosial yang lebih luas, dan setiap orang perlu menjadi sebahagian daripada perbincangan ini: Siapakah orang Melayu? Apakah aspirasi mereka? Apakah keresahan mereka? Apakah pula sumber ilham mereka?
“Ini perbualan yang seharusnya melibatkan semua,” ujar Cik Yulianna lagi.
Acara pelancaran majalah itu berkonsepkan seperti sebuah kenduri, bertemakan ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Runtuh’, dan diadakan di Common Ground Civic Centre & Consultancy di Bedok.
Kenduri berkenaan turut disemarakkan dengan pelbagai kegiatan, antaranya bacaan puisi oleh kolektif belia Rumah Rima; lelongan senyap karya cetakan oleh Perempuan Melawan Art, sebuah platform bagi artis Finn Anuar bagi mewujudkan kesedaran tentang kekuatan dan kelebihan seorang wanita; pameran buku berkaitan dunia Melayu yang dikurasi oleh perpustakaan masyarakat Maktaba Books, serta juadah yang menghimpunkan beberapa perniagaan dari rumah.
Cik Yulianna menekankan bahawa dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam sendiri, wujud hasrat untuk berbangga dengan identiti mereka.
Namun, mereka berasa seolah-olah terputus daripada akar itu kerana khuatir dilabel “tidak cukup Melayu” hanya kerana “tidak fasih berbahasa Melayu baku” atau tidak “berbicara dalam bahasa tersebut”.
“Yang penting adalah menghargai kepelbagaian dalam masyarakat Melayu/Islam, baik dari segi cita-cita, pandangan ataupun kepercayaan,” ujar beliau.
Pengasas bersama gerakan The Futures Collective, Cik Farah H. Sanwari, menulis dalam majalah itu:
“Kita perlu lebih banyak ruang perbualan, dengan rasa hormat dan keterbukaan. Dan untuk itu berlaku, kita perlu lebih yakin dengan identiti dan kepercayaan sendiri.”
Dalam halaman lain, Penolong Profesor serta Penyelaras Program Asia Tenggara di Universiti Washington, Dr Nazry Bahrawi, pula menekankan bahawa masyarakat Melayu/Muslim harus lebih menerima kepelbagaian dalam diri mereka sendiri, agar Melayu bukan Muslim tidak terputus daripada warisan kemelayuan mereka kerana “belas kasihan itu penting kerana agama kita sendiri menyeru kepada sifat ihsan”.
‘Zine’ berjudul, The Inquisitive Future of Malayness terbitan Lepak Conversations, kini ditawarkan dalam bentuk fizikal dan digital pada harga $20, dan boleh didapati menerusi laman web rasmi mereka di pautan, ko-fi.com/lepakconversations/shop


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg