Jika dilihat dari segi perangkaan, situasi dadah di negara ini tampak terkawal, tetapi Singapura sedang berenang menentang arus kerana di peringkat antarabangsa, terdapat persekitaran yang lebih permisif, atau bersifat lebih terbuka, apabila melibatkan dadah.
Berkongsi pandangannya tentang undang-undang ketat Singapura terhadap kesalahan berkaitan dadah dalam vodcast terkini tBH, atau Temu Bual Berita Harian, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K Shanmugam, berkata peningkatan dalam bilangan penyalah guna dadah yang ditangkap pada 2023 serta usia muda mereka merupakan “isu yang sangat penting”.
Biro Narkotik Pusat (CNB) mengeluarkan data terkini pada Februari yang menunjukkan pihak berkuasa telah menangkap 3,101 penyalah guna dadah pada 2023 – peningkatan 10 peratus daripada 2,826 individu tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, 850 individu atau 27 peratus berusia di bawah 30 tahun.
Daripada 3,101 yang ditangkap, 944, iaitu 30 peratus, merupakan penyalah guna dadah baru – meningkat 18 peratus daripada 802 yang ditahan pada 2022.
Lebih separuh daripada 944 individu itu, atau 51 peratus, berumur di bawah 30 tahun.
“Secara keseluruhan, jika anda melihat angkanya, keadaan dadah masih terkawal. Tetapi anda tahu anda sedang berenang melawan arus kerana di peringkat antarabangsa persekitarannya lebih permisif.
“Anda lihat sahaja Hollywood, dunia fesyen atau bintang-bintang terkenal.
“Ramai di antara mereka secara terbuka menggunakan dan mempromosikan penggunaan dadah.
“Ramai daripada mereka juga dibayar oleh syarikat dadah untuk menonjolkan penggunaan dadah sebagai sesuatu yang glamor,” kata beliau.
“Namun, saya akan katakan, walaupun kita sedang melawan arus, mesej (bahaya dadah) dapat disampaikan kepada kedua-dua populasi dewasa dan pelajar kita.
“Statistik yang saya berikan di Parlimen, secara menyeluruh... menunjukkan betapa pentingnya kita jauhkan diri daripada dadah, kesan serius dadah terhadap diri anda, akibat negatif, ini semua dapat difahami.
“Tetapi ingat, kita terdedah kepada pengaruh sejagat kerana sistem kita terbuka, masyarakat terbuka, orang kita sering melancong, jadi ia adalah persekitaran yang lebih sukar,” tambahnya.
Menyentuh lebih mendalam tentang golongan muda, Encik Shanmugam berkata berdasarkan interaksi beliau dengan mereka, beliau tidak berasa bimbang.
“Saya berbual dengan ribuan mereka, begitu juga rakan setugas saya – kami ke sekolah-sekolah untuk berbual.
“Orang muda tidak banyak beza daripada anda dan saya. Mereka terdedah kepada satu set maklumat dan kemudian berpendapat itu mungkin betul, tetapi apabila saya bercakap dengan mereka dan menerangkan kepada mereka tentang penyelidikan, latar belakang, fakta... mereka faham. Dan apabila mereka faham, pandangan mereka berubah.
“Kita perlu tunjukkan fakta kepada mereka – tunjukkan kepada mereka apa yang berlaku di tempat lain dan bagaimana Singapura berbeza. Mereka akan sedar dan faham serta-merta, mereka tidak mengambil masa yang lama,” katanya.
Oleh itu, adalah penting untuk memastikan usaha sedemikian berterusan, tekan Encik Shanmugam.
Memberi contoh, beliau berkata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) telah melancarkan Hari Peringatan Mangsa Dadah untuk memperingati mangsa-mangsa penyalah guna dadah.
“Mereka bukanlah individu yang tidak mempunyai nama atau wajah, dan mereka tidak sepatutnya kekal tanpa nama dan tanpa wajah,” ujar beliau.
Mulai 2024, setiap Jumaat ketiga pada Mei adalah Hari Peringatan Mangsa Dadah.
Acara pertama bagi hari peringatan itu diadakan pada 17 Mei 2024 di Ngee Ann Civic Plaza.
Sekitar Hari Peringatan tersebut, pelbagai kegiatan termasuk penyalaan lilin dan penulisan esei akan dijalankan di sekolah, institut pengajian tinggi dan beberapa agensi, jelas Encik Shanmugam.
“Sebenarnya, mesej utama adalah supaya orang ramai, terutama golongan muda, memahami akibat negatif dadah.
“Apabila mereka melihat sendiri mangsa-mangsa ini dan apa yang telah berlaku kepada mereka... ia merupakan sesuatu yang mereka alami sendiri secara langsung dan bukan setakat mendengar perkongsian seseorang. Mereka alami sendiri apa yang telah individu-individu ini lalui.
“Ia merupakan cara yang lebih berkesan untuk menyampaikan mesej bahawa dadah akan menyebabkan kerosakan serius kepada anda dan juga menanam rasa empati buat mangsa untuk mewujudkan sifat empati dan simpati dan mengelakkannya,” ulas beliau.
Dalam vodcast tBH itu juga, Encik Shanmugam berkata meskipun terdapat kritikan – lebih-lebih lagi daripada media serta individu luar negara – berkenaan undang-undang ketat Singapura terhadap pesalah dadah, di Singapura, terdapat peningkatan dalam bilangan mereka yang menyokong undang-undang sedemikian.
Memberi contoh hukuman mati bagi mereka yang mengedar dadah melebihi jumlah tertentu, Encik Shanmugam berkata pada 2021, seramai 74 peratus mereka yang ditinjau berkata mereka setuju atau sangat setuju dengan hukuman mati bagi jenayah paling serius, tetapi jumlah tersebut telah naik kepada 77 peratus pada 2023.
“Jadi, apabila media antarabangsa dan aktivis mengatakan hukuman mati adalah kontroversi, meskipun dengan adanya semua hujah ini, peratusannya meningkat kerana pemerintah keluar dan menjelaskan pendirian kami dan terdapat kepercayaan bahawa kami peduli terhadap warga Singapura.
“Di tengah-tengah semua perdebatan, lebih ramai orang kini menyokong hukuman mati, dan hukuman mati yang diwajibkan. Mengapa? Saya fikir warga Singapura memahami mesej tersebut,” ujar beliau.
“
“... Saya akan katakan, walaupun kita sedang melawan arus, mesej (bahaya dadah) dapat disampaikan kepada kedua-dua populasi dewasa dan pelajar kita... Kita perlu tunjukkan fakta kepada mereka – tunjukkan kepada mereka apa yang berlaku di tempat lain dan bagaimana Singapura berbeza. Mereka akan sedar dan faham serta-merta, mereka tidak mengambil masa yang lama.”“
“Di tengah-tengah semua perdebatan, lebih ramai orang kini menyokong hukuman mati, dan hukuman mati yang diwajibkan. Mengapa? Saya fikir warga Singapura memahami mesej tersebut.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg