Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura berjaya sekat kegiatan dadah, rakyat selamat

May 17, 2024 | 9:36 PM
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, bersama lebih 250 hadirin di Ngee Ann Civic Plaza melakukan penghormatan sempena Hari Memperingati Mangsa Dadah pada 17 Mei.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, bersama lebih 250 hadirin di Ngee Ann Civic Plaza melakukan penghormatan sempena Hari Memperingati Mangsa Dadah pada 17 Mei. - Foto ST

Singapura telah berjaya menyekat kegiatan salah guna dadah dan masyarakatnya rata-rata terselamat, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam.

Menyatakan demikian semasa berucap di Hari Peringatan Mangsa Dadah, Encik Shanmugam berkata ini dapat dicapai sedang “situasi di luar semakin teruk dengan lebih banyak negara mengambil pendekatan lebih liberal terhadap salah guna dadah”.

“Baru-baru ini CNBC menyatakan bahawa sedang Amerika Syarikat mempunyai lebih daripada 100,000 kematian berkaitan dadah pada 2023, Singapura hanya mempunyai 20 kematian.

“Jika anda ambil kira saiz penduduk – sekiranya kita mempunyai situasi (salah guna) dadah yang serupa dengan Amerika, kita akan melihat kepada sekitar 1,600 kematian berkaitan dadah di Singapura setiap tahun. Tapi kita hanya mempunyai 20 (kematian),” kata beliau.

Pada Februari, Singapura mengumumkan bahawa ia akan memperuntuk Jumaat ketiga pada Mei setiap tahun, mulai 2024 sebagai Hari Peringatan Mangsa Dadah.

Hari itu, kata Encik Shanmugam bertujuan mencerminkan semangat negara ini menunjukkan bahaya yang disebabkan dadah dan memberi kesedaran kepada masyarakat.

Beliau menambah ia juga penting untuk mengingatkan bahawa penyalahgunaan dadah bukan tiada mangsanya dan berkata tiga kategori mangsa diperingati pada hari tersebut.

Pertama, penyalah guna itu sendiri yang merupakan mangsa penyeludupan dadah.

“Akibatnya kesihatan fizikal dan mental mereka merana akibat ketagihan. Mereka yang seludup dadah memenuhi ketagihan golongan tersebut demi keuntungan dan membuat mereka merana,” kata beliau.

Kedua keluarga dan mereka yang disayangi juga akan merana, biasanya secara senyap dan tidak dapat dilihat, kata Encik Shanmugam.

Ini kerana mereka terpaksa menanggung menjaga penyalah guna dadah dan kadang kala anak-anak kecil mereka serta tanggungan mereka juga.

“Dan ketiga, masyarakat secara umumnya akan merana.

“Mereka mungkin jadi sasaran jenayah yang dilakukan penyalah guna dadah demi memenuhi ketagihan mereka, atau sasarkan keganasan yang biasa dipamerkan penyalah guna semasa bawah pengaruh dadah,” kata beliau lagi.

Lebih 250 hadirin telah menghadiri acara yang diadakan di Ngee Ann City Civic Plaza itu, yang turut menawarkan pameran yang menunjukkan realiti serta kejadian sebenar dihadapi mangsa penyalahgunaan dadah termasuk ahli keluarga dan orang tersayang.

Antara mereka yang hadir termasuk Menteri Negara (Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; Menteri Negara Kanan (Pertahanan), Encik Heng Chee How; dan Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang.

Pameran itu akan berlangsung hingga 19 Mei.

Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata selepas pameran itu berakhir, satu pameran bergerak bakal diadakan di kawasan kejiranan serata Singapura dari 24 Mei hingga 21 Julai.

Acara itu merupakan inisiatif di bawah Jawatankuasa Antara Kementerian (IMC) mengenai pencegahan dadah untuk belia.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam (dua dari kanan) bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) kelihatan menonton video mengenai seorang remaja yang pengsan akibat dadah sementara ibunya memanggil ambulans di sebuah pameran berbentuk tandas rumah flat di pameran di Ngee Ann Civic Plaza.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam (dua dari kanan) bersama Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kanan) kelihatan menonton video mengenai seorang remaja yang pengsan akibat dadah sementara ibunya memanggil ambulans di sebuah pameran berbentuk tandas rumah flat di pameran di Ngee Ann Civic Plaza. - Foto ST

Encik Shanmugam juga mengingatkan bahawa negara ini masih hadapi cabaran di mana belia mempunyai sikap lebih liberal terhadap dadah, dan penyalah guna dadah kini kian muda.

Tahun lalu, terdapat peningkatan 18 peratus bilangan penyalah guna dadah baru yang diberkas. Lebih daripada separuh adalah mereka di bawah usia 30 tahun, kata Encik Shanmugam.

“Mereka adalah remaja dan golongan muda dengan masa depan yang baik tapi kini berisiko ketagihan dadah sepanjang hayat mereka. Kita perlu hentikan dan ubah trend ini,” tambah beliau.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam kelihatan meletakkan lilin led di rak bagi memperingati seramai 600,000 mangsa yang terkorban di serata dunia ekoran dadah pada 2019.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K Shanmugam kelihatan meletakkan lilin led di rak bagi memperingati seramai 600,000 mangsa yang terkorban di serata dunia ekoran dadah pada 2019. - Foto ST

Pada acara itu sebanyak, 600 lilin LED telah “dinyalakan” dan ditempatkan di sebuah rak yang menyerupai peta dunia tersedia di tempat acara di Ngee Ann Civic Plaza.

Ini bagi memperingati seramai 600,000 mangsa di serata dunia yang terkorban pada 2019 ekoran penyalahgunaan dadah, menurut laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021.

Hadirin juga diminta memberi penghormatan senyap 60 saat bagi memperingati mangsa tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg