Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Asean, China akan naik taraf FTA bidang ekonomi digital, hijau

Oct 10, 2024 | 8:17 PM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), menyapa Perdana Menteri Timor Timur, Encik Xanana Gusmao, dengan  diperhatikan beberapa pemimpin lain, antaranya Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh (kiri);  Perdana Menteri China, Encik Li Qiang (dua dari kanan); dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan); semasa Sidang Puncak  Asean Ditambah Tige ke-27 di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, pada 10 Oktober.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong (dua dari kiri), menyapa Perdana Menteri Timor Timur, Encik Xanana Gusmao, dengan diperhatikan beberapa pemimpin lain, antaranya Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh (kiri); Perdana Menteri China, Encik Li Qiang (dua dari kanan); dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan); semasa Sidang Puncak Asean Ditambah Tige ke-27 di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, pada 10 Oktober. - Foto EPA-EFE

VIENTIANE (Laos): Negara anggota Asean dan China telah memuktamadkan rundingan bagi menaik taraf kawasan perdagangan bebas mereka berhubung ekonomi digital dan hijau.

Ia adalah satu langkah yang kedua-dua pihak berasa akan memberi rangsangan yang amat diperlukan untuk perdagangan dan menyokong rantaian bekalan antarabangsa.

Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, bersama pemimpin Asean yang lain dan China, mengumumkan perkara itu pada Sidang Puncak Asean-China pada 10 Oktober, selepas pertemuan selama sejam antara blok serantau itu dan ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Mengetuai delegasi China ialah Perdana Menteri Li Qiang, lapor The Business Times.

Peningkatan itu meliputi peraturan baru dan dipertingkat mengenai prosedur kastam, halangan bukan tarif, termasuk piawaian dan peraturan teknikal yang meliputi makanan, pertanian dan produk perusahaan, ekonomi digital dan hijau, dan ketersambungan rantaian bekalan, antara bidang lain.

Kedua-dua pihak kini sedang berusaha ke arah penyelesaian penuh rundingan yang disasarkan pada 2025, kata Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) Singapura dalam satu kenyataan.

Ini adalah peningkatan kedua sejak penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) pada 2010.

Dirundingkan oleh MTI, rundingan naik taraf ACFTA 3.0 dilancarkan pada 2022 dengan tujuan memastikan perjanjian itu kekal relevan, bersedia bagi masa hadapan dan responsif kepada cabaran global, kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.

Dalam ucapan di sidang puncak itu, Encik Wong berkata peningkatan kepada FTA adalah “langkah penting”, terutamanya pada masa fahaman perlindungan semakin meningkat di dunia.

“Ia akan menghantar mesej sangat jelas dan penting kepada semua orang mengenai kepentingan perdagangan bebas dan kerjasama pasaran di mana semua menang,” katanya.

Encik Wong berkata negara-negara harus “memanfaatkan momentum ini” untuk secara progresif melonggarkan sekatan perjanjian pengangkutan udara Asean-China.

Beliau juga berkata China boleh menyumbang kepada peralihan Asean kepada bahan api lebih bersih dan rendah karbon, serta membantu mengukuhkan daya tahan tenaga di rantau ini.

Khususnya, kepakaran China dalam tenaga bersih boleh membantu memajukan rancangan Asean bagi grid kuasa serantau, tambahnya.

Singapura, Thailand, Malaysia dan Laos kini terlibat dalam projek penyepaduan kuasa yang menandakan kerjasama pertama antara empat negara Asean dalam perdagangan elektrik rentas sempadan pelbagai hala.

Sejak 2022, Singapura mengimport hingga 200 megawatt tenaga hidro boleh diperbaharui dari Laos, melalui Thailand dan Malaysia, menggunakan penyambung sedia ada.

FTA bersama China itu adalah yang pertama antara Asean dan sebuah rakan dialog luarnya, dan yang pertama bagi China.

China menjadi rakan perdagangan utama Asean sejak 2009.

Asean adalah rakan perdagangan terbesar China, selepas mengatasi Kesatuan Eropah pada 2020.

ACFTA meliputi kawasan perdagangan bebas lebih dua bilion orang dengan gabungan keluaran dalam negara kasar melebihi AS$20 trilion ($26.16 trilion).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg