Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Asean perlu kurangkan pelepasan karbon untuk terus maju

Ini sidang Puncak Asean pertama beliau sejak sandang jawatan Perdana Menteri
Oct 9, 2024 | 9:30 PM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Laos, Encik Sonexay Siphandone; dan Perdana Menteri Malaysia, Encik Anwar Ibrahim; mencapai tangan masing-masing untuk bergambar bersama semasa Sidang Pleno Sidang Kemuncak Asean ke-44 di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, pada Oktober 2024.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong; Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra; Perdana Menteri Vietnam, Encik Pham Minh Chinh; Perdana Menteri Laos, Encik Sonexay Siphandone; dan Perdana Menteri Malaysia, Encik Anwar Ibrahim; mencapai tangan masing-masing untuk bergambar bersama semasa Sidang Pleno Sidang Kemuncak Asean ke-44 di Pusat Konvensyen Nasional di Vientiane, Laos, pada Oktober 2024. - Foto EPA-EFE

VIENTIANE (Laos): Asean perlu berkembang tetapi negara anggota mesti melakukannya dengan kurang pelepasan karbon berbanding sebelum ini, kata Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, pada 9 Oktober.

“Untuk memenuhi sasaran pelepasan kami, kami perlu beralih lebih cepat kepada penyelesaian karbon rendah dan tenaga boleh diperbaharui,” kata Encik Wong dalam sidang Asean beliau yang pertama sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada Mei.

“Bukan mudah untuk kita melakukan ini sebagai negara individu, tetapi sebagai satu kumpulan, sebagai Asean, kita boleh bergerak lebih pantas,” ujar Encik Wong kepada rakan pemimpin dalam sidang di Vientiane, Laos itu.

Beliau menyeru diadakan rangka kerja kawal selia dan komersial yang jelas. Ini termasuk bagi perdagangan tenaga rentas sempadan bagi mencapai grid kuasa Asean yang dirancang.

Ketika Asean berusaha ke arah mewujudkan rangka kerja untuk pembangunan kabel kuasa dasar laut menjelang akhir tahun ini, ia boleh mengambil rujukan daripada kabel gentian optik serantau sedia ada yang sudah tersedia, kata Encik Wong.

Blok itu juga harus memanfaatkan minat daripada Bank Dunia, Bank Pembangunan Asia dan rakan kongsi luar yang lain, untuk membawa masuk pembiayaan bagi grid kuasa serantau tersebut.

Encik Wong juga bercakap tentang potensi besar bagi pasaran digital Asean, sambil menambah bahawa ia akan menjadi pemboleh penting bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Potensi ini boleh dicapai dengan selesainya Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean menjelang 2025, katanya.

“Kita harus memanfaatkan teknologi digital baru untuk terus mencapai kemajuan tetapi kita juga perlu menguruskan risiko teknologi baru,” kata Encik Wong.

Beliau berkata Panduan Asean mengenai Tadbir Urus dan Etika AI akan memudahkan pembangunan model kecerdasan buatan (AI) di seluruh Asia Tenggara dengan cara yang selamat dan dipercayai, serta boleh digunakan untuk membentuk norma global.

Encik Wong juga menggesa pengukuhan keselamatan siber serantau, kerana ia merupakan pemboleh kritikal ruang digital.

Bergerak pantas dalam bidang baru seperti ekonomi digital dan hijau akan membantu memberikan kehidupan yang lebih baik untuk rakyat dalam Asean, dan membantu blok itu kekal relevan kepada rakan kongsi luarnya, kata Encik Wong.

Encik Wong memberitahu rakan pemimpinnya persekitaran luar Asean semakin bermasalah dan bergelora.

“Terdapat peperangan di Eropah dan Timur Tengah. Terdapat rasa tidak percaya dan syak wasangka yang semakin meningkat antara Amerika dengan China. Dan semakin banyak negara mengutamakan keselamatan negara berbanding kecekapan ekonomi dan perdagangan bebas,” katanya.

Akibatnya, ekonomi global berpecah-belah, dan akan mendatangkan akibat kepada Asean, katanya.

Laut China Selatan pula adalah “isu langsung dan segera, dengan risiko sebenar satu kemalangan yang boleh meruncing menjadi konflik”, kata Encik Wong.

Bagaimanapun, beliau berkata ini bukan kali pertama blok itu berdepan dengan persekitaran geopolitik yang tidak menentu seperti itu. Beliau memberi contoh bagaimana Asean menubuhkan Sidang Puncak Asia Timur ketika dunia beralih kepada era baru pasca Perang Dingin kira-kira 20 tahun lalu.

“Tugas kami pada masa hadapan adalah untuk memastikan Asean kekal relevan dan berkesan dalam konteks geopolitik baru ini,” katanya.

“Untuk itu, kita perlu mengekalkan kesatuan tujuan,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg