Singapura dan Korea Selatan sedang berusaha untuk meningkatkan hubungan dua hala mereka kepada Perkongsian Strategik pada 2025 sebagai mengiktiraf kedalaman dan keluasan perkongsian antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Bercakap semasa sidang media bersama dengan Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol, pada 8 Oktober, Encik Wong berkata Singapura dan Korea Selatan berkongsi hubungan mesra, substantif dan pelbagai rupa, dan juga sedang meneroka mengembangkan kerjasama dalam bidang baru.
“Saya gembira untuk berkongsi bahawa Presiden Yoon dan saya telah bersetuju untuk berusaha ke arah meningkatkan hubungan dua hala kami kepada Perkongsian Strategik tahun depan.
“Ini adalah detik perjalanan yang amat penting bagi kededua negara kita kerana 2025 menandakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan dua hala,” kata Encik Wong.
Beliau menambah kedua-dua negara juga sedang meneroka untuk menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas Korea-Singapura (KSFTA) dan memperluaskan Perjanjian Perkhidmatan Udara (ASA) untuk mengukuhkan ketersambungan dan memenuhi permintaan kukuh untuk perjalanan udara.
Singapura dan Korea juga akan membincangkan cara untuk meluaskan kerjasama dalam bidang seperti pertahanan, pendidikan, perubahan iklim, AI dan keselamatan siber, serta ekonomi digital dan hijau, kata Encik Wong.
“Saya berharap untuk membuat kemajuan yang besar dalam semua isu ini dalam beberapa bulan akan datang.
“Saya yakin kerjasama dua hala antara Korea Selatan dengan Singapura akan terus berkembang dengan kejayaan yang meningkat. Dan saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Presiden Yoon untuk membawa hubungan dua hala kita ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
Encik Yoon sedang berada di Singapura sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya selama tiga hari dari 7 hingga 9 Oktober atas jemputan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Pada 8 Oktober, Encik Yoon, yang ditemani isterinya, Cik Kim Keon Hee, turut dihoskan jamuan makan tengah hari oleh Encik Wong dan isterinya, dan melawat Kebun Bunga Singapura, dengan sejenis bunga anggerik, Dendrobium Yoon Suk Yeol Kim Keon Hee, dinamakan bagi menghormati mereka.
Semasa sidang media di Bangunan Parlimen pada 8 Oktober, Encik Yoon dan Encik Wong turut menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MOU) yang meliputi rantaian bekalan, keselamatan makanan, gas asli cecair, syarikat pemula dan teknologi.
Mereka juga mempengerusikan pemeteraian perjanjian ekstradisi antara Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, dengan Menteri Luar Negeri Korea Selatan, Encik Cho Tae Yul.
Encik Yoon mengalu-alukan perjanjian itu dan berkata ia akan membolehkan kedua-dua negara mengukuhkan kerjasama kehakiman supaya penjenayah buruan boleh “disiasat, ditangkap dan dipindahkan dengan pantas”.
Encik Yoon dan Encik Wong juga membincangkan hubungan Korea Selatan dengan Asean sebelum mereka membuat perjalanan ke Laos bagi menghadiri mesyuarat Asean lewat minggu ini.
Tahun ini menandakan ulang tahun ke-35 hubungan dialog Asean-Korea Selatan. Kedua-dua pihak bersedia untuk mewujudkan perkongsian strategik yang komprehensif di Laos.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan situasi di Korea Utara, yang sejak beberapa bulan kebelakangan ini telah mengukuhkan hubungannya dengan Russia dan China.
Encik Wong berkata Singapura, yang menjadi tuan rumah sidang puncak bersejarah 2018 antara pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Un, dengan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mahu melihat semenanjung Korea yang aman dan stabil dan “akan melakukan apa yang boleh kita lakukan untuk memudahkan usaha ke arah ini”.
Encik Yoon berkata beliau dan Encik Wong berkongsi pandangan bahawa program pembangunan nuklear Korea Utara “tidak akan pernah diterima oleh masyarakat antarabangsa” dan akan memastikan untuk “mengeluarkan mesej bersatu yang jelas” kepada Korea Utara semasa sidang puncak Asean akan datang.
“Encik Wong dan saya komited untuk menangani perkara serantau dan isu global dalam perundingan rapat,” kata Encik Yoon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg