Ayuh sertai pesta pelancaran jenama bagi golongan muda yang diperkenalkan Berita Harian (BH), OMGxBH, pada 30 Ogos.
Ia akan dilancarkan oleh Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, pada 5 petang di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle.
Selain itu, reruai interaktif disediakan bagi membolehkan golongan muda meluahkan pandangan mereka mengenai isu-isu yang menjadi keprihatinan mereka dalam ruang yang selamat.
Pesta itu akan menampilkan penyanyi tempatan, Iman Fandi, pada 5.30 petang serta kumpulan pelajar alumni Politeknik Republic, After Hours, pada 6 petang.
Beberapa reruai menjual pelbagai produk menarik disediakan termasuk kunafa coklat pistasio daripada Julie Bakes, khidmat melukis inai daripada Pesona Belle dan kosmetik daripada jenama Yumi Basics.
OMGxBH merupakan wadah khusus bagi BH mendekati golongan muda.
Kandungan digital yang dimuat naik di TikTok, Instagram dan YouTube, penuh dengan maklumat mengenai isu-isu yang dekat di hati golongan muda.
Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar, berkata:
“Golongan muda amat penting sebagai audiens yang ingin dikembangkan oleh BH.
“Kami akan terus menyediakan kandungan berita yang sesuai dengan cita rasa mereka melalui topik seperti kerjaya dalam sektor berkembang, celik kewangan dan kesihatan.
“Kami mengalu-alukan golongan muda untuk menyokong dan sertai kami dalam acara pelancaran ini.”
Sejak video OMGxBH kali pertama disiarkan pada 4 Disember 2023, ia telah menarik lebih 37,000 pengikut di Instagram, TikTok dan YouTube.
Pada pesta pelancaran itu, orang ramai juga boleh menemui hos OMGxBH – Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni, 26 tahun; Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri, 27 tahun; dan Pereka Digital, Raja Nurul Huda Raja Ahmad, 28 tahun.
Mereka juga merupakan pencipta kandungan yang mengemudi dan menghiasi wajah wadah tersebut dalam mengeluarkan kandungan trending dan hip, sesuai mengikut cita rasa anak muda sekarang.
Ini termasuk menemu ramah secara spontan golongan mak cik dan pak cik mengenai bahasa slanga Gen Z dan mengajak mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, mencuba gelagat dan gaya Gen Z.
Semasa Rapat Hari Kebangsaan (NDR), OMGxBH memudahkan golongan muda memahami isi kandungan dengan menampilkan lima daya usaha NDR yang disampaikan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, yang perlu diketahui golongan muda.
“Kami bukan sahaja ingin menghiburkan, malah memaklumkan dan memberikan inspirasi melalui kandungan video dan kegiatan yang menarik bagi golongan muda,” kata Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.
Antara kegiatan anjuran OMGxBH ialah Siri Jauhari, yang menampilkan pemenang Anugerah Jauhari BH.
Mereka berkongsi panduan dan nasihat kehidupan dan kerjaya khusus buat anak muda.
Sesi pertama yang diadakan pada Mei 2024 mengemukakan mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.
Pada Julai 2024, OMGxBH juga turut serta sebagai media rasmi utama bagi Pesta Belia M Kuasa Tiga (M3).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai OMGxBH, sertai Pesta Pelancaran OMGxBH pada 30 Ogos ini.
Ayuh sama-sama kita raikan pelancaran OMGxBH di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle, 1 McNally Street, Blok D, #01-01, Singapura 187940.
“
“Golongan muda amat penting sebagai audiens yang ingin dikembangkan oleh BH. Kami akan terus menyediakan kandungan berita yang sesuai dengan cita rasa mereka melalui topik seperti kerjaya dalam sektor berkembang, celik kewangan dan kesihatan. Kami mengalu-alukan golongan muda untuk menyokong dan sertai kami dalam acara pelancaran ini.”“
“Kami bukan sahaja ingin menghiburkan, malah memaklumkan dan memberikan inspirasi melalui kandungan video dan kegiatan yang menarik bagi golongan muda.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg