Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

OMGxBH suntik kesegaran, jaya pikat golongan muda

Inisiatif baru sebahagian usaha transformasi digital Berita Harian tarik lebih ramai pembaca belia
Jul 27, 2024 | 5:30 AM
Pasukan OMGxBH terdiri daripada (dari belakang kiri, ikut putaran jam) Pereka Digital, Raja Nurul Huda Raja Ahmad; Timbalan Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian (BH), Cik Rabiatul Adawiya Binhan; Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni; Editor Video, Encik Muhammad Firdaus Mahadi; Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; dan Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri.
Pasukan OMGxBH terdiri daripada (dari belakang kiri, ikut putaran jam) Pereka Digital, Raja Nurul Huda Raja Ahmad; Timbalan Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian (BH), Cik Rabiatul Adawiya Binhan; Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni; Editor Video, Encik Muhammad Firdaus Mahadi; Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; dan Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri. - Foto BH oleh KHALID BABA

Videonya menarik. Maklumatnya padat.

Nilai hiburannya yang menggabungkan bahasa Melayu dan Inggeris turut mencuit hati golongan muda.

OMGxBH adalah unit baru Berita Harian (BH) yang mencipta kandungan khusus untuk anak muda.

Sejak ditubuhkan pada Disember 2023, ia telah mencipta nama sendiri dengan menerbitkan kandungan menarik bagi golongan belia.

Berbeza daripada akhbar harian BH, kandungan OMGxBH menggunakan kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris.

Ia menerapkan lebih banyak penerbitan video mengikut trend terkini dengan pendekatan lebih santai.

Sasarannya – golongan muda berusia 21 hingga 34 tahun – khususnya anak muda Gen Z dan belia dari institut pengajian tinggi.

Menjelaskan mengenai daya usaha terkini itu, Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim, berkata:

“Berdasarkan tinjauan yang kami lakukan pada 2023, kami dapati golongan muda mendapat berita melalui media sosial dan mereka lebih selesa menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris.

“Justeru, kami berasa perlu memperkenalkan satu jenama baru untuk menarik golongan muda sesuai dengan cita rasa dan gaya hidup mereka dalam mendapatkan berita melalui media sosial.

“Kami menerapkan konsep yang lebih santai dalam menyebarkan berita dan maklumat hiburan dalam cara yang menarik dan menyeronokkan bagi golongan muda.”

Kandungan digital OMGxBH, yang dimuat naik di TikTok, Instagram dan YouTube, penuh dengan kandungan video lucu dan bermaklumat

Ia menampilkan Eksekutif Audiens dan Perkembangan BH, Cik Kaiyishah Ayuni, 26 tahun; Pencipta Kandungan, Cik Nur Sabrina Masri, 27 tahun; dan Pereka Digital, Raja Nurul Huda Raja Ahmad, 28 tahun.

Mereka merupakan pencipta kandungan yang mengemudi dan menghiasi wajah wadah tersebut dalam mengeluarkan kandungan trending dan hip, sesuai mengikut cita rasa anak muda sekarang.

Sebagai contoh, mereka menemu ramah secara spontan golongan mak cik dan pak cik mengenai bahasa slanga Gen Z dan cuba mengangkat beg askar seberat 20 kilogram sempena Hari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Malah, dengan selamba juga, Cik Sabrina turut memberanikan diri mengajak mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, mencuba gelagat dan gaya Gen Z.

Ternyata ia berjaya mencuit hati ramai sehingga video tersebut mendapat lebih 29,000 tanda suka atau likes dan dikongsi lebih 4,400 kali di TikTok.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman, juga turut diaju soalan selamba dengan gaya spontan Cik Sabrina yang ingin tahu jika beliau layak menjadi menteri pada suatu hati nanti.

Cik Nur Sabrina Masri (kanan) mewawancara mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (kiri), semasa sesi pertama Siri Jauhari Berita Harian yang diadakan pada 31 Mei.
Cik Nur Sabrina Masri (kanan) mewawancara mantan Presiden, Puan Halimah Yacob (kiri), semasa sesi pertama Siri Jauhari Berita Harian yang diadakan pada 31 Mei. - Foto OMGXBH
Cik Nur Sabrina Masri (kanan) bertanya kepada para pengunjung bazar Ramadan Gen Z tentang jumlah duit Raya yang disifatkan mencukupi bagi mereka.
Cik Nur Sabrina Masri (kanan) bertanya kepada para pengunjung bazar Ramadan Gen Z tentang jumlah duit Raya yang disifatkan mencukupi bagi mereka. - Foto OMGXBH

Namun di sebalik video-video tular hasil usaha dan gelagat lucu OMGxBH itu, Cik Norhaiza, yang mempimpin pasukan enam anggota itu, menambah:

“Secara umum, kalau kita tanya masyarakat Melayu tentang peranan akhbar BH, pastinya apa yang mereka lihat adalah sebuah media cetak bahasa Melayu yang boleh dipercayai.

“Kepercayaan itu ingin OMGxBH terapkan pada golongan muda juga melalui kandungan kami di media sosial.

“Jadi apabila kami melakarkan strategi untuk menarik pembaca muda ini, kami berasakan wadah paling berkesan adalah melalui media sosial.”

Menurut Timbalan Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Rabiatul Adawiya Binhan, OMGxBH telah berjaya meraih lebih 35,000 pengikut daripada ketiga-tiga wadah media sosialnya – TikTok, Instagram dan YouTube – sejak ia ditubuhkan pada Disember 2023 hingga 25 Julai 2024.

Ia melebihi sasaran 16,500 yang ditetapkan secara keseluruhan bagi tempoh setahun.

Malah, beberapa badan pemerintah, badan bukan meraih untung, dan juga syarikat sektor kewangan, hartanah dan lain-lain telah melahirkan minat untuk turut bekerjasama bagi menguar-uarkan jenama dan perkhidmatan mereka.

“Lebih 80 peratus pengikut OMGxBH di media sosial terdiri daripada belia berusia 21 hingga 34 tahun,’‘ kata Cik Rabiatul.

Sementara itu, Cik Kaiyishah, pula dilantik khusus bagi membangunkan komuniti audiens OMGxBH.

Selain menganalisis data, beliau turut berurusan dengan institut pengajian tinggi secara langsung bagi menarik minat para pelajar.

“Sebelum OMGxBH dilancarkan, kami kerap kali turun ‘padang’ untuk mendekati institut pengajian tinggi bagi mendapatkan idea dan mengenalkan diri kami.

“Wartawan muda di BH juga telah banyak berkongsi idea pada awal pembentukan OMGxBH dan memberi saranan tentang trend dan kemahuan golongan anak muda sekarang, yang telah membantu strategi kami,” kata Cik Kaiyishah.

Pasukan OMGxBH menganjurkan kursus penciptaan kandungan untuk golongan muda pada Julai.
Pasukan OMGxBH menganjurkan kursus penciptaan kandungan untuk golongan muda pada Julai. - Foto OMGXBH

Baru-baru ini, buat julung-julung kalinya, OMGxBH telah dilantik sebagai media rasmi Pesta Belia M3 yang dianjurkan di Wisma Geylang Serai.

Ia juga sedang bekerjasama dengan unit maklum balas pemerintah, Reach, untuk menganjurkan Siri Jauhari yang memberikan wadah bagi pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi kejayaan kehidupan dan kerjaya mereka bersama golongan muda sebagai inspirasi dan dorongan.

Kandungan OMGxBH bukan sahaja menarik minat golongan muda Melayu di Singapura malah bangsa asing di sini, serta audiens dari luar negara termasuk Malaysia dan Indonesia disebabkan kandungannya yang menarik dan sari kata dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Selain kandungan hiburan, Cik Kaiyishah berkata OMGxBH juga mencipta kandungan berbentuk infografik dengan video yang padat untuk santapan pengikut yang lebih cenderung mendapat rumusan berita dengan cepat.

(Dari kiri) Raja Nurul Huda Raja Ahmad; Cik Kaiyishah Ayuni dan Cik Nur Sabrina Masri, mencuba bermain bola sempena musim perlawanan Euro 2024.
(Dari kiri) Raja Nurul Huda Raja Ahmad; Cik Kaiyishah Ayuni dan Cik Nur Sabrina Masri, mencuba bermain bola sempena musim perlawanan Euro 2024. - Foto OMGXBH
Raja Nurul Huda (kiri) dan Cik Kaiyishah Ayuni (kanan) cuba menterjermah kata-kata Gen Z yang lazim disebut di tempat kerja.
Raja Nurul Huda (kiri) dan Cik Kaiyishah Ayuni (kanan) cuba menterjermah kata-kata Gen Z yang lazim disebut di tempat kerja. - Foto OMGXBH

“Kami gembira dengan pendekatan baru ini yang memberikan kami peluang untuk meneroka idea baru dan bereksperimentasi dengan kandungan-kandungan kami, berdasarkan data dan kajian yang telah kami lakukan.

“Ini sesuatu yang unik. Kami merupakan wadah media Melayu pertama yang menawarkan kandungan dwibahasa dan bermaklumat untuk golongan muda,” kata Cik Kaiyishah, yang juga menggalas peranan sebagai pengurus media sosial OMGxBH.

Bagi Cik Sabrina pula, peluang untuk menjadi hos dan menerbitkan beberapa kandungan menerusi wadah OMGxBH amat berbeza dengan pengalaman lalunya di syarikat media lain, apabila beliau lebih memberi tumpuan kepada bahan yang lebih serius sebelum ini.

Berkongsi tentang pengalamannya untuk mencipta kandungan berkenaan Belanjawan 2024 buat golongan muda, Cik Sabrina berkata beliau gembira dapat meneroka idea yang segar untuk menonjolkan mesej penting dengan cara yang lebih menarik.

“Saya ingat lagi bila saya mengangkat poster hijau besar di kawasan Sengkang semasa Belanjawan 2024. Idea saya sekadar untuk membuat kandungan yang lebih senang untuk difahami belia.

“Tahu-tahu, video itu menjadi tular dalam masa satu dua hari, lebih daripada jangkaan saya,” kata Cik Sabrina.

“Justeru, kami berasa perlu memperkenalkan satu jenama baru untuk menarik golongan muda sesuai dengan cita rasa dan gaya hidup mereka dalam mendapatkan berita melalui media sosial. Kami menerapkan konsep yang lebih santai dalam menyebarkan berita dan maklumat hiburan dalam cara yang menarik dan menyeronokkan bagi golongan muda.”
Cik Norhaiza Hashim, Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg