Seorang pegawai tetap Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) sanggup bekerja dengan orang lain untuk menipu dua mangsa lebih $541,000 dalam skim pelaburan antara 2016 dengan 2017.
Dua mangsa yang dimaksudkan itu, V1, seorang lelaki berusia 44 tahun, ditipu $400,000 manakala V2, seorang wanita berusia 43 tahun, pula diperdaya sejumlah $141,000.
Pesalah, Lim Jun Hong, 35 tahun, yang kini pengarah Vican Construction, dijatuhi hukuman penjara dua tahun enam bulan pada 28 Mei selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan menipu yang dikaitkan dengan V1 sebanyak $321,000.
Tiga pertuduhan lain diambil dalam pertimbangan.
Kes jenayah melibatkan dua rakan Lim - Dexter Lau Yu Hong, 28 tahun, dan Kang Chee Wee, 36 tahun, juga dikenali sebagai Ziwei - masih belum selesai.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tay Zhi Jie memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga individu ini telah memperkenalkan skim pelaburan 1Meltz, yang kononnya berpangkalan di Amerika Syarikat.
Beliau berkata: “Ziwei kononnya adalah ejen ‘Bos Amerika Syarikat’ yang kaya serta mempunyai pelbagai pelaburan dan perniagaan di Amerika.”
Skim itu menjanjikan pulangan 140 peratus dalam masa 28 hari.”
Namun, “Bos Amerika” sebenarnya tidak wujud dan 1Meltz ialah skim Ponzi.
DPP Tay berkata tiga orang ini mengambil sebahagian besar wang tunai pelabur untuk diri mereka sendiri dan bagi membayar “pulangan pelaburan” yang mereka janjikan itu.
Menurut dokumen mahkamah, Kang mencetuskan idea skim itu pada 2016 dan menggunakan $150,000 daripada wang pelabur untuk membeli sebuah pub bernama Cows and Coolies.
DPP Tay berkata, ketiga-tiganya tahu bahawa wang pelabur tidak akan digunakan untuk melabur dalam mana-mana perniagaan dan sebaliknya menggunakannya untuk membayar pelabur lain.
V1 menerima 40 peratus pulangan sehingga awal Februari 2017, dan kemudian melaburkan semula sebahagiannya ke dalam 1Meltz.
Bagaimanapun, beliau tidak menerima sebarang pulangan untuk pelaburan terakhirnya.
Secara keseluruhan, V1 menerima pulangan $231,000 dan mengalami kerugian sebanyak $169,000.
Ketiga-tiganya didakwa di mahkamah pada Januari 2024.
Bagi setiap pertuduhan menipu, pesalah boleh dipenjarakan sehingga tempoh 10 tahun dan didenda. - ST


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg