Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Berita Utama
42
0

MENJELANG PILIHAN RAYA NEGERI MALAYSIA

Benarkah tidak ada gelora di Terengganu?

Pengamat beri sekilas gambaran sedang PM Anwar yakin Kerajaan Perpaduan mampu rampas dua negeri dari PN-PAS
Jul 26, 2023 | 03:04 PM



Saya dikerah ke Kuala Terengganu untuk membuat liputan Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15) di negeri ini, yang bakal diadakan pada 12 Ogos nanti.

Tetapi kenapa Terengganu? Ini mungkin pertanyaan spontan anda (sebenarnya saya juga, pada mulanya, apabila diberitahu mengenai tugasan kali ini).

Sekali pandang, mungkin kita akan mengandaikan bahawa apalah sangat ada di Terengganu? Ya, ia memang terkenal sebagai negeri yang kaya minyak dan keropok lekor serta nasi dagangnya, tetapi dari segi isu, rasanya tidak banyak yang digembar-gemburkan.

Mungkin juga ada yang menganggap, seperti Kelantan, Terengganu juga akan kekal di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), gabungan Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Gerakan.

Ha, di sinilah perbezaan antara andaian dengan realiti.

Sebenarnya, ramai pemerhati politik Malaysia memandang PRN15, yang melibatkan enam negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – sebagai ujian litmus/petunjuk kritikal atau referendum penerimaan rakyat Malaysia ke atas Kerajaan Perpaduan – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) – pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ramai yang menggambarkan bahawa PRN pada kali ini adalah amat penting bagi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ini adalah PRN pertama beliau pada kedudukannya sebagai seorang perdana menteri.

“PRN pada kali ini turut boleh menjadi satu isyarat berkenaan keberkesanan dan sokongan awam terhadap kepimpinan beliau dan bakal menjawab persepsi awam sama ada faktor besi sembrani (Datuk) Anwar Ibrahim masih lagi mendapat raih sokongan ataupun sebaliknya,” jelas Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr Abd. Rasid Abd. Rahman, kepada dalam Berita Harian dalam satu interviu khas yang diatur di Shah Alam, Selangor.


Bersetuju dengan pandangan itu, penganalisis politik UiTM, Dr A Aziz Azizam, pula menambah: “Kalau dia (PH) boleh memastikan dia menang satu daripada tiga (negeri), menunjukkan PH itu diterimalah.

“Kalau PN masih berjaya mengekalkan tiga kerusi (negeri), hipotesis itu menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan yang dilakukan (Datuk Seri Anwar) sepanjang lapan bulan (beliau menjadi perdana menteri).”

Dalam PRU14 pada 2018, PH menguasai tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PAS dan PN berkuasa di Kedah, Kelantan serta Terengganu.

Jadi, tidak hairanlah kalau Terengganu, dan mungkin Kedah, dikatakan menjadi medan persaingan dalam PRN14 ini.

Tetapi apakah isu-isu lain yang boleh dibangkitkan di Terengganu?

Berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu dan dilihat pada setiap kawasan parlimen yang meliputi kesemua kawasan PRN pada kali ini, keputusannya menunjukkan margin kemenangan PN yang besar.

Menurut sebilangan besar pengamat, secara purata, undi BN yang disatukan dengan PH pun tidak mampu memberi jaminan akan lebih tinggi daripada jumlah yang dimiliki PN.

Kedudukan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga Naib Presiden Pas, turut dikatakan begitu kuat dan sukar dicabar calon BN, Datuk Seri Ahmad Said, walaupun beliau pernah menyandang jawatan menteri besar negeri itu.

Dr A Aziz berkata: “Dr Sam (julukan yang diberi kepada Datuk Ahmad Samsuri), MB (menteri besar) sekarang, tidak begitu diserang. Beliau pakar dalam bidang aeroangkasa dan rapat dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden PAS).

“Kad prestasi beliau juga begitu cemerlang. Manifesto semua sudah dilaksana, 20 kesemuanya. Sekarang sudah ditambah 10 (manifesto) lagi.”

Namun, seperkara yang perlu diambil perhatian di Terengganu, ujar Dr A Aziz.

“Sejak tahun 1990-an hingga 2000, walaupun isu yang dimainkan pergi balik isunya Melayu/Islam sahaja, bila dilihat pada data, PRN kali ini berbeza daripada PRN lain kerana adanya kuasa pada pengundi muda.

“Ia boleh jadi faktor penentu yang baru dalam politik di Terengganu,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, data dalam PRN14 pada 2018 tidak boleh memberi sebarang gambaran kerana tidak ada pengundi muda. Pengundi muda ini sebilangan besarnya penyokong PH, manakala ibu bapa mereka pengundi tegar PAS.

“Tetapi PH perlu berhati-hati apabila mainkan isu melibatkan melabel kerana ada anggota parlimen PH panggil pengundi PAS ‘Pak Lebai, Mongul, Barbarian’.

“Anak pengundi PAS ini menyokong PH tetapi kalau ahli politik PH buat label sebegitu pada emak ayah mereka, ini akan beri tekanan kepada PH,” katanya memberi peringatan.

Seperkara lagi yang dilihat, PH nampak aktif berkempen di Kedah dan begitu menumpukan perhatian pada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, tetapi masih suam-suam di Terengganu.

Rasanya Datuk Anwar dan program ‘Jelajah Perpaduan Madani’nya perlu digiatkan di Terengganu.

Sebagai usahanya memenangi semula Terengganu, BN negeri mempertaruh gabungan 27 calon muka lama dan baru, yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang.

PAS pula, yang dijangka mengetuai kempen PN di Kelantan dan Terengganu, mengumumkan senarai calon dan jumlah kerusi mahu ditandingi parti itu pada PRN Terengganu, Khamis (esok).


Setiausaha PAS Negeri, Encik Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata perkara itu akan diumumkan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.


Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu, manakala bakinya dimenangi Barisan Nasional (BN) membabitkan DUN Kijal, Bukit Besi, Telemong, Seberang Takir, Batu Rakit, Langkap, Permaisuri, Kuala Besut, Jertih serta Hulu Besut.


Difahamkan pada PRN Terengganu kali ini, PAS dijangka bertanding di 27 kerusi DUN, manakala lima lagi diserahkan kepada Bersatu membabitkan DUN Kijal, Telemong, Langkap, Permaisuri dan Hulu Besut.


Untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu yang baru, mana-mana parti politik dan gabungannya perlu memenangi sekurang-kurangnya 17 kerusi untuk mencapai majoriti daripada jumlah keseluruhan 32 kerusi yang dipertandingkan dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Jadi, inilah dia rencah PRN Terengganu yang bakal saya hadapi. Namun, sama ada ia bakal lebih ‘menyelerakan’ daripada sajian nasi dagang dan keropok lekor yang ada di depan mata saya sekarang.... hmmm, sama-samalah kita saksikan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >