Encik Ivan Goh bergegas ke Taman Merlion sejurus selepas selesai bertugas pada 19 Ogos untuk mendapatkan tempat bagi merakamkan ‘supermoon’, atau bulan purnama terbesar yang pertama dapat dilihat tahun ini.
Pengurus berusia 53 tahun itu memberitahu The Straits Times bahawa beliau telah mengunjungi taman tersebut sehari lebih awal untuk merancang gambar yang bakal diambilnya, tetapi tidak berjaya kerana awan tebal.
Apabila tiba di Taman Merlion pada 6.28 petang 19 Ogos, beliau dengan penuh sabar menunggu kemunculan fenomena bulan yang besar dan sangat terang cahayanya itu.
Beliau menjangkakan bahawa bulan akan muncul di bahagian atas bangunan Marina Bay Sands (MBS) antara 7.45 malam dengan 8 malam.
Sangkaan beliau terbukti tidak meleset.
“Niat utama saya adalah untuk mengambil gambar bulan yang berada betul-betul di belakang arca runcing MBS Skypark, tetapi sayangnya, sudut pandang terbaik diambil oleh jurugambar lain.
“Saya menunggu sehingga beliau memetik gambarnya sebelum saya mengambil alih kedudukannya dan itulah sebabnya bulan terbit lebih tinggi dalam gambar saya,” kata Encik Goh.
Beliau memberi kredit kepada foto yang sangat disukainya itu kepada kamera tanpa cermin Canon R7 dengan kanta telefoto yang digunakannya itu.
Kesabaran dan hasil memetik gambar ‘supermoon’ itu membuahkan hasil apabila beliau mendapat lebih 1,000 tanda suka dalam kumpulan Facebook bernama CloudSpotting dan SkySpotting Singapore, yang mempunyai lebih 100,000 anggota.
Namun, beliau bukan satu-satunya pemerhati langit di Singapura yang meraih ganjaran atas kesabaran dan strategi mereka merakam bulan ‘sturgeon’ – iaitu bulan purnama pada Ogos – yang menakjubkan dan menerangi langit pada 19 Ogos.
Ramai yang lain, termasuk Perdana Menteri Encik Lawrence Wong, turut menggunakan media sosial untuk berkongsi gambar mereka sebaik sahaja bulan muncul.
Terdapat lebih 80 gambar ‘supermoon’ di Facebook, yang diambil daripada pelbagai sudut dan lokasi.
Gambar Encik Wong, yang menunjukkan bulan sebahagiannya diselaputi awan, dalam hantaran Facebook pada 19 Ogos, menulis:
“Sekilas tentang bulan terbesar malam ini daripada pejabat saya. Harap anda semua berpeluang melihat pemandangan yang jarang berlaku ini.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg