JOHOR BAHRU: Seorang bekas pemandu teksi dari Singapura yang didapati bersalah menikam isterinya dan membunuh kekasihnya di Malaysia pada 2013, enggan memohon maaf dan sedia menjalani hukuman mati.
Quah Tee Keon, 56 tahun, sekali gus menarik balik permohonan semakan hukuman matinya, lapor media Malaysia.
“Saya tidak mahu meminta belas kasihan. Saya cuma minta dihukum gantung sampai mati. Terima kasih,” kata Quah di mahkamah di Johor Bahru pada 17 Julai.
Panel hakim yang terdiri daripada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah kemudian membatalkan permohonan semakan itu, sekali gus mengekalkan hukuman mati.
Quah ditahan pihak berkuasa di Malaysia sejak menyerah diri kepada polis di Kuala Lumpur pada 28 Oktober 2013. Dia melarikan diri selama dua minggu selepas melakukan jenayah itu.
Quah menemui isteri dan kekasihnya, Encik Ruan Chao Qiang, seorang warga China, di rumah keluarga isterinya di Bera, Pahang, pada awal pagi 13 Oktober 2013.
Akibat terlalu marah, pemandu teksi itu menikam lelaki tersebut hingga mati dengan pisau dan mencederakan isterinya, Cik Loong Mei Ling, yang ketika itu berusia 33 tahun, di leher, tangan dan belakang tubuhnya.
Gambar-gambar menunjukkan tempat kejadian berlumuran darah di rumah yang Cik Loong telah berpindah semula berikutan keretakan rumah tangganya.
Encik Ruan dan Cik Loong dilaporkan bekas rakan sekerja di Singapura.
Cik Loong, yang merupakan isteri kedua Quah, pernah tinggal di Toa Payoh bersamanya.
Mereka berpindah ke Woodlands selepas berkahwin pada 2004.
Beliau memberitahu media Malaysia bahawa Quah menderanya secara fizikal, lantas beliau memutuskan untuk pulang ke kampung halamannya di Pahang bersama tiga anak lelaki mereka.
Bekas jiran Quah di Toa Payoh berkata, pada 2013 sering kedengaran pertengkaran kuat antara pasangan itu.
Pada 17 Julai, panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun Tuan Mat, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, dan Quah mengucapkan terima kasih kepada mahkamah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg