JOHOR BAHRU: Seorang bekas anggota polis terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman mati terhadapnya kerana membunuh kekasihnya yang hamil pada 2015.
Pada 17 Julai, hukuman mati terhadap Muhammad Faizal Salim, 47 tahun, yang ketika itu berpangkat koperal, ditukar kepada penjara 40 tahun berserta 12 sebatan bermula dari tarikh tangkapannya,
Keputusan itu dibuat panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Hanipah Farikullah.
Menurut tuduhan, Muhammad Faizal membunuh Allahyarhamha Norzielawati Akmar Afandi, 35 tahun, di taman rekreasi Hutan Bandar Bukit Cantik di Mersing, Johor, antara 11 malam dengan 12.30 tengah malam pada 12 April 2015.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Allahyarhamha ialah hentakan kuat dengan benda tumpul pada kepala dan beliau juga mempunyai 47 kecederaan lain di badan, seperti kesan lebam dan luka.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Cik Tetralina Ahmed Fauzi, membantah permohonan semakan ke atas hukuman yang dibuat oleh Muhammad Faizal dengan alasan kematian mangsa adalah tragik.
“Bayi dalam kandungan juga sudah berusia enam bulan, sekali gus menyaksikan pemohon telah membunuh dua nyawa.
“Mangsa juga telah merayu agar tidak dipukul namun tidak diendahkan pemohon,” kata Cik Tetralina, lapor Sinar Harian.
Peguam bela Iskandar Shah Ibrahim dalam rayuannya pula berkata ia bukan satu kekejaman yang ekstrem dan Muhammad Faizal juga berniat menghantar mangsa bagi mendapatkan rawatan.
Panel hakim kemudian bersetuju menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap Muhammad Faizal sebelum ini kepada penjara dan sebatan.
“Hukuman mati diketepikan dan digantikan dengan penjara selama 40 tahun berserta 12 sebatan bermula tarikh ditangkap, iaitu 13 April 2015,” umum Tun Tengku Maimun.
Pada 21 Mei 2018, Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap Muhammad Faizal kerana perbuatannya itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg