Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Burung raja udang terjejas tumpahan minyak

Dua mati, dua lagi dirawat
Jun 19, 2024 | 10:50 AM
Burung raja udang pertama yang diselamatkan, mati pada 16 Jun, sekitar  36 jam selepas ia diselamatkan.
Burung raja udang pertama yang diselamatkan, mati pada 16 Jun, sekitar 36 jam selepas ia diselamatkan. - Foto KALAI VANAN

Empat burung raja udang yang disaluti minyak telah diselamatkan selepas kejadian tumpahan minyak pada 14 Jun, namun dua daripadanya telah mati.

Lembaga Taman Negara (NParks) dan Persatuan Berkaitan Penyelidikan dan Pendidikan Haiwan (Acres) masing-masing telah menyelamatkan dua raja udang.

Namun dua daripada burung itu – satu diselamatkan oleh NParks dan satu lagi oleh Acres – mati selepas diselamatkan.

“Sehingga 18 Jun 2024, dua raja udang telah diambil oleh NParks dan dihantar ke Pusat Pemulihan Hidupan Liar untuk rawatan dan penjagaan veterinar,” kata pengarah kumpulan NParks, Cik Anna Wong.

“Walaupun diberikan penjagaan veterinar segera, salah satu daripada burung itu telah mati.

“Kadar kelangsungan hidup burung ini adalah rendah di sebalik campur tangan veterinar yang segera disebabkan tekanan dan pengambilan minyak secara tidak sengaja yang merupakan toksik kepada mereka,” tambahnya.

Di Acres, burung raja udang pertama yang diselamatkan mati pada 16 Jun, kira-kira 36 jam selepas ia diselamatkan.

Kumpulan itu tidak dapat menentukan sebab sebenar kematiannya, tetapi burung itu telah menunjukkan tanda-tanda dehidrasi, kata ketua eksekutif bersama Acres, Encik Kalai Vanan Balakrishnan.

Yang satu lagi sedang beransur-ansur pulih, tetapi Encik Kalai berpendapat burung itu hanya mempunyai kira-kira 30 peratus peluang untuk hidup.

Acres juga menjangkakan menerima lebih banyak laporan mengenai mangsa hidupan liar akibat tumpahan minyak yang berlaku pada 14 Jun, kata Encik Kalai yang ditukil The Straits Times.

Kumpulan penyelamat hidupan liar telah menerima laporan mengenai haiwan lain seperti memerang dan biawak benggala atau monitor lizard, yang diselaputi minyak, tetapi tidak dapat mengesan haiwan itu apabila pasukan penyelamat tiba.

Haiwan bersalut minyak lain juga telah dikesan oleh orang awam, dengan Encik Bernard Seah, seorang aktivis pemuliharaan hidupan liar dan jurugambar, melihat seekor burung rapang sisir kecil atau sand plover dan jerung terumbu hitam di Pulau Sekijang Bendera (St John’s) pada 16 Jun.

Tumpahan minyak itu berlaku apabila bot pengorek Belanda Vox Maxima melanggar kapal tangki minyak Singapura Marine Honor, yang tidak bergerak, sekitar 2.20 petang pada 14 Jun.

Kerosakan pada tangki kargo Marine Honor – yang terletak di sebelah kapal kontena yang berlabuh di Terminal Pasir Panjang – memyebabkan minyak bocor ke laut, mengakibatkan tompokan minyak dilihat di Sentosa, pulau-pulau selatan dan Changi.

Burung-burung raja udang yang diselamatkan oleh Acres ditemui di Pulau Sekijang Pelepah (Lazarus), sebuah pulau luar pesisir yang terletak sekitar 40 minit perjalanan dengan bot dari Marina South, dan di kawasan Keppel.

Raja udang ialah spesies burung rajawali yang paling biasa di Singapura.

Mereka boleh ditemui di seluruh pulau, termasuk di kawasan bandar yang jauh dari air.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg