Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Insiden limpahan minyak: Perlanggaran kapal bukan kerana kesesakan pelabuhan

Hong Tat: Perlanggaran disebabkan kapal Belanda hilang kawalan; siasatan MPA , kerja pembersihan minyak ambil masa
Jun 18, 2024 | 8:05 PM
Tumpahan minyak yang dibersihkan oleh sistem ‘Current Buster’ di luar Rizab Alam Semula Jadi Labrador pada 17 Jun.
Tumpahan minyak yang dibersihkan oleh sistem ‘Current Buster’ di luar Rizab Alam Semula Jadi Labrador pada 17 Jun. - Foto MPA

Penemuan awal menunjukkan bahawa insiden limpahan minyak pada 14 Jun melibatkan kapal dari Belanda, Vox Maxima, dan kapal bunker berbendera Singapura yang tidak bergerak, Marine Honor, bukanlah kerana kesesakan pelabuhan Singapura.

Sebaliknya, ia berpunca daripada kapal Vox Maxima yang dikatakan hilang kawalan enjin dan stereng secara tiba-tiba.

Memberi perkembangan terkini siasatan yang masih dijalankan, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dalam catatan Facebook pada 18 Jun, berkata laporan awal mengenai kelewatan yang dialami oleh kapal kontena adalah perkara berasingan yang berpunca daripada sekelompok kapal kontena yang tiba serentak di PSA.

Beliau juga menambah pihak Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) akan mengambil masa untuk menyelesaikan siasatan penuh dan membersihkan limpahan minyak secara progresif.

Encik Chee berkata MPA telah bertindak dengan segera dan “menyembur bahan serak untuk merawat minyak yang tertumpah ke laut”.

“Ini penting untuk mengelakkan minyak daripada mengeras yang akan menjadikan operasi pembersihan seterusnya di laut dan di darat lebih sukar. Kontraktor MPA juga menggerakkan bum (pelampung) pembendung minyak di sekitar kapal yang rosak untuk mengelakkan limpahan minyak selanjutnya yang mungkin bocor dari kapal,” jelasnya.

Walaupun bum pembendung itu boleh membantu mengurangkan limpahan itu daripada merebak, Encik Chee akur bahawa “ia mungkin tidak sepenuhnya menghalang minyak daripada merebak kerana sebahagian minyak boleh dibawa oleh arus pasang surut dan ombak, dan berada di atas atau di bawah bum pembendung”.

MPA akan terus bekerjasama dengan agensi pemerintah berkaitan, rakan industri, sukarelawan, dan pihak berkuasa maritim dan pelabuhan negara jiran untuk memantau keadaan dengan teliti dan mengambil tindakan yang perlu, tambah beliau.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Singapura memperluaskan usaha pembersihan ke lebih banyak kawasan berikutan limpahan minyak besar pada 14 Jun, dengan sedikit minyak bocor dari tangki kargo yang rosak di Terminal Pasir Panjang telah merebak ke perairan Changi pada 17 Jun.

Pada 17 Jun, kira-kira 1,500 meter bum pembendung fizikal telah digunakan untuk membendung tumpahan minyak, dengan tambahan 1,600 meter akan digunakan di beberapa pantai di Pulau Sentosa dan Hutan Simpanan Labrador menjelang 18 Jun, serta di Kepulauan Selatan, menurut kenyataan bersama MPA, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), agensi air negara PUB, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dan Agensi Makanan Singapura (SFA).

Bum pembendung juga telah dipasang di sepanjang pantai East Coast Park yang terjejas teruk untuk memerangkap minyak dan menghalangnya daripada mengalir ke terusan.

Bum pembendung juga akan ditempatkan di luar Changi East sebagai langkah pencegahan.

“Sebahagian daripada minyak telah dilihat di Changi hari ini,” kata kenyataan bersama itu, sambil menambah bahawa penyemburan bahan serak minyak telah digunakan secara awal di kawasan sensitif biodiversiti di Chek Jawa Wetlands di Pulau Ubin, Taman Coney Island dan Taman Pasir Ris.

Pihak berkuasa berkata pembendungan tambahan dan bum pembendung akan digunakan dalam beberapa hari akan datang untuk melindungi ladang ikan di Selat Johor Timur, Chek Jawa Wetlands dan Changi Creek.  

Sistem Current Buster, peranti penahan terapung minyak dan pemulihan khusus yang digunakan dari kapal, akan digunakan pada 18 Jun di luar Pusat Pameran Changi sebagai langkah pencegahan.

Setiap sistem terdiri daripada bum pembendung dengan kain yang memanjang di bawah permukaan air untuk melampirkan dan mengumpul minyak pada permukaan air.

Walaupun Taman West Coast tidak terjejas, bahan serak minyak juga digunakan di taman itu untuk melindungi hutan bakau di Taman Marsh, kata kenyataan itu.

NEA telah menjalankan ujian harian sejak 15 Jun, dan mendapati kualiti udara di kawasan terjejas sekitar Sentosa, Taman East Coast dan Hutan Simpanan Labrador berada dalam “tahap selamat” setakat ini, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada berenang di Pantai Changi, atau melakukan aktiviti air lain di sana.

Untuk memudahkan usaha pembersihan, pantai berikut akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

  1. Pantai di East Coast Park (dari Kawasan B hingga H)
  2. Hutan Simpanan Labrador (Jeti dan Rocky Shore)
  3. Pantai Sentosa kekal dibuka kepada orang ramai, tetapi aktiviti laut dan berenang tidak dibenarkan di pantai Tanjong, Palawan dan Siloso
  4. Pantai di pulau St John, Lazarus dan Kusu

NParks berkata ia telah menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang menawarkan bantuan secara sukarela, tetapi demi keselamatan mereka, sukarelawan tidak akan dikerahkan untuk pembersihan pantai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg