Dadah bernilai sekitar $1.4 juta dirampas dalam satu operasi di Plantation Crescent dekat Tengah pada 7 November.
Tiga warga Singapura turut ditahan dalam operasi di estet perumahan baru itu, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan pada 11 November.
Seorang lelaki berusia 32 tahun ditahan di kolong blok kediaman di Plantation Crescent manakala seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun pula ditahan apabila pegawai CNB menyerbu sebuah unit di blok yang sama, lapor The Straits Times.
Sekitar 1,027 gram ganja dan 513 gram jenis Ice ditemui daripada lelaki berusia 32 tahun itu.
Menurut CNB, pemeriksaan ke atas unit di blok itu membawa kepada rampasan sekitar 3,223 gram ganja; 7,626 gram heroin; 2,339 gram Ice; 235 gram Ecstasy; lima botol methadone; 2,590 pil Erimin-5 dan wang tunai berjumlah $9,250.
Pemeriksaan seterusnya terhadap sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 44 tahun itu membawa kepada penemuan kira-kira 95 gram ganja, 477 gram heroin, 169 gram Ice dan tiga botol methadone.
CNB berkata, kesemua heroin, ganja dan Ice yang dirampas dalam operasi itu boleh memenuhi ketagihan sekitar 6,200 penagih dadah dalam tempoh seminggu.
Adalah menjadi satu kesalahan bagi seseorang – bagi pihaknya sendiri, atau bagi pihak orang lain, sama ada orang itu berada di Singapura atau tidak – mengedar dadah atau menawarkan untuk mengedar dadah, kata CNB.
Adalah satu kesalahan menjalankan atau menawarkan untuk melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan kepada atau untuk tujuan mengedar dadah terkawal.
Seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 250 gram Ice atau 500 gram ganja boleh dikenakan hukuman mati.
CNB berkata siasatan sedang giat dijalankan terhadap kes dan mereka yang terlibat.
“Usaha pegawai CNB dalam operasi ini telah menghalang sejumlah besar dadah daripada diedarkan ke jalanan, yang jika tidak dihentikan, akan menjejas kehidupan beribu-ribu individu,” kata Pengarah Perisikan CNB, Timbalan Penolong Pesuruhjaya Encik Aaron Tang.
“Kemudaratan dan kesengsaraan yang ditimbulkan oleh dadah kepada masyarakat sangat luas.
“Dadah bukan sahaja menjejas seseorang individu, malah memusnahkan kehidupan keluarga dan orang tersayang.
“CNB akan terus memburu pengedar dadah dan meneutralkan mereka untuk membendung kegiatan mengedar dadah.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg