Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun adalah antara 112 suspek pesalah dadah yang diberkas dalam operasi seluruh pulau yang dijalankan Biro Narkotik Pusat (CNB).
Dalam satu kenyataan pada 28 Oktober, CNB menyatakan pihaknya telah menjalankan serbuan dari 14 hingga 25 Oktober di Ang Mo Kio, Bedok, Clementi, Eunos, Jurong dan Tampines.
Menurut The Straits Times, operasi itu menyaksikan pelbagai jenis dadah dirampas, dengan anggaran nilai jalanan kira-kira $296,000.
Menurut CNB pada 14 Oktober, para pegawainya menyerbu sebuah unit kediaman di Bedok South Avenue 3, menahan dua warga Singapura – seorang wanita berusia 42 tahun dan seorang lelaki berusia 44 tahun.
Hasil serbuan itu juga, CNB menemui sekitar 1.7 kilogram ice, 69 gram heroin dan 17 gram ganja.
Dua hari kemudian, pegawai CNB menyerbu dua unit kediaman di Eunos Crescent.
Dalam serbuan pertama, mereka menahan sepasang suami isteri warga Singapura – seorang wanita berusia 37 tahun dan seorang lelaki berusia 55 tahun.
Sekitar 32 gram ice, 7 gram heroin, enam tablet Erimin-5 dan beberapa tablet ecstasy ditemui dalam serbuan itu.
Anak-anak pasangan itu, masing-masing berusia 10 tahun dan 12 tahun, berada di dalam unit ketika serbuan dijalankan.
Kanak-kanak tersebut telah itu diletakkan di bawah jagaan waris mereka.
Dalam serbuan kedua, pegawai CNB terpaksa menggunakan kekerasan untuk memasuki sebuah unit selepas penghuni – seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun – enggan membenarkan mereka masuk.
Kedua-dua warga Singapura segera ditangkap dan heroin ditemui dalam unit tersebut.
Siasatan terhadap kesemua suspek yang ditahan sedang dijalankan.
Pada 17 September, dadah bernilai kira-kira $330,000 dirampas dalam satu operasi antidadah yang turut menyaksikan lima lelaki warga Singapura ditahan kerana disyaki mengedar dadah.
Lelaki tersebut berusia antara 19 dengan 39 tahun.
Menurut biro tersebut, dadah yang dirampas itu berpotensi digunakan oleh 1,480 penagih selama seminggu.
Dalam satu operasi dari 9 hingga 13 September pula, 65 orang yang disyaki menyalah guna dadah diberkas dalam operasi antidadah yang dijalankan CNB.
Hasil operasi itu, ia telah merampas 945 gram heroin, 201 gram ice, 158 gram ganja, 20 gram pil ecstasy, 9 gram ketamin, 428 pil Erimin-5, dan lima botol cecair yang disyaki mengandungi GHB (gamma-hydroxybutyrate).
Menurut perangkaan yang dikeluarkan CNB pada 14 Februari, jumlah penagih dadah yang ditangkap pada 2023 meningkat 10 peratus kepada 3,101 – naik daripada 2,826 pada 2022.
Antara mereka yang ditahan pada 2023, 944 adalah penagih dadah baru – meningkat 18 peratus daripada 802 pada 2022.
Lebih separuh daripada penagih dadah baru yang diberkas berumur di bawah 30 tahun.
Antara mereka termasuk lima remaja berusia 14 tahun – penagih paling muda yang pernah diberkas sejauh ini.
Bilangan penagih dadah wanita juga meningkat, dengan 454 diberkas pada 2023 – meningkat daripada 408 pada 2022.
Dalam kalangan penagih baru pada 2023, 182 adalah wanita – meningkat daripada 171 pada 2022.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg