Bank darah tali pusat swasta, Cordlife, telah mula menghubungi ibu bapa yang terjejas untuk menawarkan bayaran balik.
Ibu bapa yang unit darah tali pusatnya telah rosak, menerima surat daripada Cordlife seawal 5 Februari untuk bayaran balik yuran tahunan yang dijelaskan pada 2022 dan 2023.
Bagaimanapun, sesetengah ibu bapa tidak berpuas hati dengan bayaran balik yang ditawarkan, lantas enggan menerimanya.
Sebaliknya, sekumpulan ibu bapa – yang jumlahnya kurang daripada 100 – berasa terkilan dan sedang meneruskan rancangan untuk mengambil tindakan undang-undang, lapor The Straits Times (ST).
Sebilangan unit darah tali pusat – berjumlah bawah 2,200 – dalam salah satu tangki simpanan Cordlife telah rosak dan menjadi tidak sesuai untuk pemindahan sel tunjang kerana penyimpanan yang tidak sempurna.
Dalam surat yang dilihat oleh ST, ibu bapa yang telah membayar yuran penyimpanan mereka setiap tahun telah ditawarkan bayaran balik sebanyak $537.50, termasuk yuran dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk dua tahun.
Bagi memulakan proses bayaran balik, ibu bapa perlu melengkapkan borang dalam talian, kata ketua pegawai eksekutif kumpulan Cordlife, Cik Tan Poh Lan, dalam suratnya itu.
Bayaran balik akan diproses dalam tempoh tiga hingga empat minggu selepas syarikat menerima butiran mereka, tambah Cik Tan.
Syarikat itu juga akan mengetepikan semua yuran tahunan dari 2022 sehingga tamat tempoh kontrak, katanya lagi.
Dalam surat itu, Cik Tan turut mengulangi bahawa pihaknya akan berusaha sedaya upaya untuk mencari pengganti darah tali pusat yang sesuai jika doktor pemindahan menentukan bahawa darah tali pusat yang disimpan tidak boleh digunakan untuk pemindahan darah tali pusat yang diluluskan semata-mata disebabkan sel tunjang tidak memenuhi kriteria.
“Pemulangan balik pasti tidak mencukupi. Rasanya seperti mereka mahu memberi kami lebih sedikit $500 itu dan menutup kes,” kata pendidik keperluan khas, Encik Bobby Lim, 54 tahun, yang unit darah tali pusat anak lelakinya berusia 15 tahun telah rosak.
Encik Lim berkata bahawa paling minimum yang boleh dilakukan oleh syarikat ialah membayar balik semua bayaran yang telah dijelaskan untuk unit yang rosak itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg