Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ekon S’pura tumbuh 4%; PM Wong gesa semarak semangat S’pura

S’pura dapat ‘bezakan dirinya dan kekal sebagai mercu tanda’ di tengah-tengah dunia yang bergolak, katanya dalam Amanat Tahun Baru 2025
Dec 31, 2024 | 6:00 PM
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Amanat Tahun Baru 2025, berkata pemerintah dan rakyat telah bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menempuhi cabaran yang dihadapi, berbekal semangat ‘Satu Singapura’.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam Amanat Tahun Baru 2025, berkata pemerintah dan rakyat telah bekerjasama sebagai satu pasukan dalam menempuhi cabaran yang dihadapi, berbekal semangat ‘Satu Singapura’. - Foto MDDI

Ekonomi Singapura tumbuh 4 peratus pada 2024, melebihi jangkaan, manakala pendapatan median pula meningkat sebanyak 2.2 peratus setiap tahun melebihi inflasi sepanjang dekad lalu.

Dengan ekonomi kukuh sedemikian, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menjangkakan pendapatan sebenar akan terus meningkat.

Dalam Amanat Tahun Baru 2025 yang disampaikan pada 31 Disember, Encik Wong berkata Singapura berjaya membezakan dirinya dan kekal sebagai mercu tanda keselamatan dan kestabilan di tengah-tengah dunia yang bergolak dan penuh ketidaktentuan dek ketegangan geopolitik, inflasi dan kos sara hidup yang meningkat.

Pemerintah dan rakyat Singapura bekerjasama sebagai sebuah pasukan dalam menempuhi cabaran yang dihadapi, dengan Encik Wong menekankan bahawa semangat ‘Satu Singapura’ itu mesti disemarakkan sedang negara ini melangkah ke 2025 dan tahun-tahun seterusnya.

“Singapura tidak kebal daripada peralihan suasana dan tekanan global ini. Namun, di tengah-tengah kegawatan dan keadaan yang tidak menentu, kita telah dapat membezakan diri kita,” kata beliau lagi.

“Para pelajar kita terus cemerlang dan menimba ilmu, syarikat-syarikat kita berinovasi dan berkembang, dan para pekerja kita menyesuaikan diri dan merebut peluang-peluang baru dalam landskap yang berubah-ubah.

“Kita tidak terjejas oleh pengangguran dan gaji yang tidak meningkat seperti yang dialami di kebanyakan negara maju. Kebanyakan pekerja telah menerima kenaikan gaji yang melebihi kadar inflasi, menjadikan keadaan mereka yang sebenar lebih baik,” tambah beliau.

Mengimbas kembali, Encik Wong berkata Singapura telah menghadapi pelbagai cabaran sukar sejak beberapa tahun lalu, termasuk dalam memerangi pandemik Covid-19, menangani inflasi diimport dan menguruskan ekonomi yang lemah.

Dalam pada itu, 2024 juga tidak sunyi daripada cabaran, tambah beliau.

Ada keputusan yang diambil pemerintah dalam menangani cabaran mungkin kurang tepat pada mulanya, namun Encik Wong berkata pemerintah, seperti biasa, berterus terang dengan rakyat apabila tidak dapat memenuhi jangkaan dan sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi.

Mereka juga mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku, berusaha untuk memperbaikinya, dan terus memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat Singapura.

Pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja juga berganding bahu dalam ikatan kerjasama tiga pihak dalam menyelesaikan isu-isu, dan mencari huraian yang boleh memanfaatkan semua rakyat Singapura, tambah beliau.

“Kami memberi tumpuan pada matlamat yang kita kongsi bersama, mengutamakan kebaikan bersama daripada kepentingan individu. Kerjasama ini menjadi asas daya tahan dan kekuatan kita,” kata beliau.

Sementara itu, Encik Wong berkata lebih banyak sokongan akan disediakan buat rakyat Singapura di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup dan ketidaktentuan sejagat, dengan langkah-langkah ‘Melakar Hala Tuju Singapura’ atau Forward Singapore yang seterusnya akan dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

Sokongan akan disediakan untuk pelbagai golongan, termasuk mereka yang berpendapatan rendah dan pertengahan serta warga emas, sambil menambah bahawa setiap rakyat mempunyai peranan dan tempat dalam masyarakat.

Pemerintah juga akan mempertajamkan daya saing ekonomi bagi mewujudkan peluang menarik dan pekerjaan baik untuk rakyat Singapura, tambah beliau.

“Kami akan menyediakan lebih banyak bantuan yang disasarkan kepada mereka yang lebih tercabar, terutamanya golongan warga emas dan berpendapatan rendah.

“Tetapi kami tidak akan mengabaikan golongan lain, termasuk mereka yang berpendapatan sederhana dan pertengahan usia, yang menjaga kedua-dua ibu bapa yang lanjut usia dan anak-anak kecil.

“Setiap rakyat mempunyai peranan dan tempat dalam masyarakat kita. Tiada siapa yang akan ketinggalan kerana kita akan menanganinya bersama,” kata Encik Wong.

Pelbagai langkah telah pun diambil dalam memperbaharui kompak sosial dan mengukuhkan perpaduan negara di bawah usaha Melakar Hala Tuju Singapura, kata Encik Wong.

Antaranya, pemerintah telah mengemaskini dasar perumahan supaya flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) lebih berada dalam kemampuan rakyat dan membuat pelaburan besar dalam gerakan SkillsFuture demi membantu setiap rakyat Singapura, termasuk pekerja matang, membangunkan potensi penuh mereka.

Sedang Singapura meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-60 pada 2025, Encik Wong berkata ia juga masanya bagi rakyat merenung kembali “nilai-nilai yang kita kongsi bersama, siapa diri kita, dan apa yang kita perjuangkan”, di samping membayangkan cara membentuk masa hadapan bersama.

“Bersama-sama, kita mengubah sesuatu yang mustahil menjadi realiti. Kita mengekalkan keajaiban ini melalui kepercayaan terhadap warga negara kita dan matlamat yang kita kongsi bersama.

“Setiap generasi telah memainkan peranan mereka, berusaha untuk mencapai kecemerlangan, dan menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini. Kini tiba giliran kita untuk merintis langkah ke hadapan dengan berani,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg