Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, akan menyampaikan kenyataan Belanjawan 2025 di Parlimen pada 18 Februari.
Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Disember.
Ucapan Encik Wong akan disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio, dan pautan siaran web langsung di laman web belanjawan di www.mof.gov.sg/singaporebudget.
Pengumuman utama daripada kenyataan Belanjawan itu akan dimuat naik ke wadah media sosial MOF.
Pembaca juga boleh mendapatkan kemas kini secara langsung di laman web Berita Harian (BH).
Kenyataan Belanjawan lengkap akan dimuat naik ke laman web Belanjawan Singapura selepas ia disampaikan, kata MOF.
Kos sara hidup dan jaminan pekerjaan adalah antara kebimbangan yang mungkin ditangani dalam Belanjawan pertama Encik Wong sebagai perdana menteri itu.
Pada satu sidang media pada 8 November, Encik Wong berkata persiapan bagi Belanjawan 2025 telah dimulakan dan beliau menggariskan empat tema umum dalam sesi perundingan bersama orang ramai.
Ia merangkumi strategi ekonomi untuk sempadan seterusnya; peluang meningkatkan kemahiran dan pekerjaan untuk pekerja; sokongan bagi rakyat Singapura merentasi peringkat kehidupan berbeza; dan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat Singapura sambil negara ini menyambut kemerdekaan ke-60, atau SG60.
Perundingan awam oleh MOF dan pelbagai agensi, seperti unit maklum balas pemerintah, Reach, dan Persatuan Rakyat (PA), sedang berjalan dan akan berlangsung hingga 12 Januari 2025.
Ini termasuk perundingan dalam talian dan fizikal di kawasan perumahan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan daripada warga Singapura.
Orang ramai boleh mengemukakan pandangan mereka tentang Belanjawan itu melalui pelbagai saluran maklum balas di:
Laman web Belanjawan Singapura: www.singaporebudget.gov.sg
Laman mikro Reach Belanjawan 2025: go.gov.sg/budget2025
Laman Facebook Reach: www.facebook.com/REACHSingapore
Laman Instagram Reach: www.instagram.com/reachsg
Laman web PA Ask Kopi Kakis #shareyourviews: go.gov.sg/akksyvb25
Mereka yang berminat untuk berkongsi pandangan mereka secara peribadi boleh turut berbuat demikian semasa sesi perundingan awam di One Raffles Place pada 16 Januari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg