Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Bersama ubah sesuatu yang mustahil jadi realiti

Ulang tahun ke-60 kemerdekaan negara masa renung kembali nilai yang dikongsi; bayangkan bentuk masa depan bersama
Jan 1, 2025 | 5:30 AM
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, memberi ucapan sempena Tahun Baru 2025.
Perdana Menteri Singapura, Encik Lawrence Wong, memberi ucapan sempena Tahun Baru 2025. - Foto MDDI

2024 merupakan satu lagi tahun yang mencabar dan bergelora.

Ketegangan geopolitik terus meningkat. Perang di Ukraine terus berlarutan, sementara Timur Tengah menghadapi keganasan yang semakin meningkat dan krisis kemanusiaan yang semakin buruk.

Konflik-konflik ini, diburukkan lagi oleh keadaan cuaca dan bencana alam yang melampau, telah memporak-perandakan kehidupan dan mata pencarian penduduk di banyak negara.

Walaupun kadar inflasi sejagat telah kembali ke paras sederhana, harga barangan masih belum turun, apatah lagi kembali ke paras sebelum pandemik.

Tekanan kos sara hidup terus membebani keluarga dan penduduk di banyak negara.

Cabaran yang dihadapi Singapura

Orang ramai berasa sangat bimbang tentang masa hadapan. Kegelisahan semakin meningkat. Akibatnya, sistem politik menjadi goyah, kepercayaan terhadap institusi pemerintah terhakis, dan masyarakat semakin berpecah belah.

Singapura tidak kebal daripada peralihan suasana dan tekanan sejagat ini.

Namun, di tengah-tengah kegawatan dan keadaan yang tidak menentu, kita telah dapat membezakan diri kita.

Kita kekal menjadi mercu tanda keselamatan dan kestabilan dalam dunia yang bergolak.

Para pelajar kita terus cemerlang dan menimba ilmu, syarikat-syarikat kita berinovasi dan berkembang, dan para pekerja kita menyesuaikan diri dan merebut peluang-peluang baru dalam landskap yang berubah-ubah.

Para pelajar terus cemerlang dengan pelbagai cara menimba ilmu seperti lawatan ke tempat-tempat menarik.
Para pelajar terus cemerlang dengan pelbagai cara menimba ilmu seperti lawatan ke tempat-tempat menarik. - Foto fail

Kita tidak terjejas oleh pengangguran dan gaji yang tidak meningkat seperti yang dialami di kebanyakan negara maju.

Kebanyakan pekerja telah menerima kenaikan gaji yang melebihi kadar inflasi, menjadikan keadaan mereka yang sebenar lebih baik.

Sepanjang dekad lalu, pendapatan median telah meningkat 2.2 peratus setahun, melebihi inflasi.

Tahun ini (2024), ekonomi kita berkembang melebihi jangkaan sebanyak 4 peratus. Dengan ekonomi yang kukuh, saya menjangkakan pendapatan sebenar akan terus meningkat.

Ambil Iktibar, Berusaha Perbaiki Keadaan

Tahun 2024 juga tidak sunyi daripada pelbagai cabaran. Ada keputusan yang diambil pemerintah kurang tepat pada mulanya.

Namun, seperti biasa, kami berterus terang dengan rakyat Singapura apabila kami tidak dapat memenuhi jangkaan dan sepatutnya melakukannya dengan lebih baik lagi.

Kami mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku, berusaha untuk membaikinya, dan terus memberikan khidmat terbaik kepada semua rakyat Singapura.

Itulah caranya kita berjaya mengatasi halangan secara tekal dengan adanya perpaduan.

Kerjasama tiga pihak kita terletak pada teras perpaduan ini. Pemerintah, majikan dan kesatuan sekerja berganding bahu untuk menyelesaikan isu-isu, dan mencari huraian yang boleh memanfaatkan semua rakyat Singapura.

Kami memberi tumpuan pada matlamat yang kita kongsi bersama, mengutamakan kebaikan bersama daripada kepentingan individu. Kerjasama ini menjadi asas daya tahan dan kekuatan kita.

Kebangkitan Sektor Penerbangan

Ambil contoh sektor penerbangan.

Semasa pandemik, perjalanan udara terjejas teruk, menyebabkan banyak pekerjaan terancam. Pemerintah menyediakan bantuan kewangan untuk meneruskan perkhidmatan penting dan mempertingkatkan kemudahan-kemudahan yang ada.

Syarikat seperti Changi Airport Group, SIA Group, Sats dan rakan kongsi industri, menggunakan waktu gendala ini untuk membantu para pekerja mereka meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru.

Kesatuan-kesatuan sekerja menyokong langkah-langkah ini, dan para pekerja menunjukkan ketabahan yang luar biasa dalam menyesuaikan diri dengan perubahan ini.

Kini, Lapangan Terbang Changi berkembang maju, dengan rentak pertumbuhan menggerakkan pemulihannya.

Jumlah penumpang hampir kembali ke tahap sebelum pandemik, dan dijangka meningkat lebih tinggi pada tahun hadapan (2025).

Jumlah tenaga kerja sektor penerbangan kita kini melebihi bilangan pekerja sebelum Covid-19.

Hab Udara kita lebih kukuh daripada sebelumnya, dan dalam masa beberapa bulan akan datang, kami akan memulakan kerja pembinaan Terminal 5 yang baharu.  

Tangani Kos Sara Hidup

Begitu juga, kita sama-sama menangani tekanan kos sara hidup.

Pemerintah melaksanakan langkah-langkah menyeluruh untuk mengurangkan kesan inflasi, termasuk menyediakan bantuan wang tunai, baucar CDC dan rebat perbekalan.

Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (kiri) dan Cik Mariam membantu penerima semasa pengagihan barangan runcit pada Ramadan 2024.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam (kiri) dan Cik Mariam membantu penerima semasa pengagihan barangan runcit pada Ramadan 2024. - Foto fail

Banyak syarikat turut sama membantu, menyokong golongan yang mudah terjejas melalui pelbagai cara.

Semangat berpasukan kita terpancar semasa Sukan Olimpik dan Paralimpik Musim Panas 2024.

Kita bersorak kegembiraan apabila Max Maeder (atlet luncur lelayang) muncul sebagai warga Singapura termuda memenangi pingat Olimpik, dan Yip Pin Xiu (perenang Paralimpik) merangkul pingat emasnya yang ketujuh.

Pencapaian mereka, dan pencapaian rakan-rakan atlet dan para-atlet mereka bukanlah semata-mata atas usaha mereka sendiri.

Pencapaian mereka adalah hasil kerja keras seluruh barisan jurulatih, saintis dan pentadbir sukan, serta sokongan keluarga mereka yang tidak berbelah bahagi.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu barisan atlet yang bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Bangunan Parlimen.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong (kiri), bertemu barisan atlet yang bertanding di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Bangunan Parlimen. - Foto ST

Memperkukuh Perpaduan

Kita perlu terus menyemarakkan semangat Satu Singapura ini pada 2025 dan pada tahun-tahun seterusnya.

Itulah sebabnya kami memulakan usaha Melakar Hala Tuju Singapura – bagi memperbaharui kontrak sosial kita, dan mengukuhkan perpaduan kita, agar kita dapat mengharungi ketidaktentuan dengan yakin sebagai satu rakyat yang bersatu padu.

Melalui Melakar Hala Tuju Singapura, kita akan menyemak dasar-dasar kita, menyelaraskan semula sikap dan pemikiran, serta memperbaharui takrif Impian Singapura.

Kita akan membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan lebih terangkum, yang menjamin setiap warga berpeluang untuk berjaya, tanpa mengira titik permulaan mereka dalam kehidupan.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada majlis bertemu Masyarakat Melayu/Islam.
Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada majlis bertemu Masyarakat Melayu/Islam. - Foto fail

Kami telah mengambil langkah-langkah penting ke arah matlamat ini.

Dasar-dasar perumahan telah dikemas kini bagi menjadikan flat HDB lebih berada dalam kemampuan rakyat.

Pakej Majulah telah mempertingkatkan cukup tidaknya perbelanjaan semasa persaraan, terutama bagi mereka yang berusia 50-an dan awal 60-an.

Program-program baru seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG menyediakan sokongan yang lebih baik kepada warga emas.

Kami sedang memperbaharui pendekatan kami terhadap pendidikan, dan banyak melabur dalam SkillsFuture, bagi membantu setiap rakyat Singapura, termasuk pekerja matang, membangunkan potensi mereka sepenuhnya.

Sokongan diberikan kepada warga emas melalui program-program baharu seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG.
Sokongan diberikan kepada warga emas melalui program-program baharu seperti SG Lebih Sihat dan Sihat Menua SG. - Foto Fail BH

Ini hanyalah permulaan. Kami akan melakukan lebih banyak lagi.

Saya akan menggariskan langkah-langkah Melakar Hala Tuju Singapura seterusnya dalam Belanjawan 2025.

Kita akan mempertajam daya saing ekonomi kita bagi mewujudkan peluang-peluang yang menarik dan pekerjaan-pekerjaan yang baik untuk rakyat Singapura.

Kami akan terus mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup. Kami akan menyediakan lebih banyak bantuan yang disasarkan kepada mereka yang lebih tercabar, terutama golongan warga emas dan berpendapatan rendah.

Tetapi kami tidak akan mengabaikan kumpulan-kumpulan lain, termasuk mereka yang berpendapatan sederhana dan pertengahan usia, mereka yang menjaga kedua-dua ibu bapa yang lanjut usia dan anak-anak kecil.

Setiap rakyat mempunyai peranan dan tempat dalam masyarakat kita. Tiada sesiapa yang akan ketinggalan, kerana kita akan menanganinya bersama.

Ulang tahun ke-60 Singapura

Tahun 2025 menandakan genap 60 tahun kemerdekaan Singapura.

Walaupun wajar untuk kita meraikannya, peristiwa bersejarah ini sebenarnya merupakan masa untuk kita merenung kembali – mengenai nilai-nilai yang kita kongsi bersama, siapa diri kita, dan apakah yang kita perjuangkan.

Yang penting, ia merupakan peluang untuk membayangkan bagaimana kita boleh membentuk masa hadapan kita bersama.

Berkat komitmen guru-guru dan sokongan ibu bapa, mereka menyesuaikan diri dengan langkah-langkah yang dilaksanakan semasa Covid-19, menghadapinya dengan tenang, dan terus berkembang maju.

Rakyat Singapura bersatu demi masa depan lebih cerah.
Rakyat Singapura bersatu demi masa depan lebih cerah. - Foto fail

Bersama-sama, kita mengubah sesuatu yang mustahil menjadi realiti.

Kita mengekalkan keajaiban ini melalui kepercayaan terhadap warga senegara kita dan matlamat yang kita kongsi bersama.

Setiap generasi memainkan peranan mereka, berusaha untuk mencapai kecemerlangan, dan menjadikan hari esok lebih baik dari hari ini.

Kini tiba giliran kita untuk merintis langkah ke hadapan dengan berani.

Saya ucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg