Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

FairPrice gandakan diskaun bagi golongan pendapatan rendah selama dua bulan

Pemegang kad biru dan jingga Chas akan dapat diskaun 3% setiap Khamis, 6% setiap Jumaat
Dec 30, 2024 | 2:38 PM
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan  NTUC, Encik Ng Chee Meng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata perniagaan perusahaan NTUC, seperti FairPrice Group, akan terus mengukuhkan perjanjian sosial dengan masyarakat  dan membina masyarakat Singapura yang terangkum dan prihatin.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan NTUC, Encik Ng Chee Meng (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FairPrice Group, Encik Vipul Chawla, berkata perniagaan perusahaan NTUC, seperti FairPrice Group, akan terus mengukuhkan perjanjian sosial dengan masyarakat dan membina masyarakat Singapura yang terangkum dan prihatin. - Foto FAIRPRICE GROUP

FairPrice Group (FPG) akan memulakan sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) pada 2025 dengan memberi lebih banyak diskaun kepada pemegang kad biru dan jingga Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) pada 60 hari pertama 2025.

Dari 1 Januari hingga 1 Mac 2025, pemegang kad biru dan jingga Chas akan mendapatkan diskaun 3 peratus setiap Khamis.

Pada setiap Jumaat pula, diskaun itu digandakan kepada 6 peratus.

Isi rumah dengan pendapatan bulanan antara $1,501 dengan $2,300 seorang, layak memohon kad jingga Chas, manakala isi rumah dengan pendapatan bulanan $1,500 dan ke bawah seorang, boleh memohon kad biru Chas.

Diskaun itu dibiayai Yayasan FairPrice dan sah hingga $200 setiap transaksi dalam sehari.

Sebelum ini pada Disember, FPG mengumumkan pembaruan skim diskaun hariannya bagi Generasi Perintis, Generasi Merdeka, dan pemegang kad biru dan jingga Chas hingga akhir 2025.

Untuk mendapatkan manfaat skim diskaun itu, pelanggan yang layak perlu menunjukkan kad keahlian dalam bentuk digital (melalui aplikasi Singpass) atau fizikal di kaunter pembayaran atau membuat pilihan relevan di mesin pembayaran layan diri.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FPG, Encik Vipul Chawla, berkata pelancaran daya usaha bagi diskaun 6 peratus untuk pemegang kad biru dan jingga Chas hanyalah permulaan sambutan sepanjang tahun yang dirancang SG60.

Diskaun lebih tinggi itu sebahagian daripada cara FPG menunjukkan penghargaan bagi sokongan rakyat Singapura terhadap kempen derma makanan, ‘A Full Plate’, dari Oktober hingga November 2024, tambahnya.

Kempen itu mengumpul lebih $1.6 juta untuk 600,000 penerima bantuan daripada 10 rakan kongsi amal, seperti The Food Bank Singapore, Food from the Heart dan Jamiyah Singapura, untuk membekalkan mereka dengan barangan runcit dan makanan berkhasiat.

Kejayaan kempen itu adalah bukti sifat belas ihsan rakyat Singapura terhadap jiran mereka yang memerlukan, walaupun di tengah-tengah inflasi dan keadaan ekonomi yang mencabar, ujar Encik Chawla.

“Dengan perbelanjaan makanan dan barangan runcit membentuk lebih 20 peratus daripada belanjawan bulanan purata isi rumah Singapura, FPG percaya lebih banyak boleh dilakukan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah yang mungkin membelanjakan peratusan lebih tinggi,” katanya.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata sedang Singapura menyambut SG60, NTUC kekal komited kepada misi sosialnya dalam menjaga pekerja dan memastikan tiada pekerja tertinggal.

“Skim diskaun Kumpulan FairPrice dipertingkat untuk pemegang kad Chas menunjukkan usaha berterusan kami dalam menjaga dan membantu rakyat Singapura menghadapi peningkatan kos sara hidup.

“Bersama perniagaan perusahaan kami, seperti FairPrice Group, kami akan terus mengukuhkan perjanjian sosial kami dan membina masyarakat Singapura yang terangkum dan prihatin,” katanya.

Pada 2024, FPG turut memperkenalkan daya usaha lain bagi membantu rakyat Singapura dalam menangani perbelanjaan runcit.

Ia termasuk pembekuan harga bagi beberapa barangan menjelang Tahun Baru Cina; tawaran bernilai $4.5 juta untuk anggota NTUC Union dan Link pada Hari Pekerja; dan baucar bernilai $2,000 untuk produk keperluan terpilih pada harga diskaun dari Jun hingga September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg