Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Grace Fu: Usaha bersih bongkah batu di Sentosa tunjuk kemajuan

Jul 1, 2024 | 2:03 PM
Para pekerja pembersihan menyembur permukaan benteng batu yang diselaputi minyak di Sentosa.
Para pekerja pembersihan menyembur permukaan benteng batu yang diselaputi minyak di Sentosa. - Foto FACEBOOK GRACE FU

Kerja-kerja membersihkan limpahan minyak kini ditumpukan kepada bongkah-bongkah batu di pantai di Sentosa, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, lapor The Straits Times.

“Di Pantai Tanjong, yang merupakan pantai paling terjejas daripada tiga pantai popular di Sentosa, tumpuan diberikan kepada penyingkiran mendapan minyak dan pasir yang diselaputi minyak,” katanya dalam catatan Facebook pada 30 Jun, selepas melakukan lawatan ke pulau itu untuk memerhati kerja-kerja pembersihan bersama Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Alvin Tan.

“Fasa pembersihan bongkah-bongkah batu seterusnya adalah lebih rumit daripada fasa awal operasi pembersihan kami. Tidak seperti pantai, ia melibatkan permukaan yang licin dan tidak rata.

“Membersihkan bahagian-bahagian yang berbeza daripada kumpulan batu juga perlu bertepatan dengan pasang surut air laut,” tambahnya.

“Apabila saya melawat, para pekerja pembersihan sedang melupuskan minyak daripada permukaan bongkah-bongkah batu dengan semburan tekanan rendah dan menghilangkan kotoran yang melekat pada batu dengan semburan jet tekanan tinggi.”

Cik Fu juga berkata kemajuan telah dicapai dalam pembersihan limpahan minyak di Sentosa sejak kali terakhir beliau melawat pulau peranginan itu seminggu yang lalu.

Dalam sidang akhbar pada 24 Jun, beliau berkata pihak berkuasa sedang bergerak ke fasa pembersihan seterusnya, yang memerlukan pembersihan saki-baki minyak di tempat yang tidak mudah diakses.

Fasa ini dijangka mengambil masa sekitar tiga bulan.

Dalam kejadian pada 14 Jun, bot pengorek berbendera Belanda, Vox Maxima, melanggar kapal tangki, Marine Honor, di Terminal Pasir Panjang selepas mengalami kehilangan kawalan enjin dan stereng secara tiba-tiba.

Ini menyebabkan minyak daripada salah satu tangki Marine Honor bocor ke laut dan mengakibatkan masalah limpahan minyak di pantai seperti Sentosa, Taman East Coast dan Keppel Bay.

Disebabkan kejadian itu, kawasan besar pantai Taman East Coast yang dicemari limpahan minyak, telah dikepung dan orang ramai dilarang berenang di pantai Tanjong, Siloso dan Palawan di Sentosa.

Malah, masalah itu turut menjejas perniagaan di kawasan berjiran dengannya.

Namun, Cik Fu berkata para peniaga “positif” tentang kemajuan kerja-kerja pembersihan dan “perniagaan telah meningkat sedikit”.

“Kami melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan operasi pembersihan secepat yang kami boleh dan dengan cara yang selamat,” ujar beliau.

Cik Fu sebelum ini meminta pemahaman orang ramai dan perniagaan yang terjejas akibat insiden limpahan minyak itu, sambil menambah bahawa pihak berkuasa memerlukan masa untuk memastikan sekitaran selamat bagi semua.

“Kami sedar bahawa perniagaan yang menjalankan aktiviti berasaskan laut di kawasan berkenaan telah terjejas secara langsung. Memandangkan keadaan semakin berkembang, agensi memantau dengan teliti kesan ke atas perniagaan yang terjejas,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg