Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Relawan diseru bantu bersih pantai agar lebih cepat, selamat dibuka semula

Jun 24, 2024 | 7:37 PM
Pelampung pembendung minyak diletakkan di muara Keppel Marina untuk memudahkan usaha pembersihan minyak terkumpul.
Pelampung pembendung minyak diletakkan di muara Keppel Marina untuk memudahkan usaha pembersihan minyak terkumpul. - Foto MPA

Apabila bersedia bagi fasa operasi pembersihan seterusnya, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berharap lebih ramai warga Singapura dapat menyumbang tenaga sebagai sukarelawan supaya pantai di sini dapat dikembalikan kepada orang ramai secepat mungkin dalam keadaan bersih dan selamat.

Semasa satu sidang media pada 24 Jun, Cik Fu berkata fasa pertama pembersihan tumpahan minyak yang berlaku pada 14 Jun itu memberi tumpuan pada menghapuskan tompokan minyak dan pasir yang tercemar dari permukaan pantai yang terjejas dan menggunakan pelampung pembendung minyak untuk mengelakkan pencemaran selanjutnya.

Fasa kedua pula akan menumpukan perhatian terhadap kawasan yang lebih sukar dibersihkan, seperti di celah-celah batu dan minyak yang terperangkap dalam pasir yang lebih mendalam. Fasa ini lebih rumit, tambahnya.

“Fasa baru ini akan melibatkan kakitangan terlatih menggunakan peralatan yang lebih khusus. Di sesetengah kawasan, di mana terdapat biodiversiti sensitif, kami juga akan mengambil langkah berjaga-jaga semasa pembersihan dan melaraskan kaedah pembersihan jika perlu,” kata beliau.

Setakat ini, sukarelawan belum lagi terlibat secara langsung dalam pembersihan tumpahan minyak itu “disebabkan kerumitan tugas dan demi keselamatan diri mereka”.

“Kami telah menyelesaikan sebahagian besar fasa awal pembersihan dan sedang memulakan pembersihan lebih khusus. Setelah ini selesai, kami akan memasuki fasa terakhir pembersihan di mana kami membersihkan pantai dan membuang bebola tar – gumpalan kecil minyak terkumpul – di dalam pasir.

“Ini mungkin akan dilakukan dengan pencakar dan ayak, bukannya penyodok, untuk mengelakkan terlalu banyak pasir tidak tercemar dibuang. Kami merancang melibatkan sukarelawan yang bekerja bersama kakitangan pembersihan supaya kami dapat melegakan pekerja dan mempercepatkan pembukaan semula pantai kami.

“Kami akan memastikan ini dapat dijalankan dengan selamat dan sukarelawan dilengkapi dengan alat yang betul,” jelas Cik Fu.

Sejauh ini, lebih 1,500 individu tampil menyatakan minat membantu usaha pengurusan tumpahan minyak itu.

Lebih 2,000 orang awam juga telah menyatakan minat mendapatkan kemas kini tentang usaha terkini serta peluang sukarelawan yang mungkin timbul.

Dalam pada itu, Cik Fu meminta pemahaman orang ramai dan perniagaan yang terjejas akibat insiden tumpahan minyak itu, sambil menambah pihak berkuasa memerlukan masa untuk memastikan sekitaran selamat bagi semua.

“Kami sedar bahawa perniagaan yang menjalankan aktiviti berasaskan laut di kawasan yang terjejas telah terjejas secara langsung. Memandangkan keadaan semakin berkembang, agensi memantau dengan teliti kesan ke atas perniagaan yang terjejas,” katanya.

Beliau menjelaskan secara amnya dua jenis perniagaan terjejas akibat insiden tersebut – pertama, mereka yang terjejas secara langsung kerana menjalankan aktiviti di laut, dan kedua, mereka yang terjejas disebabkan tanggapan umum terhadap keselamatan dan bau akibat tumpahan minyak itu.

Bagi perniagaan jenis pertama, jelas mereka tidak akan dapat mengendalikan aktiviti mereka sehingga operasi pembersihan selesai. Bagi perniagaan jenis kedua, misalnya restoran berdekatan pantai, pada hari-hari awal insiden itu perniagaan mereka terjejas disebabkan bau daripada tumpahan minyak.

“Namun, sedang operasi pembersihan dijalankan, kami dapat lihat keyakinan orang ramai kembali,” katanya.

Sementara itu, kenyataan bersama silang agensi yang dikeluarkan pada 24 Jun mengatakan bahawa British Marine, syarikat insurans kapal bunker ‘Marine Honour’ yang terlibat dalam insiden tersebut telah menyediakan hubungan tuntutan pihak ketiga untuk menangani pihak terjejas. Untuk pertanyaan berkaitan tuntutan, hubungi marinehonour@helmsmanlaw.com.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg