Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Haul Habib Noh diadakan di Masjid Sultan buat kali kedua

Oct 20, 2023 | 5:30 AM
TAMPUNG RAMAI ANGGOTA JEMAAH: Pada 2022, Majlis Haul Habib Noh 2022 yang diadakan di Masjid Sultan berjaya menarik seramai 7,000 hingga 8,000 orang termasuklah jemaah yang duduk di dalam dan luar masjid.
TAMPUNG RAMAI ANGGOTA JEMAAH: Pada 2022, Majlis Haul Habib Noh 2022 yang diadakan di Masjid Sultan berjaya menarik seramai 7,000 hingga 8,000 orang termasuklah jemaah yang duduk di dalam dan luar masjid. - Foto MASJID HAJI MUHAMMAD SALLEH

Penekanan aspek keselamatan dan keselesaan menjadi faktor terbesar pihak pengurusan Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh dalam memutuskan untuk mengadakan Majlis Haul Habib Noh buat kali kedua di Masjid Sultan.

Sebelum ini, Majlis Haul Habib Noh merupakan acara tahunan yang diadakan di Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh sempena memperingati kewafatan Habib Noh Bin Muhammad Al-Habshi.

Namun, keputusan memindahkan tempat berlangsungnya majlis adalah kerana kawasan Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh terlalu kecil untuk menampung jumlah jemaah yang ramai.

Majlis Haul atau majlis kenduri dengan bacaan doa bagi memperingati mereka yang sudah tiada.

BILANGAN JEMAAH MAKIN BERTAMBAH

Pengerusi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid Mohamad, menerangkan:

“Pada era 1980-an atau 1990-an, Majlis Haul Habib Noh diadakan dalam skala kecil sahaja. Tetapi saban tahun, bilangan jemaah dari dalam dan luar Singapura menyaksikan peningkatan yang ketara.

“Kali terakhir Majlis Haul diadakan di kawasan Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh adalah pada 2019 (sebelum Covid-19) dan ia dibanjiri oleh kira-kira 10,000 jemaah dari Singapura, Indonesia, Malaysia serta pelbagai negara lagi.

“Kehadiran jemaah yang begitu ramai menyebabkan pihak masjid terpaksa menggunakan kawasan luar masjid (bawah jambatan) untuk menampung bilangan jemaah yang ‘melimpah’.”

PERLU RUANG LEBIH BESAR

Selepas pandemik, Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh diberi kelonggaran untuk menganjurkan kembali Majlis Haul.

Namun, kawasan di bawah jambatan berdekatan masjid yang biasa digunakan untuk Majlis Haul itu sudah tidak boleh digunakan lagi disebabkan faktor-faktor tertentu.

Justeru, pihak masjid perlu membuat pertukaran tempat bagi menampung kehadiran jemaah yang ramai.

“Selepas mengadakan perbincangan, pihak pengurusan masjid bersepakat untuk memilih Masjid Sultan sebagai tempat paling sesuai kerana ia dapat memuatkan 5,000 orang pada satu-satu masa.

“Pada tahun lepas, Majlis Haul Habib Noh 2022 yang diadakan di Masjid Sultan berjaya menarik kehadiran seramai 7,000 hingga 8,000 orang sehingga berduyun-duyun jemaah berada di kawasan luar masjid.

“Bayangkan tahap keselamatan dan keselesaan jemaah, jika jumlah ini hadir di kawasan Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, yang hanya mampu menampung kira-kira 800 orang sahaja,” ujar Encik Khalid.

UTAMAKAN KESELAMATAN DAN KESELESAAN JEMAAH

Menurut Encik Khalid lagi, banyak aspek yang yang perlu dititikberatkan oleh pihak pengurusan masjid dalam memastikan kelancaran Majlis Haul Habib Noh.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan mengenai isu perubahan tempat yang perlu dilakukan, seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Soal perbelanjaan atau kos, ia nombor dua. Apa yang paling penting, keselamatan dan keselesaan jemaah perlu diutamakan.

“Oleh demikian, kami memilih Masjid Sultan sebagai tempat yang lebih sesuai supaya lebih ramai berpeluang menyaksikan acara ini secara langsung,” jelasnya.

Semua jemaah dijemput hadir bersama-sama meraikan majlis yang akan diadakan di dewan solat Masjid Sultan pada 11 November 2023 ini.

Bacaan Qasidah serta Majlis Tahlil dan Maulid akan diadakan sempena mengingati pemergian Almarhum Habib Noh yang ke-162 tahun.

TERUSKAN USAHA MENYUMBANG

Bercakap tentang projek naik taraf dan peningkatan Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid memberitahu, perbincangan projek ini dengan pihak-pihak yang terlibat sudah berada pada fasa terakhir.

Kerja membaik pulih prasarana Makam Habib Noh dijangka bermula pada suku pertama 2024, sekiranya mendapat kelulusan semua pihak.

Demi keselamatan jemaah, Makam Habib Noh akan ditutup sepanjang kerja-kerja dijalankan. Tetapi, operasi Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh masih lagi dibuka untuk jemaah beribadah dan menghadiri kuliah sedia ada.

Sebagai wakil Masjid Haji Muhammad Salleh@Makam Habib Noh, Encik Khalid mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua anggota jemaah Muslim dan masyarakat bukan Islam yang tidak putus-putus memberi sokongan.

“Teruskan usaha infak ini untuk membantu masjid kami dan masjid-masjid di sekitar Singapura yang memerlukan. Semoga kebaikan tersebut dapat dijadikan saham di akhirat kelak, insya-Allah,” tambahnya.

SUMBANGAN BOLEH DILAKUKAN DENGAN:

1. Imbas kod QR yang disediakan atau PayNow ke S03MQ0039G.

2. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 59100798-400 di bawah nama akaun LPM HAJI MUHAMMAD SALLEH. Sila nyatakan di ruang ‘rujukan’ sama ada untuk derma masjid atau dana makam.

3. Layari laman web, www.hjmuhdsalleh.org.sg atau hubungi talian 6220-9257 untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg