Inflasi teras Singapura didapati tidak berubah pada April apabila peningkatan lebih beransur-ansur dicatatkan dalam sektor perkhidmatan dengan harga makanan dilihat mengimbangi inflasi yang lebih tinggi bagi elektrik dan gas, serta runcit dan barangan lain.
Inflasi teras – yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan swasta untuk mewakili perbelanjaan isi rumah Singapura dengan lebih baik – mencapai 3.1 peratus pada April, tidak berubah dari Mac, kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 23 Mei.
Inflasi keseluruhan juga kekal sama, pada 2.7 peratus. Ia telah menurun kepada angka itu pada Mac, berbanding 3.4 peratus pada Februari, menandakan paras terendah sejak September 2021, lapor The Straits Times.
Pada April, peningkatan dalam kos pengangkutan swasta diimbangi oleh inflasi penginapan yang lebih rendah, walaupun inflasi teras kekal tidak berubah.
Bulan ke bulan, inflasi keseluruhan meningkat 0.1 peratus, manakala inflasi teras meningkat 0.4 peratus.
Inflasi runcit dan barangan lain meningkat kepada 1.6 peratus, berbanding 0.7 peratus pada Mac, disebabkan kenaikan harga air, kenaikan harga barangan peribadi dan penurunan yang lebih kecil dalam harga pakaian dan alas kaki.
Agensi air nasional PUB berkata pada September 2023 bahawa pengguna akan dikenakan kos tambahan 50 sen bagi setiap meter padu, bermula dengan kenaikan 20 sen pada April 2024 dan kenaikan 30 sen pada April 2025.
Ini bermakna kebanyakan isi rumah akan membelanjakan tambahan $4 hingga $9, tidak termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST), untuk bil air bulanan mereka menjelang 2025.
Kos pengangkutan swasta juga meningkat pada April apabila harga kereta jatuh pada kadar yang lebih perlahan, dan harga petrol meningkat dengan lebih mendadak.
Inflasi elektrik dan gas juga meningkat, naik 7.6 peratus pada April, berbanding 4.8 peratus pada Mac, disebabkan kenaikan tarif yang lebih tinggi.
“Walaupun tarif elektrik dan gas bagi tempoh April hingga Jun adalah lebih rendah berbanding bagi tempoh Januari hingga Mac, ia lebih tinggi pada April 2024 disebabkan asas rendah pada April 2023,” kata MAS dan MTI.
Sementara itu, inflasi makanan berkurangan apabila harga makanan tidak dimasak dan perkhidmatan makanan meningkat pada kadar yang lebih perlahan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg