Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jalan bakal ditutup sempena pertunjukan Pendidikan Nasional NDP

Jun 26, 2024 | 5:41 PM
Hanya kenderaan yang mendapat kebenaran akan diizinkan masuk ke jalan tertutup semasa Pertunjukan Pendidikan Nasional sempena Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang.
Hanya kenderaan yang mendapat kebenaran akan diizinkan masuk ke jalan tertutup semasa Pertunjukan Pendidikan Nasional sempena Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang. - Foto fail

Berpuluh-puluh jalan dan lorong akan ditutup kepada kenderaan pada tiga Sabtu – 29 Jun, 6 Julai dan 13 Julai – bagi memberi laluan kepada Pertunjukan Pendidikan Nasional sempena Perbarisan Hari Kebangsaan di Padang.

Menurut The Straits Times, hanya kenderaan yang mendapat kebenaran, serta kenderaan polis dan kecemasan, akan dibenarkan masuk semasa penutupan, kata polis pada 26 Jun.

Pegawai polis, pegawai polis bantuan, pegawai keselamatan dan marshal Angkatan Bersenjata Singapura akan ditempatkan di persimpangan yang terjejas untuk membantu dan mengarahkan pemandu.

Kelewatan trafik dijangka berlaku di Bayfront Avenue, Beach Road, Bras Basah Road, Collyer Quay, Guillemard Road, Hill Street, Marina Boulevard, Mountbatten Road, North Bridge Road, Ophir Road, Raffles Avenue, Raffles Boulevard, Raffles Link, Republic Boulevard, Rochor Road, Sheares Link, Temasek Avenue, Temasek Boulevard dan Victoria Street.

Pemandu kenderaan dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan mengelakkan jalan-jalan berkenaan. Orang awam yang berkunjung ke kawasan yang terjejas amat digalakkan menggunakan pengangkutan awam.

Pemandu yang menuju ke Suntec City dan Marina Square dari Bayfront Avenue, Bras Basah Road, Esplanade Drive, Nicoll Highway, Raffles Avenue atau Raffles Boulevard perlu menggunakan laluan alternatif melalui Rochor Road menuju ke Temasek Boulevard.

Polis berkata sekatan meletak kenderaan di jalan-jalan yang terjejas akibat penutupan itu akan dikuat kuasa dengan ketat, dan kenderaan yang didapati meletak kenderaan secara haram atau menyebabkan halangan akan ditunda.

Orang ramai boleh menghubungi penganjur di talian 1800-637-2024 untuk pertanyaan lanjut.

Sejumlah perkhidmatan bas SBS Transit yang melalui kawasan bandar juga akan terjejas pada 29 Jun, 6 Julai dan 13 Julai. Menyusulinya, mereka akan melalui laluan alternatif dan melangkau perhentian bas di sepanjang Nicoll Highway, Marina Bay dan sekitar Daerah Sivik.

Perkhidmatan SBS Transit yang terjejas ialah 10, 14, 16/16M, 32, 51, 56, 57, 63, 70/70M, 80, 100, 107/107M, 111, 124, 130, 131, 133, 6 174, 195, 196, 197, 502, 851 dan 851e.

Perkhidmatan bas SMRT 61, 960, 960e dan 961 juga tidak akan berhenti di hentian bas di sepanjang Beach Road, Bras Basah Road, North Bridge Road, Parliament Place, Raffles Avenue dan Raffles Boulevard.

Untuk maklumat lanjut, penumpang boleh menyemak laman web atau laman media sosial syarikat pengendali bas berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg