Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sorakan meriah lebih 16,000 pelajar pada Pertunjukan NE di Padang

Jul 8, 2023 | 7:02 PM
MERIAH: Lebih 16,000 pelajar dari 75 sekolah hadir semasa pertunjukan Pendidikan Nasional kedua pada Sabtu.
MERIAH: Lebih 16,000 pelajar dari 75 sekolah hadir semasa pertunjukan Pendidikan Nasional kedua pada Sabtu. - Foto BH oleh HARITH MUSTAFFA

Pelajar Darjah 5 Aqief Aiman Muhammad Redzuan berasa kagum melihat sekitaran Padang dihias warna-warna kenegaraan dan ribuan pelajar dari serata Singapura bersorak menanti permulaan Pertunjukan Pendidikan Nasional (NE).

Pelajar Sekolah Rendah Yew Tee itu berkata dia tidak sabar melihat kenderaan berperisai dari Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berarak di depan Galeri Nasional serta jet pejuang Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) yang berlalu di langit atas mereka.

“Saya seolah tak percaya saya berada di sini,” katanya.

“Bagi saya ini satu pengalaman manis yang akan saya akan ingat buat selamanya,” kata Aqief.

Beliau merupakan antara lebih 16,000 pelajar dari sebanyak 75 sekolah yang hadir pada pertunjukan NE kedua pada Sabtu di Padang – tempat acara bersejarah bagi Perbarisan Hari Kebangsaan pada 9 Ogos nanti yang kembali di situ sejak 2019.

Ini menjadikannya lebih 26,000 pelajar yang telah menonton kedua-dua pertunjukan NE tahun pada Sabtu dan 2 Julai lalu.

Pertunjukan NE kedua itu disaksi Encik Eddie Teo, Pengerusi Majlis Penasihat Presiden.

Para pelajar mula memasuki tempat acara yang boleh menampung 27,000 orang itu sekitar 4.30 petang, yang pada ketika itu mengalami cuaca mendung.

Untuk menambah semangat, para pelajar diberi belon berbentuk pedang dan haiwan oleh relawan di sekitaran tempat duduk.

Apabila hos NDP diundang masuk ke tempat acara sekitar 5.30 petang untuk menandakan permulaan pertunjukan NE itu, pelajar kelihatan mula bersorak dan menghayunkan bendera dan mengetuk dram kecil masing-masing dari pek NDP yang mereka terima.

“Saya cuma harap dapat menghabiskan masa yang baik bersama teman-teman saya,” kata Afham Syiddiqi Md Yazid, 11 tahun dari Sekolah Rendah Teck Ghee yang gemar dengan dram kecil dari pek NDP itu.

PENGALAMAN ISTIMEWA: Pelajar Sekolah Rendah Teck Ghee, Afham Syiddiqi kelihatan menampal pelekat tatu NDP di pipinya sementara temannya merakam perbuatan itu dengan telefon bimbit.
PENGALAMAN ISTIMEWA: Pelajar Sekolah Rendah Teck Ghee, Afham Syiddiqi kelihatan menampal pelekat tatu NDP di pipinya sementara temannya merakam perbuatan itu dengan telefon bimbit. - Foto HARITH MUSTAFFA

Temannya, Mirza Hamzah, berkata dia pula suka menikmati muzik dan melihat persembahan seni seperti tarian.

“Saya dan teman-teman tidak jangkakan Padang boleh dijadikan sebuah tempat yang penuh meriah dan luar biasa pada hari istimewa ini,” tambahnya.

Aleeyah Mohamed Shaifudin dari Sekolah Rendah Teck Ghee berkata lagu tema NDP kegemarannya adalah The Road Ahead dihasilkan pada 2021.

Dia berkata dia tidak sabar menyanyikan lagi itu serta lagu tema NDP tahun ini, Shine Your Light, bersama teman-temannya jika ia dimainkan semasa pertunjukan itu.

“Kalau boleh setiap tahun saya berharap dapat peluang menonton NDP sebab ia satu pengalaman yang sangat istimewa,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg