Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebimbangan selubungi Al-Aqsa jelang Ramadan

Feb 22, 2024 | 3:58 PM
Israel timbang membataskan bilangan pengunjung ke Masjid Al-Aqsa pada Ramadan 2024.
Israel timbang membataskan bilangan pengunjung ke Masjid Al-Aqsa pada Ramadan 2024. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Ketika perang Gaza memuncak dan bulan Ramadan yang mulia bakal menjelang, kebimbangan semakin meningkat mengenai potensi ketegangan di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis, titik meletusnya keganasan pada masa lalu.

Tapak di Kota Lama Baitulmakdis yang dikenali sebagai Al Haram Al Sharif, yang dikuasai Israel, adalah yang ketiga paling suci dalam kalangan umat Islam dan paling suci bagi agama Yahudi, yang dikenali sebagai Temple Mount.

Israel masih belum memutuskan secara rasmi mengenai sekatan untuk penganut Islam semasa Ramadan, yang dijangka bermula 10 Mac, tetapi cadangan untuk mengehadkan bilangan telah mencetuskan kemarahan.

Minggu lalu, Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, berkata bahawa penduduk Palestin di Tebing Barat yang diduduki “tidak boleh dibenarkan” masuk ke Baitulmakdis untuk mengerjakan solat pada bulan Ramadan.

“Kami tidak boleh mengambil risiko. Kita tidak boleh menjadikan wanita dan kanak-kanak sebagai tebusan di Gaza dan membenarkan perayaan untuk Hamas di Temple Mount,” tambahnya.

Media Israel melaporkan perbincangan mengenai had bilangan jemaah, tetapi tiada keputusan rasmi telah diumumkan.

Biasanya, puluhan dan bahkan ratusan ribu umat Islam akan mengerjakan solat dan berbuka puasa di perkarangan itu, yang dirampas oleh Israel pada 1967 dan kemudiannya digabungkan dengan seluruh Baitulmakdis Timur.

Pada 2000, lawatan ke sana oleh pemimpin pembangkang Israel ketika itu, Encik Ariel Sharon, mencetuskan rusuhan oleh penduduk Palestin.

Pertempuran ganas juga tercetus pada Ramadan 2022 dan 2023. Selepas serbuan polis Israel pada Mei 2021 pula, ia mencetuskan perang singkat hingga membawa maut di Gaza.

Keganasan pada Ramadan sering berkisar tentang rondaan dan kawalan polis Israel di kawasan itu, termasuk sekatan ke atas akses penduduk Palestin, serta sebarang langkah yang kelihatan mencabar status quo sejarah. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg