Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel ancam serang Rafah kecuali tebusan dibebas jelang Ramadan

Feb 19, 2024 | 2:31 PM
Israel berjanji tenteranya akan memudahkan pemindahan orang awam Gaza yang akan diselaraskan dengan Amerika Syarikat dan Mesir untuk mengurangkan angka korban dalam serangannya.
Israel berjanji tenteranya akan memudahkan pemindahan orang awam Gaza yang akan diselaraskan dengan Amerika Syarikat dan Mesir untuk mengurangkan angka korban dalam serangannya. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Israel akan melancarkan serangan darat di kawasan Rafah di Gaza melainkan tebusan yang masih ditahan kumpulan Hamas dibebaskan menjelang bulan puasa Ramadan pada Mac, kata Menteri Tanpa Portfolio Israel, Encik Benny Gantz, pada 18 Februari.

Encik Gantz, anggota Kabinet Perang Israel, berjanji tenteranya akan memudahkan pemindahan orang awam Gaza yang akan diselaraskan bersama Amerika Syarikat dan Mesir demi mengurangkan angka korban.

Dianggarkan sejuta penduduk Palestin yang melarikan diri dari pertempuran di Gaza telah berlindung di sekitar kawasan Rafah – di bahagian selatan wilayah yang bersempadan dengan Mesir.

Ramadan, bulan puasa umat Islam, bermula pada pertengahan Mac.

“Kepada mereka yang mengatakan risiko ini terlalu tinggi, saya katakan ini dengan jelas: Hamas mempunyai pilihan,” kata Encik Gantz dalam satu ucapan pada 18 Februari kepada pemimpin Yahudi warga Amerika di Baitulmakdis.

“Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan dan dengan cara ini, penduduk Gaza boleh menyambut Ramadan.”

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata operasi darat di Rafah adalah penting untuk menghapuskan batalion Hamas yang masih ada.

Mereka yang menyeru agar Israel keluar dari kawasan itu pada dasarnya menyeru agar Israel kalah dalam perang, katanya.

Encik Gantz berikrar untuk terus berjuang sehingga matlamat Israel tercapai termasuk menghapuskan ancaman Hamas, serta Hezbollah di Lebanon, di samping membawa baki kira-kira 130 tebusan pulang dan menggantikan Hamas di Gaza sepenuhnya.

Rundingan yang bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan yang masih hidup telah tergendala dalam beberapa hari kebelakangan ini selepas Encik Netanyahu menolak tuntutan Hamas sebagai “satu khayalan”.

Menurut tinjauan baru-baru ini, Encik Gantz dianggap penduduk Israel sebagai calon paling sesuai untuk menjadi perdana menteri seterusnya, dengan parti Perpaduan Nasionalnya mendapat sokongan jauh lebih tinggi berbanding parti Likud pimpinan Encik Netanyahu.

Encik Gantz juga memberitahu pemimpin Yahudi bahawa beliau menentang pengiktirafan sebuah negara Palestin, dan berikutan serangan 7 Oktober oleh Hamas, yang disifatkannya langkah sedemikian bukanlah cara untuk mencapai kestabilan dan keamanan bagi rantau itu.

Peperangan dengan Hamas bermula apabila kumpulan itu menyusup masuk dari Gaza dan melakukan serangan di selatan Israel, menyebabkan kira-kira 1,200 orang terbunuh dan menculik lebih 250 sebagai tebusan.

Menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas, lebih 28,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam perang berikutnya. Ia tidak menyatakan berapa ramai daripada mereka adalah pejuang.

Sementara itu, Encik Netanyahu melahirkan kemarahannya atas ucapan Presiden Brazil, Encik Luiz Inacio Lula da Silva, yang menyifatkan Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dan membandingkan tindakan Israel itu dengan dasar Adolf Hitler yang membunuh orang Yahudi semasa perang dunia kedua. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg