Sekitar 40 orang dipindahkan selepas kebakaran berlaku di sebuah kedai kopi di Blok 801, Tampines Avenue 4, pada 27 Ogos.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar 11 malam, lapor The Straits Times.
Kebakaran yang melibatkan kawasan memasak salah sebuah gerai di kedai kopi berkenaan berjaya dipadamkan menggunakan pancutan air dan pili hos.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran bermula dari kuali di gerai yang terjejas, kata SCDF.
Ia juga mengingatkan orang ramai supaya tidak meninggalkan sebarang kegiatan memasak, menggoreng atau memanas tanpa pengawasan.
Mereka juga hendaklah mematikan bekalan gas atau elektrik apabila tidak digunakan.
Kebakaran melibatkan kedai kopi itu berlaku selang beberapa kejadian sepanjang Ogos.
Pada 16 Ogos, misalnya, seorang penghuni yang terperangkap dalam sebuah flat yang dipenuhi asap di Hougang diselamatkan oleh anggota bomba, selepas mereka memasuki flat yang terbakar itu secara paksa.
Menurut SCDF, apabila pasukan bomba tiba, mereka mendapati ruang tamu di flat tingkat dua di Blok 313, Hougang Avenue 5 itu, terbakar dan seorang penghuninya terperangkap di dalamnya.
Anggota bomba memasuki flat itu secara paksa, dan menemui penghuni tersebut di dapur.
“Siasatan awal mendapati kebakaran mungkin bermula dari alat mobiliti peribadi (PMD) yang berada di ruang tamu. Punca kebakaran masih disiasat,” kata SCDF.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg