Seorang maut dalam kebakaran yang berlaku di luar flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Potong Pasir pada 28 Ogos, lapor The Straits Times.
Menjawab pertanyaan, jurucakap Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata ia dimaklumkan mengenai kebakaran itu sekitar 6.45 pagi.
Orang awam yang lalu lalang telah membantu memadamkan kebakaran di Blok 107 Potong Pasir Avenue 1 itu dengan alat pemadam api sebelum anggota bomba SCDF tiba, kata jurucakap itu.
Paramedik SCDF menemui seorang maut di lokasi.
Punca kebakaran masih dalam siasatan.
The Straits Times telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Kira-kira 10 pagi, ketika The Straits Times tiba, sekurang-kurangnya tiga kereta polis dan sebuah van polis kelihatan di tempat letak kereta berhampiran blok itu.
Beberapa anggota polis kelihatan berdiri di luar flat itu yang direntangi kain putih di sepanjang koridor.
Akhbar Lianhe Zaobao melaporkan bahawa sekujur mayat lelaki hangus ditemui di luar unit di tingkat lapan.
Seorang jiran berkata beliau tersedar apabila mendengar jeritan sekitar 6 pagi, yang kedengaran seperti seseorang mengalami kesakitan yang teruk, namun beliau tidak mendengar jeritan meminta tolong, lapor Zaobao.
“Bilik saya dekat dengan koridor, saya boleh dengar dengan jelas. Mula-mula saya fikir ada acara pengebumian di kolong flat HDB, dan orang menangis kesedihan,” katanya kepada Zaobao.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg