Su Jianfeng, salah seorang daripada 10 tertuduh dalam kes pengubahan wang haram terbesar di Singapura, telah dihadapkan dua pertuduhan baru pada 8 Februari.
Su, 35 tahun, warga Vanuatu yang berasal dari China, kini berdepan enam pertuduhan keseluruhannya.
Menurut kertas pertuduhan, Su didakwa menggunakan beberapa set laporan tahunan palsu sebuah syarikat China, Xiamen Zhou Hang Mao Yi You Xian Gong Si, dan menyerahkannya sebagai dokumen tulen kepada Standard Chartered Bank dan Bank of Singapore.
Ini didakwa dilakukan untuk memperdaya pihak bank supaya mempercayai bahawa Chen Qiuyan, seseorang yang didakwa ada kaitan dengan kes itu, mempunyai sumber kekayaan yang sah.
Chen Qiuyan dinamakan dalam notis Kementerian Undang-undang yang dihantar pada Ogos 2023 kepada peniaga logam dan batu berharga yang menyenaraikan nama individu yang boleh dikaitkan dengan transaksi yang mencurigakan.
The Straits Times (ST) melaporkan pada September 2023 bahawa alamat berdaftar Chen Qiuyan ialah sebuah unit di 8 Saint Thomas, sebuah kondominium di River Valley, tempat Su tinggal.
Su telah dikenakan empat pertuduhan pada Ogos 2023 kerana memiliki hasil haram daripada kesalahan perjudian jarak jauh yang menyalahi undang-undang.
Ia terdiri daripada $17 juta dalam tiga peti deposit keselamatan dan wang tunai $550,903.
Pendakwa raya berkata pada Oktober 2023 bahawa Su mendakwa dirinya sebagai ketua eksekutif firma sokongan komputer, tetapi tidak tahu di mana pejabatnya.
Malah, siasatan menunjukkan bahawa firma An Xing Technology adalah syarikat pada kertas, kata pihak pendakwaan dalam hujahnya terhadap pemberian jaminan kepadanya.
Afidavit pegawai Jabatan Hal Ehwal Komersial menyatakan bahawa lebih $231 juta nilai aset milik Su dan isterinya telah dirampas atau tertakluk kepada larangan perintah pelupusan.
Ia termasuk 13 hartanah bernilai lebih $115 juta, empat kenderaan bernilai lebih $4.7 juta, wang tunai $18.4 juta, akaun bank $66 juta dan mata wang kripto bernilai $26 juta.
Su dikehendaki di China kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan perjudian haram.
Seorang lagi tertuduh, warga Cyprus Wang Dehai, dikehendaki polis kerana peranannya dalam operasi yang sama.
Persidangan praperbicaraan Su dijadualkan pada 15 Februari.
Pada Januari 2024, polis berkata dalam perkembangan terbaru mereka bahawa aset yang dirampas dalam kes pengubahan wang haram itu kini mencecah $3 bilion, lapor ST.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg