Berita Utama
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kesan pengurangan had pinjaman, peningkatan geran HDB

Aug 20, 2024 | 5:26 PM
Untuk layak mendapat pinjaman HDB, pembeli tertakluk kepada beberapa syarat termasuk siling pendapatan, yang kini disandarkan kepada $14,000 sebulan.
Untuk layak mendapat pinjaman HDB, pembeli tertakluk kepada beberapa syarat termasuk siling pendapatan, yang kini disandarkan kepada $14,000 sebulan. - Foto ST

Had pinjaman untuk membeli flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah diketatkan daripada 80 peratus kepada 75 peratus sebagai sebahagian langkah yang diperkenalkan pada 20 Ogos untuk menyejukkan pasaran jualan semula.

The Straits Times menjawab beberapa soalan mengenai langkah penyejukan terkini.

1. Apakah had pinjaman kepada nilai?

Had pinjaman kepada nilai (LTV) ialah jumlah maksimum yang boleh dipinjam daripada HDB untuk membiayai pembelian flat baru atau jualan semula.

Ini adalah kali ketiga had LTV diturunkan. Sebelum ini, ia diperketatkan daripada 90 peratus kepada 85 peratus pada Disember 2021, dan kemudian dikurangkan kepada 80 peratus pada September 2022.

Mulai 20 Ogos tahun ini, ia akan diturunkan kepada 75 peratus dalam usaha “menstabilkan pasaran jualan semula HDB dan menggalak pembeli flat meminjam secara berhemat”, kata pihak berkuasa.

Had LTV untuk pinjaman bank kekal tidak berubah pada 75 peratus.

2. Siapakah yang akan terjejas oleh had LTV yang diperketatkan?

Pembeli flat yang telah menyerahkan permohonan jualan semula lengkap kepada HDB – melibatkan pembeli dan penjual – akan tertakluk kepada had LTV sebanyak 75 peratus mulai 20 Ogos.

Ini bermakna pembeli perlu membayar wang muka atau deposit sebanyak 25 peratus daripada harga pembelian flat secara tunai atau simpanan Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Untuk layak mendapat pinjaman HDB, pembeli tertakluk kepada beberapa syarat termasuk siling pendapatan sebanyak $14,000 sebulan.

3. Adakah pemohon yang berjaya pada Jun dan pelancaran skim Bina Ikut Tempahan (BTO) yang lebih awal akan terjejas?

Tidak, had pinjaman perumahan HDB tetap kekal pada 80 peratus bagi pemohon yang berjaya dalam pelancaran tersebut.

Bagi bakal pemohon BTO, peraturan baru ini akan berkuat kuasa mulai jualan pada Oktober, yang melibatkan sekitar 8,500 flat di Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok, Geylang, Jurong West, Kallang/Whampoa, Pasir Ris, Sengkang dan Woodlands.

4. Siapakah yang akan mendapat manfaat Geran Perumahan CPF yang Dipertingkat (EHG)?

Pembeli rumah kali pertama akan dapat memanfaatkan lebih banyak sokongan kewangan di bawah EHG.

Ia akan dinaikkan daripada $80,000 kepada $120,000 untuk keluarga, dan daripada $40,000 kepada $60,000 untuk golongan bujang.

Bergantung pada pendapatan bulanan isi rumah, peningkatan akan berkisar antara $5,000 hingga $40,000 untuk keluarga dan dari $2,500 hingga $20,000 untuk bujang.

Isi rumah berpendapatan rendah akan menerima paling banyak sokongan.

Keluarga dengan purata pendapatan isi rumah bulanan $1,500 dan ke bawah boleh memanfaatkan geran penuh $120,000, manakala bujang dengan pendapatan bulanan $750 dan ke bawah akan mendapat sokongan kewangan penuh $60,000.

5. Bilakah pembeli boleh manfaatkan peningkatan EHG?

Bakal pemohon BTO yang mempunyai atau berhasrat memohon surat Kelayakan Flat HDB (HFE) boleh menggunakan EHG yang telah disemak daripada jualan pada Oktober.

HDB akan mengemas kini surat HFE pemohon sesuai dengan jumlah geran baru, dan akan memberitahu mereka melalui e-mel.

Bagi flat jualan semula, pemohon kali pertama yang layak dan belum menyelesaikan urus niaga jualan semula akan menerima geran yang lebih tinggi.

Jumlah tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun CPF mereka dalam masa dua bulan dari tarikh selesai transaksi jualan semula mereka.

5. Apakah langkah penyejukan sebelum ini?

Ini adalah pusingan keempat langkah penyejukan pasaran sejak Disember 2021.

Dalam pusingan sebelumnya, kadar Cukai Setem Tambahan Bagi Pembeli (ABSD) untuk warga Singapura dan pemastautin tetap yang membeli hartanah kedua dan seterusnya telah dinaikkan mulai April 2023. Kadar bagi warga asing yang membeli mana-mana harta kediaman juga dinaikkan dua kali ganda daripada 30 peratus kepada 60 peratus.

Kenaikan itu bertujuan mengekang harga hartanah daripada dinaikkan oleh pelabur, dan mengutamakan rakyat Singapura membeli rumah untuk didiami.

Sebelum langkah ini, kadar ABSD untuk pembeli dan pemaju telah dinaikkan pada Disember 2021.

Pada September 2022, tempoh menunggu selama 15 bulan diperkenalkan ke atas pemilik rumah privet yang ingin beli flat jualan semula, bagi mengawal permintaan dalam pasaran jualan semula HDB.

Kadar lantai yang lebih tinggi untuk jumlah nisbah khidmat hutang dan nisbah khidmat gadai janji bagi pinjaman hartanah yang diberikan oleh institusi kewangan swasta dan HDB juga diperkenalkan untuk menangani isu peminjaman berlebihan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg